Monday, 13 February 2012

125,000 ditawar sertai program keusahawanan

Oleh Zul Ikhwan Muhammad
2012/02/13

Kementerian bantu tingkat sosioekonomi bekas tentera

MERSING: Kementerian Pertahanan mengenal pasti kira-kira 125,000 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di seluruh negara untuk menyertai program khas keusahawanan dan peluang kerjaya bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata menerusi program itu, kementerian menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan di kalangan kumpulan terbabit setiap tahun. Beliau berkata, usaha ke arah itu sedang dijalankan melalui ujian psikometrik yang dikendalikan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengenal pasti ciri dan minat dalam diri mereka sebelum dilatih menjadi usahawan.

Katanya, setakat ini 2,000 bekas tentera sudah mendaftar untuk menjadi usahawan dan modul khusus untuk mereka dirangka dengan kerjasama MARA, SME Bank serta Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).

“Program dirangka khusus membantu bekas tentera yang tiada pencen untuk menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan seterusnya membebaskan mereka daripada masalah kesempitan wang,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini, semalam.

Dr Abdul Latiff berkata, mungkin ramai daripada golongan terbabit mempunyai minat menjadi usahawan tetapi tidak mempunyai ilmu serta kemahiran dalam bidang berkenaan.

“Justeru melalui program yang dirangka ini, kementerian mensasarkan tiga kategori iaitu usahawan baru, kumpulan mempunyai bidang sendiri namun belum berjaya dan kumpulan yang ada bidang sendiri serta berjaya dalam bidang diceburi.

“Mereka yang terbabit akan diberi kemahiran serta ilmu berkaitan untuk menjadi usahawan yang akan dipantau Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT),” katanya.

Katanya kerajaan fokus serta prihatin kepada golongan terbabit dan program tersebut adalah salah satu usaha untuk membantu mereka supaya tidak terdesak menjalani kehidupan sekali gus meningkatkan taraf hidup.

No comments:

Post a Comment