Monday, 30 July 2012

Kontraktor binaan harus miliki pengalaman bidang IBS: Dr Rauf


KUCHING: Kontraktor-kontraktor binaan negeri ini harus memiliki pengalaman luas dalam bidang Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan mutu kerja mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Perumahan dan Pembangunan Sarawak (HDC) Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen berkata dengan memiliki pengalaman dan kepakaran dalam bidang itu (IBS) kontraktor akan lebih efektif.

Katanya dalam era teknologi sekarang, penggunaan IBS akan diperlukan bagi meningkatkan kualiti bangunan dan juga pencapaian terbaik pihak kontraktor.

“Saya difahamkan bahawa IBS amat signifikan dalam bidang pembinaan bangunan, justeru saya berharap para kontraktor memiliki pengalaman terbaik dalam bidang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus Latihan Kemahiran Installer IBS anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) di sini, baru-baru ini.

Kursus tiga hari itu dikendalikan oleh dua syarikat kontraktor tempatan, Swakkom Enterprise Sdn Bhd dan ABB Trading Sdn Bhd.

Hadir sama Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Samarahan Ismawi Muhammad, Pengarah Urusan Swakkom Enterprise Sdn Bhd Abang Ideris Abang Jemali dan Pengarah Urusan ABB Trading Sdn Bhd Adenan Bukra.

Lebih 50 kontraktor tempatan dari Kuching, Samarahan, Miri, Lawas dan Limbang menyertai seminar itu.
Dr Abang Rauf berkata penggunaan kaedah IBS amat diperlukan untuk pembinaan bangunan-bangunan di pusat komersil dan kawasan perumahan.

“Ini akan memberi keyakinan tinggi kepada orang ramai (pengguna) mengenai struktur dan kualiti bangunan terbabit,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa penggunaan kaedah IBS di kawasan komersil dapat membantu para kontraktor binaan mempromosi mutu kerja mereka.

“Saya cukup bangga dengan penglibatan para kontraktor Bumiputera dalam bidang pembinaan bangunan dan berharap mereka dapat mempertingkat kualiti binaan masing-masing,” katanya.

Dr Abang Rauf memberitahu bahawa HDC dan kerajaan juga telah banyak menyediakan peluang untuk projek pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Justeru katanya, adalah diharapkan para kontraktor yang memiliki pengalaman dalam bidang IBS merebut peluang-peluang projek terbabit.

“Saya yakin dengan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman bidang IBS dapat membantu kontraktor Bumiputera meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Dengan itu tambahnya, mereka (kontraktor) juga dapat menyumbang sesuatu yang amat bermakna dalam pembangunan negara sejajar dengan usaha mencapai status negara maju.

Dr Abang Rauf menyarankan agar para kontraktor Bumiputera terbabit yang memiliki lesen Kelas F dapat mendaftar diri dengan HDC dan Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Saya berharap para kontraktor kita mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi serta dapat melaksanakan pelbagai projek yang disediakan kerajaan,” katanya.


No comments:

Post a Comment