Tuesday, 21 February 2012

KPTM, Bank Rakyat anjur Seminar Resume-Temuduga Cemerlang

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bersama Yayasan Bank Rakyat hari ini menganjurkan Seminar Resume-Temuduga Cemerlang bagi memberi pendedahan kepada graduan dalam menghadapi alam pekerjaan.

Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, program kali ketiga itu bertujuan bagi memberi panduan kepada graduan supaya yakin ketika sesi temuduga berlangsung.

"Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada bakal graduan untuk lebih bersedia dalam menempuh alam pekerjaan, tetapi turut mengajar peserta bagaimana untuk tampil berlainan daripada calon-calon lain semasa temuduga kelak," katanya pada sidang akhbar selepas penutupan seminar tersebut di KPTM, Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Perancangan Aktiviti Yayasan Bank Rakyat, Mushin Ismail.

Sohaimi berkata, semasa sesi temuduga, graduan bukan sahaja dinilai berdasarkan keputusan yang cemerlang, malah perlu mempunyai kemahiran untuk berinteraksi dengan penuh yakin.

"Selain itu, pembawakan diri seperti personaliti dan cara pemakaian juga turut diambil kira semasa ditemuduga. Inilah antara tip yang didedahkan kepada peserta ," katanya.

Sementara itu, Mushin berkata, program ini juga akan diteruskan pada masa akan datang berikutan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

No comments:

Post a Comment