Thursday, 19 July 2012

MARA berikan pinjaman lebih 69j tahun lepas


SANDAKAN: Pembiayaan perniagaan sebanyak RM69.155 juta dikeluarkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Sabah melibatkan bilangan penerima seramai 851 orang pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Mara (Keusahawanan), Haji Mohd Rosdi Ismail, berkata daripada jumlah tersebut seramai 701 orang golongan kontraktor bumiputera di negeri ini turut mendapat pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM62,907 juta.

Katanya, untuk tahun ini pula pihak Mara turut mensasarkan sebanyak RM75.0 juta pengeluaran pembiayaan bagi skim-skim pembiayaan yang sedia ada di mana setakat 30 Jun lepas saja, Pejabat MARA Negeri telah mengeluarkan pembiayaan sebanyakRM61,421 juta.

“Di mana daripada jumlah tadi, pembiayaan SPIKE telah dikeluarkan sebanyak RM57,519 juta bagi membiayai projek-projek dari agensi kerajaan dan juga syarikat GLC’S yang terpilih.

“Bahagian pembiayaan perniagaan Mara juga akan melancarkan beberapa skim pembiayaan yang lebih kompetitif dan berdaya saing selaras dengan perubahan semasa untuk memenuhi hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera agar dapat bersaing di dunia perniagaan yang bersifat ‘Blue Ocean’,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program ‘Engagement’ Mara bersama Penerima dan Bakal Penerima Kemudahan MARA di sebuah hotel, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Mara Negeri Sabah, Haji Kamaruzdzaman Md.Ali dan beberapa pegawai Mara serta usahawan-usahawan bumiputera daerah Sandakan.

Selari dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan, Haji Mohd Rosdi berkata dia akan memastikan transformasi peranan Mara akan dilaksanakan dengan baik dan berkesan termasuk sentiasa mengambil inisiatif untuk penambahbaikan perkhidmatan demi memenuhi kehendak usahawan-usahawan bumiputera.

Beliau juga mengalu-alukan sekiranya ada cadangan, pandangan dan teguran demi membangunkan golongan usahawan bumiputera di negeri ini khususnya dan negara secara amnya.

Beliau melihat program seumpama ini adalah satu landasan yang baik ke arah menyalurkan maklumat yang berkesan kepada golongan sasar terutamanya usahawan bumiputera yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.

Sehubungan dengan itu, katanya lagi, pihak Mara merangka pelan strategik Mara 2011-2020 untuk menggerakkan usaha badan itu secara lebih berkesan dalam memenuhi ekspetasi bumiputera pada hari ini dan akan datang.

“Ia bertujuan untuk melestari dan membuat penambahbaikan terhadap strategi sedia ada yang mana kita harapkan mampu memberi impak tinggi terhadap pembangunan sosio ekonomi bumiputera secara keseluruhannya.

“Untuk itu juga, Mara telah merangka visi dan misi yang baru … di mana Mara kini adalah menjadi organisasi amanah yang unggul dan diberkati bagi mengangkat martabat bangsa. Manakala, misi Mara adalah menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti bumiputera.

“Bahkan moto Mara juga turut diubah kepada ‘Keusahawanan dan Pendidikan Global’ yang ditunjangi oleh nilai bersama iaitu ‘Amanah Rakyat’,” kata Haji Mohd Rosdi.

Dalam konteks transformasi ini, tambahnya, sektor usahawan akan memainkan peranan sebagai pemacu bagi melahirkan usahawan-usahawan baru dan sekali gus memperkasakan usahawan sedia ada.

Ujarnya, inisiatif ini akan direalisasikan melalui pendekatan bersepadu (Intergrated Approach) dengan tumpuan kepada pembangunan usahawan, pengwujudan peluang perniagaan, bantuan pemasaran, penjenamaan dan penyediaan modal.

Katanya, untuk memperkukuhkan lagi transformasi berkenaan, pelbagai latihan industri juga akan disediakan.

“Justeru, melalui pendekatan seumpama ini … kita yakin mampu melahirkan kelompok usahawan korporat, tekno usahawan, usahawan peruncitan dan usahawan pembuatan serta kontraktor yang lebih berdaya saing,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment