Perdana Menteri berkata platform itu merupakan peluang bagi semua rakyat Malaysia mengemukakan idea dan input mereka untuk pertimbangan Kementerian Kewangan.
Orang ramai boleh menyuarakan pendapat mereka dengan mengklik bahagian yang disediakan pada entri terbaharu blog beliau www.1malaysia.com.my yang bertajuk 'Bajet 2013: Saya Hargai Cadangan Anda'.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya amat berharap agar dapat menerima idea-idea baharu yang bernas serta penyelesaian yang berpotensi daripada rakyat Malaysia," kata Najib dalam blog beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata platform itu akan memberi tumpuan terhadap beberapa topik iaitu kos sara hidup, keselamatan awam, harga hartanah, peranan belia dalam kreativiti dan juga isu-isu yang mempengaruhi kehidupan rakyat.
"Pada masa ini, kurang daripada 10 peratus rakyat Malaysia yang membayar cukai. Oleh itu cabaran utama bagi kita adalah untuk memperluas dan mengubah sumber pendapatan negara bagi memastikan defisit bajet dikekalkan pada paras boleh urus agar perbelanjaan tidak melebihi kemampuan kita," katanya.
Untuk mencapai matlamat ini, beliau berkata kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap perangsangan pelaburan dalam negeri serta menarik pelaburan asing melalui Program Transformasi Ekonomi.
"Kita sudah pun membuat permulaan yang kukuh di mana LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) tahun lalu telah mengumpul sebanyak RM110 bilion hasil, dan ini membolehkan kita membiayai perkhidmatan-perkhidmatan utama bagi kebajikan rakyat
seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan baucar buku.
"Bagi mengekalkan momentum ini, kita perlukan semua rakyat Malaysia untuk menyumbang idea mereka, dan oleh itu saya ingin menjemput anda semua untuk turut serta dalam perbincangan Bajet 2013 ini," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment