Monday, 9 July 2012

Galak pemikiran kreatif

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my



KREATIF...robot hasil kumpulan Kaizoku.
KREATIF...robot hasil kumpulan Kaizoku.
DASAR Pandang ke Timur menjadi tonggak saranan pemimpin negara ketika pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu rakyat mengamalkan budaya hidup negara matahari terbit itu.
Bukan saja berjaya daripada segi ekonomi dan teknologi, sifat rajin diamalkan masyarakat mereka turut menjadi inspirasi di seluruh dunia.

Foto

Malaysia tidak terkecuali apabila pelajar program Japanese Associate Degree (JAD) Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Beranang mengadakan pertandingan JAD Robocon 2012 sebagai usaha mencungkil bakat dan kebolehan pelajar mereka.

Pensyarah JAD, Mohd Rozaimi Zahidin, 27, berkata pertandingan JAD Robocon diadakan buat kali pertama di KKTM meskipun ia wujud sejak 1990-an.

“Sebelum ini, ia diadakan di pusat pengajian tinggi swasta dan awam. Objektif utama untuk memberi galakan dan dorongan selain memberi pendedahan awal kepada mereka. Pertandingan ini lebih kepada mencipta barang atau dalam bahasa Jepun disebut sebagai monotsuki.

“Setiap kumpulan membabitkan tiga hingga empat pelajar dikehendaki mencipta produk atau barang menggunakan idea sendiri.

“Mereka perlu melukis secara teknikal sebelum mencipta produk berdasarkan subjek yang diajar dalam kelas harian,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, pelajar hanya dibenar menggunakan peralatan seperti aluminium, plastik, kertas keras dan motor arus terus.

Daripada bahan itu, mereka dikehendaki mencipta robot yang boleh memasukkan bola ping pong dalam petak disediakan serta menyusun bongkah secara menegak
di kawasan betul menggunakan alat kawalan jauh yang dikendalikan seorang rakan mereka.

“Seramai 56 pelajar yang juga penerima biasiswa tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyertai pertandingan ini.

“Mereka dibahagikan kepada 18 kumpulan, antaranya Medabee, Kaizoku, Rippa, Nitrodroid dan Tokyo Atom. Ini satu cara memberi cabaran sebelum mereka didedahkan kepada dunia sebenar di Jepun nanti,” katanya.

Bagi Adri Aizat Abd Rahim, 19, selaku ketua kumpulan, dia bertanggungjawab memastikan apa dirancang berjalan lancar.

“Kami mengambil masa empat minggu untuk menyiapkan projek ini. Ia bukan mudah kerana kami hanya dibenarkan menggunakan komponen tertentu.

“Untuk menghasilkan produk bagus, kami perlu memikirkan idea kreatif supaya ia berbeza daripada kumpulan lain. Kami juga perlu bahagikan masa antara pelajaran dan tugas diberikan supaya tidak tercicir,” katanya yang menggelarkan kumpulan mereka Kaizoku bermaksud lanun.

Menurut Adri, kumpulannya memperuntukkan empat jam bagi tujuan perbincangan selain memikirkan komponen yang perlu digunakan.

“Saya dan dua rakan kumpulan menggabungkan segala kemahiran yang ada seperti elektronik dan mekanikal untuk menghasilkan rekaan terbaik.

“Penganjuran program sebegini bagus untuk mengetengahkan bakat kejuruteraan di kalangan penuntut dan mampu menjadikan kami lebih berdaya asing apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Muhammad Qayyum Hafzan, 19, pula berpendapat, dia bertuah kerana menyertai kumpulan yang mementingkan semangat setiakawan.

“Pertandingan kali ini dianggap penebus kekalahan lalu. Walaupun tidak bergelar juara, kami puas sebab sudah lakukan yang terbaik.

“Meskipun tidur jam 4 pagi, tidak sempat makan, terpaksa korbankan banyak tenaga dan masa, ia pengalaman berbaloi sebelum kami didedahkan kepada dunia sebenar dan lebih mencabar di Jepun,” katanya.

Sementara itu, satu-satunya peserta perempuan, Hidayah Hani A Halim, 19, berkata selama sebulan menyiapkan robot untuk pertandingan JAD Robocon, dia puas dengan hasil dan komitmen dua rakan lain.

“Kalah dan menang adat bertanding. Memang semua kumpulan mahu kemenangan, tapi yang penting saya dapat pengalaman berharga bersama ahli kumpulan lain.

“Dalam kumpulan ini, saya belajar banyak perkara. Meskipun perempuan tunggal, pembahagian tugas tetap adil.

“Jika ada yang tidak faham atau sukar, kami merujuk kepada pensyarah untuk dapat lebih maklumat dan memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa,” kata anak bongsu tiga beradik ini.

Program itu berdasarkan format 2B iaitu ‘box and ball’ yang memerlukan peserta mengendalikan robot bagi mengangkat dan memasukkan bongkah dan bola ke dalam lokasi ditetapkan di dalam gelanggang.

Peserta perlu mereka cipta robot kecil yang boleh ‘mengaut’ setiap bola ping pong dan bongkah untuk dimasukkan ke dalam ‘gol’ pasukan masing-masing.

Pertandingan ini bertujuan menilai tahap pembelajaran, daya cipta, kreativiti dan inovasi serta kerjasama peserta daripada pelbagai latar belakang kejuruteraan.

>Profil 
NAMA: Adri Aizat Abd Rahim
UMUR: 19 tahun
ASAL: Bangi, Selangor
ADIK-BERADIK: Bongsu empat beradik

>Profil 
NAMA: Hidayah Hani A Halim
UMUR: 19 tahun
ASAL: Subang Prai, Pulau Pinang
ADIK-BERADIK: Bongsu tiga beradik

>Profil 
NAMA: Muhammad Qayyum Hafzan
UMUR: 19 tahun
ASAL: Dungun, Terengganu
ADIK-BERADIK: Sulung empat beradik

FAKTA
Pemenang Pertandingan JAD-Robocon 2012
  • Kumpulan Neelofa (johan)
  • Kumpulan Kaizoku (kedua)
  • Kumpulan Die Hard III (ketiga dan pemenang

    Anugerah Inovasi (Mekanisma)
  • Rippa (pemenang Anugerah Inovasi (Reka bentuk)
  • No comments:

    Post a Comment