Thursday 9 February 2012

Kolej Kemahiran Tinggi MARA lahir pelajar kreatif

Oleh Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bharian.com.my
2012/02/07

KKTMR sedia lima bidang pengkhususan berkualiti

KEMENANGAN tiga pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau, Negeri Sembilan, (KKTMR) pada Pertandingan Mural dan Graffiti anjuran Pusat Pembangunan Reka Bentuk Sdn Bhd (DDEC), membuktikan kualiti pendidikan di kolej berkenaan mampu melahirkan pelajar kreatif dan berdaya saing.

Pengarah KKTMR, Zainal Abidin Othaman, berkata pihaknya yakin kualiti pendidikan terbaik yang disediakan menerusi lima bidang pengkhususan memberi peluang pelajar memperoleh bimbingan berkualiti. Beliau berkata, lima bidang pengajian iaitu Diploma Reka Bentuk Media Digital, Diploma Filem dan Animasi Digital, Diploma Reka bentuk Perabot, Diploma reka bentuk Dalaman dan Diploma Reka Bentuk Fesyen.

“Walaupun hanya menawarkan lima bidang, kursus berkenaan memberi kelebihan kepada pelajar menguasai bidang yang diterajui pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Tahun Reka Bentuk Malaysia (MDY) 2012 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancaran yang dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi DDEC, Datuk Md Othman Yusuf dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Tiga pemenang Pertandingan Mural dan Grafiti DDEC tempat pertama Khairul Amran Ibrahim, Nur Alia Ghazali (kedua) dan Muhd Aizuddin Mazlan (ketiga).

Zainal Abidin berkata, kebolehpasaran graduan terbukti apabila lepasan diploma mencapai 90 peratus memenuhi keperluan pasaran sebaik menamatkan pengajian.

Beliau berkata, pencapaian bermula pada pengambilan pertama pelajar akhir 2008. Setakat ini pihaknya sudah melahirkan seramai 76 graduan pada majlis konvokesyen pertama tahun lalu.

“Berdasarkan jumlah berkenaan, boleh dikatakan hampir semua graduan KKTMR memenuhi pasaran kerja, manakala bakinya memilih untuk bekerja sendiri dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mengulas kemenangan tiga pelajar berkenaan, Zainal berkata dia bangga kerana kualiti pengajaran di kolej berkenaan mampu melahirkan pelajar cemerlang dan mampu mengilhamkan hasil kreativiti bermutu tinggi.

“Bakat muda ini perlu dibimbing bagi membolehkan mereka pergi lebih jauh. Hasil seni grafiti dan mural yang dimenangi akan dipamerkan di bangunan DDEC pada tempoh tertentu.

“Usaha membimbing mereka akan diteruskan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti tambahan antaranya, seminar, persidangan, forum dan ekspo membabitkan penggiat industri reka bentuk,” katanya.

No comments:

Post a Comment