Monday 14 January 2013

ILP Kuala Terengganu sasar 95% pelatih bekerja selepas latihan


KUALA TERENGGANU:Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu menyasarkan 95 peratus daripada pelatihnya mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan latihan tahun ini.

Pengarahnya Abdul Halim Abdul Rahman berkata tahun lalu 380 daripada 482 pelatihnya berjaya mendapat pekerjaan, 65 melanjutkan pelajaran dan hanya 37orang masih menganggur.

“Sasaran asal kita ialah sekurang-kurangnya 90 peratus pelajar kita mesti laku di pasaran kerja dan setakat ini kita bersyukur kerana pelajar lepasan ILPini memenuhi ruang kekosongan dalam sektor perindustrian negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Minggu Suai Kenal 2013 yang dilakukan Anggota Dewan Undangan Negeri Tepoh Ramli Nuh, di sini semalam.

Katanya, ILP Kuala Terengganu juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan lima syarikat yang akan menyediakan tempat untuk pelatih menjalani amali.

Abdul Halim berkata pihaknya juga telah berbincang dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mengadakan satu kursus keusahawanan khas kepada pelajar dan bekas pelajar ILP yang berminat membuka perniagaan.

“Sebagai permulaan, kita memilih 30 pelajar untuk projek perintis ini.

“Jika projek ini berjaya, kita akan memperluaskan lagi jaringan kerjasama dengan MARA ini untuk menarik minat lebih ramai pelajar berniaga berbandingkerja makan gaji, seterusnya menjana pendapatan yang lebih lumayan dan masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Untuk sesi pengajian kali ini, 210 pelatih baharu mendaftar di institut itu yang menawarakn 10 program sijil meliputi bidang binaan bangunan, paip dan sanitari; perkayuan; elektrik; elektrik; sistem komputer; mekanik industri; paip gas dan penyaman udara serta satu program Diploma Teknologi Binaan.

Selain itu, bermula Julai ini ILP Kuala Terengganu akan menawarkan program baharu iaitu Diploma Kemahiran Elektrik, katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment