Thursday 10 November 2011

Pendidikan: Masih ada kekurangan modal insan

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau hanya berpuas hati dengan sebahagian daripada pencapaian keseluruhan sistem pendidikan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sistem pendidikan negara masih mempunyai kekurangan sehinggakan pencapaian modal insan dalam beberapa aspek agak ketinggalan berbanding negara jiran.

''Kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan laporan awal jawatankuasa penilai yang dipertanggungjawabkan bagi mengkaji semula sistem pendidikan negara,'' katanya ketika ditemubual dalam program Soal Jawab di Sri Pentas di sini, hari ini.

Namun, tegas beliau, walaupun hanya berpuas hati dengan sebahagian daripada pencapaian tersebut, ia tidak bermakna sistem pendidikan negara tidak bagus kerana sistem yang sama sudah melahirkan jutaan pakar.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci kandungan laporan tersebut kerana katanya, ia masih di peringkat penilaian awal.

"Ada yang saya puas hati dan ada yang saya tidak berpuas hati. Maksud saya, kita sudah mencapai kejayaan dalam beberapa bidang, tetapi ada juga kelemahan dan kekurangan berbanding dengan negara jiran.

"Umpamanya, kita agak ke belakang berbanding Finland dan beberapa negara maju lain yang sudah ke depan. Kita masih di peringkat pertengahan dan sebab itu kita perlu angkat kedudukan kita agar sama dengan mereka.

"Ini tidak bermakna sistem kita tak baik. Sistem kita baik tetapi tidak cukup baik sebab itu saya mengarahkan sistem ini dikaji semula," katanya.

Tambah Muhyiddin, dalam usaha mengangkat kedudukan sistem pendidikan negara, kerajaan memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai langkah awal.

Jelasnya, selain bertujuan menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dasar baru tersebut diyakini mampu memperkasakan lagi modal insan negara.

No comments:

Post a Comment