Thursday, 17 January 2013

MARA: Belia digesa rebut peluang belajar ilmu kemahiran

16 Januari 2013

KUALA LUMPUR - Golongan belia digesa merebut peluang mengikuti pendidikan dalam latihan yang ditawarkan memandangkan pasaran kerja kini memerlukan pekerja berkemahiran.

Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara) Norol Azali Sulaiman berkata, golongan tersebut dilihat kurang berminat menceburi bidang kemahiran sedangkan bidang tersebut mampu diperluas menjadi jenis perniagaan yang menjana pulangan lebih lumayan.

"Kita sentiasa menggalakkan belia memilih bidang kemahiran sebagai landasan untuk meningkatkan taraf hidup malah Pusat GiatMara di seluruh negara menawarkan pelbagai kursus latihan yang bersesuaian dengan pasaran kerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan pelatih Selatan Thailand, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usahasama dengan kerajaan Thailand dapat mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara malah sejak tahun 2001, Pusat GiatMara telah berjaya melatih 390 pelatih dari negara itu.

Bagi sesi tahun ini, seramai 24 pelatih berumur 17 hingga 28 tahun dari negara jiran itu akan mengikuti kursus selama sembilan bulan di sembilan Pusat GiatMara seluruh negara.

Setiausaha Pertama Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia, Romdej Phisalaphong berkata pihaknya menggalakkan rakyatnya terutama di selatan negara itu mengambil peluang menimba ilmu di sini bagi meningkatkan taraf hidup mereka. 

"Kami percaya dengan menghantar belia kami (mengikuti latihan) di negara jiran, kami akan memberi peluang kepada mereka untuk lebih faham supaya mereka dapat memberi faedah kepada negara kami," katanya.

Pelatih Nurulhuda Amin, 25, dari Yala berkata, beliau bertekad menggunakan peluang menimba ilmu kemahiran dalam bidang bakeri dan konfeksionari itu sebaik-baiknya demi membantu keluarga di kampung.

"Ibu bapa sangat menyokong saya mengikuti kursus ini dan saya berharap dapat membuka kedai sendiri suatu hari nanti," katanya.

Tuan Rusaimee Lateh, 28, dari Patani pula berkata, beliau memilih meninggalkan kerjaya sebagai penolong jururawat di sebuah hospital di Yala bagi menuntut ilmu dalam bidang kimpalan di pusat latihan di sini.

Katanya, beliau akan menggunakan ilmu kimpalan bagi membuka perniagaan nanti kerana ia mampu menjana pendapatan lebih tinggi berbanding kerjaya sebelum ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment