Sunday 5 February 2012

Penjawat awam perlu lebih efektif, responsif

Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my

2012/02/05

Najib mahu barisan hadapan cekap yakinkan rakyat terhadap sistem kerajaan

KUANTAN: Penjawat awam, termasuk peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjadi barisan depan kerajaan perlu lebih cekap menambah keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sektor awam yang bertanggungjawab dan efektif adalah barisan depan pentadbiran kerajaan kerana persepsi dan tanggapan rakyat terhadap kerajaan banyak terbentuk melalui pengalaman mereka ketika berurusan dengan barisan depan agensi awam.

Katanya, mereka perlu memahami dengan jelas Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) yang juga satu daripada komponen Pelan Transformasi Nasional, supaya dapat memperkasakan sistem penyampaian menerusi penggunaan teknologi terkini.

"Ini kerana penjawat awam termasuk PBT adalah penyedia perkhidmatan kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Tanggapan rakyat dibentuk daripada interaksi mereka dengan PBT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan PSTM (2011-2015) PBT & Hari Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur (CCI) Projek Permulaan (EPP8) e-Government Pahang di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Kerajaan Pahang yang pertama membangunkan PSTM secara serentak bagi semua 11 PBT dengan menggunakan pendekatan penggunaan sumber dalaman sepenuhnya.

"Saya difahamkan projek pembangunan PSTM untuk semua PBT di Pahang adalah model pembangunan bersepadu yang pertama dilaksanakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Ia dapat mempercepatkan proses pembangunan dengan penjimatan kos amat ketara.

"Kos untuk membangunkan pelan ini hanya membabitkan sekitar RM100,000 berbanding jika dilaksanakan secara ‘outsource’ yang boleh menjangkau sehingga lebih RM1 juta," katanya.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap model itu dapat diteruskan kepada agensi, kerajaan negeri dan PBT lain kerana ia bukan saja menjimatkan kos pembangunan PSTM tetapi boleh dijadikan platform baru pembangunan kepakaran dalam bidang strategik ICT.

Najib kemudiannya menyampaikan sumbangan ang pau dan barangan keperluan asas kepada warga tua dan miskin di Tokong Tow Koo Keong di Jalan Haji Junid, di sini.

Sementara itu, pada majlis penyerahan Skim Insentif Tanaman Semula (SITS) kelapa sawit kepada peneroka di FELDA Chini Timur 3 dekat sini, Najib berkata, lebih 5,000 peneroka daripada 36 skim FELDA di seluruh negara dijangka menerima insentif tanam semula dalam tempoh terdekat.

"Peneroka yang akan menerima insentif ini adalah mereka yang menanam semula sawit sebelum skim insentif ini dilaksanakan antara 1 Disember 2008 hingga 30 Jun 2009," katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Najib berkata, insentif itu disediakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi menggalakkan pekebun kecil menanam semula ladang mereka dengan benih baru yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment