Wednesday, 18 July 2012

MARA sasar pembiayaan perniagaan RM75j tahun ini


TAWAU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sabah menyasarkan pengeluaran pembiayaan perniagaan bernilai RM75 juta di sepanjang 2012 dan daripada jumlah itu sebanyak RM61,421 juta sudah pun diagih-agihkan, sehingga setakat Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah MARA, Mohd Rosdi Ismail berkata, golongan kontraktor Bumiputera adalah antara para penerima kemudahan itu, menerusi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPIKE) yang bernilai RM 57,519 juta.

Pada tahun lalu pula katanya, MARA mengeluarkan pembiayaan perniagaan bernilai RM69,155 juta dan menerusi SPIKE, RM62,907 juta disalurkan bagi membantu 701 orang kontraktor bumiputera di Sabah.

Katanya, beberapa lagi skim pembiayaan yang lebih kompetitif akan diperkenalkan oleh MARA, demi memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera yang berdaya saing.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminaar Transformasi Ekonomi Bumiputera 2012, anjuran bersama Pejabat MARA Sabah, Usahawan-usahawan MARA Sabah dan Persatuan Kebajikan Bugis Sabah, di sini, kelmarin.

Dalam konteks transformasi pula, Mohd Rosdi memberitahu bahawa Sektor Usahawan MARA akan memainkan peranannya sebagai pemacu bagi melahirkan lebih ramai usahawan baru dan memperkasakan usahawan yang sedia ada.

Usaha itu katanya akan direalisasikan melalui pendekatan bersepadu menerusi tumpuan kepada pembangunan usahawan, pengujudan peluang-peluang perniagaan, bantuan pemasaran, penjenamaan dan penyediaan modal, selain pelbagai latihan industri akan disediakan untuk memperkukuhkan lagi transformasi berkenaan.

Sementara itu ketika ditemubual, beliau memberitahu bahawa kelemahan di dalam bidang pemasaran dan pengurusan kewangan adalah antara faktor utama yang dikenal-pasti menjadi penyebab kegagalan usahawan Bumiputera di dalam bidang perniagaan.

Ekoran itu katanya, MARA kini turut melaksanakan program-program yang dapat membantu golongan tersebut mengatasi kelemahan terbabit agar mereka bukan sahaja mampu bersaing di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Menjawab satu soalan, sebanyak RM750,000 diperuntukkan kepada Sabah pada tahun ini menerusi Program Usahawan Kecil Dinamik bagi membantu golongan usahawan dan penjaja kecil dari aspek pinjaman kecil perniagaan yang bernilai sehingga RM10 ribu, dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Seramai 10 usahawan menerima cek pembiayaan daripada MARA yang keseluruhannya bernilai RM150,000, di majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah MARA Sabah, Kamarudzaman Md. Ali.

No comments:

Post a Comment