Thursday, 20 October 2011

Perkhidmatan awam jangan 'seronok sendiri': Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam tidak seharusnya diulit perasaan 'seronok sendiri' ketika merealisasikan semua sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai penjawat awam yang mendokong dan menjayakan dasar kerajaan, adalah penting untuk mereka sentiasa memikirkan soalan-soalan seperti apakah rakyat faham tentang usaha yang kerajaan lakukan selama ini.

"Kenapakah rakyat tidak bersama-sama menyertai untuk menjayakan usaha-usaha itu?, apakah impaknya cukup besar kepada rakyat untuk mereka menghargai apa yang dilakukan kerajaan selama ini? dan di manakah silapnya apabila rakyat masih tidak berpuas hati dengan segala usaha dan pencapaian kita?" katanya. Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam ke-16 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Persidangan dua hari bermula hari ini turut melibatkan 20 tokoh tersohor negara dalam sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan berkongsi pendapat mereka dalam usaha memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan awam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Malaysia Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pemangku Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya dan Pengarah Intan, Dr Aminuddin Hassim.

Muhyiddin berkata kaghairahan memacu usaha-usaha pemerkasaan NKRA tidak seharusnya melekakan penjawat awam daripada memerhati hasil sampingan ketara yang terpaksa ditanggung rakyat masa kini iaitu kos sara hidup yang membebankan.

"Dalam hal ini, sektor awam perlu berada di barisan hadapan dengan mempelopori perkongsian pintar antara kerajaan dan rakyat bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup menerusi pelaksanaan tindakan-tindakan yang efisien dan efektif.

"Ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai usaha kita, kita tidak boleh alpa kerana sebarang kealpaan akan menyebabkan perkhidmatan awam diberikan penilaian negatif dan ditafsir sebagai tidak releven lagi dalam pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata dalam memastikan setiap tindakan bagi mengutamakan kepentingan rakyat itu berjaya, pertemuan dan interaksi dengan rakyat adalah perlu untuk membolehkan suara dan rintihan rakyat didengar dan diberi perhatian.

"Juga penting, kerajaan perlu memastikan rakyat turut dilibatkan dan bersama-sama dalam proses penghasilan sesuatu dasar bagi mengelak ketidakpuasan hati yang boleh menimbulkan bangkangan dan penentangan," katanya.

Mengenai sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Muhyiddin berkata berkata ia akan menjadi landasan utama kepada transformasi pengurusan bakat perkhidmatan awam yang akan meyaksikan perubahan radikal dalam pembangunan kerjaya itu.

Bagi menjayakan SBPA secara menyeluruh, budaya berprestasi tinggi hendaklah diwujudkan dalam perkhidmatan awam, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment