Thursday 17 November 2011

MRSM Serting terima ILT Utusan Malaysia

JEMPOL 15 Nov. – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting, dekat sini menerima Insentif Langganan Tahunan (ILT) akhbar Utusan Malaysia bernilai RM500 selepas mencapai kuota pembelian memberangsangkan dalam tempoh setahun.

Eksekutif Cawangan Negeri Sembilan Utusan Melayu (M) Berhad, Shahri Harun berkata, insentif tersebut adalah sebagai menghargai jasa pihak sekolah berkenaan yang telah melanggan 8,096 naskhah akhbar Utusan Malaysia dalam tempoh setahun.

‘ILT ini merupakan sumbangan daripada pihak Utusan Malaysia kepada sekolah yang telah ditetapkan berpandukan jumlah langganan.

‘‘Lebih tinggi jumlah langganan lebih banyak insentif diberikan oleh pihak syarikat bagi menghargai jasa sekolah termasuk mana-mana sekolah yang melanggan akhbar ini,” katanya selepas menyerahkan replika cek berjumlah RM500, kepada pihak MRSM Serting di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengetuanya, Suhaimin Omar memberitahu, pihaknya amat gembira di atas pemberian insentif tersebut dan bercadang untuk meningkatkan pembelian pada masa depan.

‘‘Salah satu faktor pihak sekolah melanggan akhbar ini adalah kerana ia mempunyai sisipan pendidikan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) yang nyata membantu meningkatkan mutu pelajaran pelajar terutama dalam subjek Bahasa Melayu.

‘‘Ia bukan sekadar akhbar biasa sehinggakan kami sanggup melanggan 68 naskhah setiap hari dari Isnin hingga Jumaat,” katanya yang telah melanggan akhbar Utusan Malaysia untuk diagihkan kepada pelajar sejak 2003.

Tambahnya lagi, selain itu, akhbar ini turut dapat dimanfaatkan pelajar melalui laporannya yang sedikit sebanyak membantu pembacanya mendapatkan perkembangan terkini dari dalam dan luar negara.

No comments:

Post a Comment