Thursday 10 November 2011

Selangor bentang bajet berimbang RM1.6 bilion

SHAH ALAM 9 Nov. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membentangkan Bajet 2012 bagi negeri ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion dengan bertemakan Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Beliau berkata, bajet berimbang itu mengandungi empat strategi iaitu meningkatkan kecekapan pentadbiran dan meningkatkan kualiti asas kehidupan keluarga dan masyarakat selain melestarikan pembangunan serta mendorong masyarakat berilmu, berakhlak mulia dan hidup sihat.

Antara intipati bajet ialah program elaun anak ke nurseri membabitkan peruntukan RM3 juta dan penerusan program pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri ini.

Beliau juga mengumumkan 'Geran Selangorku' melibatkan peruntukan RM300 juta untuk memantapkan program Merakyat Ekonomi Selangor (MES) menerusi 17 program tambahan antaranya pengenalan gaji minimum pada tahun depan oleh anak syarikat milik penuh kerajaan negeri dengan dana RM10 juta disediakan untuk anak-anak syarikat kerajaan negeri yang prestasi kewangan belum stabil bagi melaksanakannya.

Katanya, menerusi program tambahan itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi infrastruktur manakala RM30 juta untuk pembinaan infrastruktur sukan selain masing-masing RM30 juta bagi program pemerkasaan wanita bagi membasmi kemiskinan, keusahawanan sosial dan program keusahawanan muda serta belia menambah nilai perniagaan.

"Bagi sekolah yang memerlukan bantuan khususnya kemudahan asas, sebanyak RM30 juta diperuntukkan menerusi pengenalan Program Sokongan Pendidikan," katanya ketika membentang bajet tersebut pada sidang DUN di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM20 juta bagi pengenalan program kebajikan untuk bekerja dan program pembasmian rasuah dan penyelewengan dengan peruntukan RM15 juta.

Selain itu, beliau juga mengumumkan program pengukuhan demokrasi dengan peruntukan RM5 juta, pengukuhan budaya (RM3 juta), program pemeliharaan alam sekitar (RM5 juta), jangkaan hidupan bandar (RM10 juta) dan program pejabat ke rakyat (RM20 juta) manakala program penerangan maklumat negeri (RM10 juta).

Beliau juga mengumumkan program peningkatan kualiti hidup rakyat dengan peruntukan RM5 juta dan program peningkatan kemahiran kakitangan awam sebanyak RM5 juta manakala program penggerak pembangunan luar bandar, RM22 juta.

Antara butiran lain bajet yang dibentangkan oleh Abdul Khalid ialah;

- RM8.5 juta untuk pemuliharaan tapak pelupusan sampah Kubang Badak, Air Hitam, Sungai Kembong, Pulau Ketam, Sungai Kertas selain kerja pemulihan Sungai Kembong.

- RM3 juta untuk Program Zon Bersih.

- RM4 juta untuk program kerajaan prihatin melibatkan kos tambahan bina baru dan baik pulih rumah keluarga miskin, bantuan bencana alam, bekalan makanan asasi, penyelengaraan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), baik pulih lif rumah kos rendah selain tambahan RM500,000 untuk membaiki dewan orang ramai dan RM4 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

- RM3.2 juta untuk tambah baik kawasan bersejarah di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor selain tambahan RM500,000 bagi pembangunan muzium di Istana Bandar, Jugra dan RM2.8 juta menaik taraf Muzium Sultan Alam Shah.

- RM14.5 juta untuk pembangunan desa dan luar bandar termasuk kampung baru, kampung bagan dan kampung tersusun manakala tambahan RM500,000 bagi pembangunan pinggir bandar.

- RM2 juta untuk membasmi kemiskinan dan RM2.2 juta bagi program pembangunan ekonomi petani, nelayan dan penternak selain RM500,000 bagi kebajikan golongan itu serta RM300,000 untuk program pembangunan pekerja ladang.

- RM4.7 juta untuk pembangunan produk pelancongan seperti kraf tangan dan RM2 juta bagi industri kampung.

Bagi tujuan pendidikan pula, RM2 juta diberikan masing-masing kepada program pusat tuisyen rakyat dan program pendidikan tinggi, Program Spiritual, Fizikal, Emosi dan Sosial (Spies) (RM3 juta), Program Generasi Idaman Selangor (GEMS) sebanyak RM1 juta, tabung anak pekerja ladang (RM1 Juta), pembangunan Orang Asli (RM100,000) dan program Orang Kelainan Upaya (OKU), anak yatim dan kanak-kanak sebanyak RM1 juta.

- Bagi sekolah agama, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, masing-masing diperuntukkan sebanyak RM16 juta manakala rumah ibadat bukan Islam diperuntukkan RM3 juta.

- Sebanyak RM3.5 juta pula diperuntukkan untuk program pembangunan belia, RM4 juta untuk pembangunan sukan, RM500,000 untuk latihan kemajuan wanita dan keluarga, latihan dan pembangunan usahawan serta latihan teknikal sebanyak RM2.25 juta manakala latihan kemahiran kepada kakitangan kerajaan sebanyak RM500,000.

No comments:

Post a Comment