2011/08/22
Tubuh pusat inkubator dedah bidang niaga
KIRA-KIRA 10 syarikat bersedia bertindak sebagai mentor bagi membimbing pelajar Kolej Polytech MARA (KPTM) dalam bidang keusahawanan menerusi penubuhan Pusat Inkubator Usahawan.
Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata antara syarikat itu ialah Tan Chong Groups, Moneytree, Jcorp, Etiqa Insurances, Sadira Capital Sdn Bhd, RM Shoppe Sdn Bhd dan Data Speaks Sdn Bhd.
Katanya, menerusi penubuhan pusat inkubator itu, pelajar berpeluang untuk membabitkan diri dalam bidang keusahawan, seterusnya menjadikan ia sebagai pilihan kerjaya selepas tamat pengajian kelak.
“Pusat inkubator ini akan bertindak seperti pusat sehenti ‘top centre’ untuk mengkoordinasi kegiatan inkubator lain di seluruh KPTM di samping menjadi pusat pembayaran bil utiliti dan telekomunikasi,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Inkubator Usahawan di KPTM Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin dan Pengasas Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Md Yunos.
Sohaimi berkata, KPTM membelanjakan kira-kira RM40,000 membina bangunan pusat inkubator yang terdiri daripada tiga ruang niaga di dalamnya untuk kemudahan pelajar menjalankan perniagaan.
“Pelajar yang terpilih boleh menggunakan ruang niaga itu untuk berniaga dan akan dipantau mentor masing-masing,” katanya.
Mengenai penubuhan pusat inkubator di cawangan KPTM lain, Sohaimi berkata ia akan dilakukan secara berperingkat dengan anggaran antara RM30,000 dan RM40,000 untuk membina bangunan pusat inkubator itu.
“Bergantung kepada kesesuaian lokasi dan tapak, selain akan menyediakan juga kereta sorong (push cart) sebagai kemudahan pelajar berniaga,” katanya.