RAUB 15 Feb. - Pelatih Pusat GiatMara menyifatkan penyertaan dalam program Mesra Generasi Muda satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana ia dapat mendekati masyarakat luar bandar.
Seorang peserta, Fathin Nadia Muhamad, 21, berkata, jurang generasi muda dengan generasi lama merupakan satu masalah yang perlu diberi perhatian kerana golongan itu beranggap mereka berada di zon selesa.
"Amat penting generasi muda diberi pendedahan dengan faktor sejarah, budaya dan tradisi bangsa sejak kecil lagi supaya mereka tidak lupa diri sebaliknya menjadi pewaris yang disegani," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bagi peserta GiatMara Bentong, Norfazlinie Suhaimi,21, dia berbangga kerana tinggal bersama keluarga angkat kerana berpeluang mendalami kehidupan masyarakat kampung tradisional di daerah ini.
''Saya membersihkan rumah dan memasak untuk keluarga angkat yang secara tidak langsung dapat menjalin hubungan mesra antara generasi muda dengan orang dewasa,'' katanya.
Peserta GiatMara Bandar Tun Razak, Siti Amenda Sekeri, 20, berkata, dia bimbang jika golongan itu akan lupa diri, budaya dan tradisi serta tidak menghargai sejarah jatuh bangun bangsa yang terdahulu.
Katanya, mereka harus mempunyai rasa peka terhadap pertimbangan idealisme dan realiti kerana tidak semua yang dibawa oleh barat boleh diambil dan menjadi pegangan di negara ini.
Pendapat itu disokong oleh rakannya, Noor Rafina Jan Mohd. Rafik, 20, dari GiatMara Setiawangsa, Kuala Lumpur yang mahu generasi muda berwibawa dan mampu memberi cetusan masa depan demi kemajuan negara.
''Program ini wajar diteruskan pada tahun-tahun berikutnya supaya para pelatih seperti kami mampu meneroka alam remaja dengan lebih positif,'' katanya.
No comments:
Post a Comment