Arab Saudi beri penghormatan luar biasa terhadap Malaysia di Istana Mina
SEPANG: Raja Arab Saudi Raja Abdullah Aziz Al-Saud memandang tinggi terhadap Malaysia dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Malah baginda, yang juga pengawas Masjidil Haram turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Najib dalam mentadbir negara.
Baginda bertitah demikian kepada Najib melalui perbualan telefon antara baginda yang berada di Riyadh dan Najib yang berada di Istana Tetamu Mina jam 7.45 malam Isnin lalu, selama 25 minit.
Najib dalam ucapannya sebaik tiba dari tanah suci di Kompleks Bunga Raya KLIA di sini, semalam, berkata: “Ini menunjukkan kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Abdullah yang juga Custodian of the Holy Mosque dan seluruh kepimpinan Islam kerajaan Arab Saudi memandang tinggi kepada Malaysia dan kerajaan kita.”
Najib berkata, sokongan itu menunjukkan kepimpinan Malaysia berada pada landasan yang betul dan benar, dan ini menguatkan lagi semangat pemimpin negara untuk terus berjuang.
Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah serta rombongan tiba dengan pesawat khas jam 3.25 petang, dan disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia turut diberi penghormatan luar biasa oleh kerajaan Arab Saudi ketika beliau berada di sana bagi menunaikan ibadah haji.
“Malam tadi, saya adalah ketua kerajaan pertama dapat berjumpa dengan Putera Mahkota yang baru, Putera Naif (Abdul Aziz) dalam satu pertemuan yang berlangsung sejam setengah,” katanya mengenai Putera Naif yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.
Katanya, tidak pernah dalam sejarah, Malaysia diberi penghargaan apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diberi penghormatan memberikan ucapan dalam bahasa Arab di Istana Mina dan mendapat pujian tinggi semua yang hadir.
Najib juga melahirkan penghargaan kepada Muhyiddin kerana menjalankan pentadbiran dengan begitu baik sepanjang beliau tiada di dalam negara.
Perdana Menteri berterima kasih kepada mereka yang menyambut ketibaan beliau dan isteri dan berkata: “Alhamdulillah, kami selesai melakukan ibadah haji dan mudah-mudahan Allah menerima ibadah kami dan menerimanya sebagai haji mabrur.
“Maka dengan ini, kita akan meneruskan perjuangan kita dengan semangat dan kekuatan serta keimanan untuk memastikan matlamat dan cita-cita kita akan tercapai,” katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment