Monday 14 November 2011

Penghuni diarah pindah

REMBAU 12 Nov. - Pergerakan tanah sejak beberapa hari lalu memaksa penghuni kuarters sebuah kolej dekat sini mengosongkan kediaman mereka bagi mengelak kejadian lebih buruk.

Arahan berkenaan dikeluarkan pengurusan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau (KKTM), di sini selepas mendapati 11 buah kuarters yang didiami kakitangannya mula mengancam keselamatan berikutan struktur tanah yang tidak stabil.

Jurutera Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri, Mohd. Harzullah Ibrahim menjelaskan, struktur tanah melibatkan kawasan cerun berkeluasan 7.5 hektar itu mula bergerak dan telah meretakkan dinding cerun dan jalan raya tidak rata.

''Kita dapati ia berpunca daripada kadar taburan hujan tinggi sejak beberapa hari lalu selain keadaan tanah jenis kaolin atau tanah liat putih yang menyerap air di kawasan berketinggian lebih 50 meter itu.

''Jika ini berterusan, maka berlaku pergerakan air yang serius di dalam tanah akan menyebabkan struktur tanah bahagian atasnya tidak stabil dan membahayakan," jelasnya kepada pemberita di kolej itu dekat sini, semalam.

Kata beliau, pihaknya sedang memantau pergerakan tanah berkecerunan 32 darjah hingga 42 darjah kerana bimbang berlakunya runtuhan yang besar.

Hadir sama dalam lawatan di tempat kejadian Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek dan Pengarah KKTM Rembau, Zainal Abidin Othaman.

Hasan yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, kerja memperkukuhkan struktur cerun akan dilakukan selepas pihak kolej bersama Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) selesai menjalankan siasatan.

''Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kolej kerana segera mengarahkan penghuni di 11 kuarters kakitangan mengosongkan kediaman bagi mengelakkan tragedi buruk," katanya.

Sementara itu, 11 keluarga yang mendiami kuarters berkenaan kini tinggal di beberapa rumah berdekatan dan menumpang di rumah sanak saudara mereka sehingga dimaklumkan kelak oleh pihak kolej.

No comments:

Post a Comment