MAJLIS Amanah Rakyat Malaysia (MARA) melancarkan Tahun Reka Bentuk 2012 (MDY2012) bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pereka tempatan mengenai kepentingan inovasi rekaan untuk menjadikan negara maju menjelang 2020.
Program itu dianjurkan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Sdn Bhd (DDEC) yang mengandungi pelbagai program seperti pameran rekaan, seminar, persidangan dan pertandingan membabitkan industri rekaan negara bagi menjadikannya kompetitif pada peringkat global.
Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata program itu membolehkan pemain bidang rekaan pelbagai sektor ekonomi bertukar pendapat dan menyampaikan pengalaman mereka kepada pereka muda.
“Kerajaan berhasrat meletakkan Malaysia pada tangga ke-20 negara paling inovatif pada 2020 berbanding kedudukan ke-21 ketika ini.
“Industri rekaan amat penting kerana Malaysia menysasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar (GNI) RM35.7 bilion menjelang 2020,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi tujuan itu dan memberi penekanan membangunkan tenaga kerja mahir seperti diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), baru-baru ini,” katanya selepas melancarkan majlis itu di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Pengerusi DDEC, Datuk Md Othman Yusuf, berkata pusat itu ditubuhkan sebagai platform untuk membantu menjadikan produk tempatan lebih berdaya saing untuk ke pasaran antarabangsa.
“Ia ditubuhkan pada 2007 dengan dana RM75 juta bagi kos operasi dan infrastruktur. Ini adalah program pertama DDEC dalam menjadi pemangkin Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) negara ini terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bagaimanapun, kami juga sedia membantu syarikat besar jika mereka berminat.
Walaupun baru bergerak, kami sudah membantu pelbagai PKS untuk membangunkan nilai tambah produk mereka seperti Simplysiti,” katanya.
Md Othman berkata, pihaknya juga membantu peniaga tempatan memperkenalkan produk pada peringkat antarabangsa melalui pameran yang disertai oleh DDEC.
“Kini kami sedang membantu membangunkan perisian telefon pintar iPhone dan Adroid yang boleh memperbetulkan bacaan al-Quran penggunanya,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, MARA menjangkakan kutipan bayaran balik pinjaman perniagaan, pendidikan dan pelajaran lebih tinggi tahun ini berdasarkan kejayaannya mengutip RM513 juta berbanding sasaran kutipan RM 420 juta tahun lalu.
“Pinjaman pelajaran yang berjaya dikutip adalah RM165 juta, manakala bakinya adalah bagi pinjaman perniagaan dan pendidikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment