Wednesday 15 February 2012

Kursus GiatMara dinilai semula

RAUB 9 Feb. - Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menilai semula kursus dan latihan yang ditawarkan oleh Pusat GiatMara bagi memastikan ia kekal relevan dengan kehendak industri.

Pengerusinya, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang berkenaan merangkumi wakil pihak industri, golongan profesional dan ahli akademik.

Katanya, latihan dan kursus yang ditawarkan oleh GiatMara perlu dinilai semula kerana institusi latihan itu kini sudah berusia 25 tahun.

"Selain itu jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan beberapa kursus dan latihan baru bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir melalui kursus jangka pendek dan panjang.

"Mereka juga akan merangka beberapa modul dan kokurikulum baru bagi melahirkan usahawan yang boleh menceburi pelbagai bidang perniagaan berpotensi dan menjadi keperluan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) di Dataran Dong di sini hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa itu sudah di peringkat akhir menyediakan draf cadangan kursus dan latihan yang akan diserahkan kepada GiatMara tidak lama lagi.

Shahiruddin memberitahu, sehingga kini, GiatMara menawarkan 37 jenis kursus di 223 cawangannya di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan peruntukan RM56 juta bagi membina 11 buah Pusat GiatMara baru termasuk di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment