Friday 10 February 2012

Menara MARA bakal jadi tarikan penggemar fesyen

Ibrahim Ahmad (kanan) menerima dokumen serahan bangunan Menara Mara daripada Adi Munawar Md. Din (kiri) sambil
diperhatikan oleh Idris Jusoh (dua dari kanan) dan Mohammad Lan Allani di Menara Mara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Menara MARA setinggi 33 tingkat di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini yang akan memulakan operasinya Mei ini bakal menjadi tumpuan penggemar fesyen tempatan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tarikan utama yang disediakan di menara itu adalah pusat fesyen dinamakan Busana yang menawarkan pelbagai rekaan oleh anak tempatan.

"Pusat fesyen yang meliputi lima tingkat di menara itu menawarkan antaranya koleksi eksklusif barangan kemas, koleksi fesyen eksklusif dari butik-butik tempatan yang terbaik, produk batik dan butik pakaian muslimah dengan harga berpatutan.

"Busana juga bakal menempatkan Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) yang menawarkan himpunan pakaian dalam satu kedai dan kita yakin ia mampu bersaing dengan rangkaian fesyen berjenama antarabangsa," katanya selepas majlis penyampaian dokumen serahan bangunan Menara MARA di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad; Presiden Pembinaan Jaya Zira Sdn. Bhd., Datuk Adi Munawir Md. Din dan Pengerusi Mara Incorporated Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Lan Allani.

Menara MARA dibina di tapak bangunan lama MARA setinggi lapan tingkat yang dirobohkan pada 2005.

Selain fesyen, menara itu turut menyediakan dewan konvensyen, ruang pejabat, laman pengantin, medan selera, galeri seni, pusat kecantikan serta hotel bertaraf empat bintang.

Tambah Idris, bangunan tersebut yang terletak di kawasan tumpuan beli-belah dilihat mampu merancakkan penguasaan ekonomi bumiputera.

"Pembinaan bangunan baru ini sebenarnya memberi ruang kepada usahawan bumiputera untuk meluaskan serta memajukan perniagaan mereka di kawasan yang menjadi tumpuan di ibu kota," jelasnya.

No comments:

Post a Comment