Monday 16 July 2012

RM1.2 juta diperuntuk Giat Mara untuk lahir usahawan: Hamadin


15th July, 2012
TAWAU: Pusat Giat Mara negeri ini telah memperuntukkan RM1.2 juta daripada RM40 juta peruntukkan Giat Mara seluruh negara bagi tahun 2012 untuk melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang.

Pegawai Pembangunan Usahawan Negeri, Hamadin Baba berkata, dana sebanyak RM6,500 diberikan kepada setiap pelatih Giat Mara dalam bidang perniagaan ke arah usaha memupuk minat mereka menjadi usahawan berjaya.

“Daripada jumlah itu RM1,500 kita telah peruntukkan untuk mereka menyertai kursus dan selebihnya baki RM5,000 digunakan untuk membantu mereka membeli peralatan atau bagi pembiayaan premis perniagaan,’’katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Pembentukan Usahawan Teknikal (PUTEK) Siri 04/2012 di Hotel King Park di sini.

Katanya, seramai 742 usahawan berjaya dilahirkan dalam pelbagai bidang semenjak pengenalan program usahawan ini semenjak dilaksanakan pada tahun 2006.

Jelasnya, setiap pelatih akan dibantu mendalami selok belok pernigaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera yang berjaya.

Dalam pada itu seramai 30 orang peserta telah menyertai kursus berkenaan yang terdiri daripada pelatih Giat Mara Semporna, Sandakan, Ranau, Tawau dan Silam.

Menurut Pengurus Besar Giat Mara Negeri, Mohd Fazal Baniamin, kursus berkenaan wajib dihadiri bagi pelatih sepenuh masa lepasan Giat Mara yang berminat dan terpilih untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Katanya, peserta akan diberikan tugasan mengenai bidang perniagaan termasuk asas pengendalian kewangan dan teknik pengurusan perniagaan.

“Kita mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dan asas keusahawanan serta membimbing mereka dengan melakukan pemantauan selepas habis program ini dijalankan,’’katanya.

Tambahnya, pelbagai bidang perniagaan boleh disertai oleh pelatih ini mengikut minat dan kemampuan maisng-masing antaranya bidang fesyen dan peragaan, pendawaian elektrik dan elektrikal.

Program perasmian majlis itu telah disempurnakan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

No comments:

Post a Comment