Sunday 9 October 2011

MARA tumpu bantu peniaga


JOHOR BAHRU 6 Okt. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi penekanan semula terhadap usaha membantu memajukan perniagaan usahawan bumiputera.

Ahli Majlis MARA, Datuk Ariss Samsudin berkata, ia akan dijadikan fokus utama pihaknya selepas selama ini sering dikaitkan dengan bidang akademik.

“Matlamat utama Mara adalah untuk membantu memajukan perniagaan usahawan bumiputera dan peranan itu terhenti seketika kerana banyak badan lain turut terlibat dalam usaha tersebut.

“Kini kami akan memberi tumpuan semula kepada usaha berkenaan dan pada masa sama turut memberikan penekanan dalam bidang akademik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA 2010 peringkat negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah MARA Negeri Johor, Razali Nurdad.

Ariss yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, pihaknya juga sedang giat menyediakan latihan dan pembiayaan kepada golongan usahawan yang ingin memulakan perniagaan.

Beliau berkata, latihan dan pembiayaan itu terbuka kepada semua bidang dan tidak terhad kepada sesetengah perniagaan sahaja.

“Sebagai contoh, sebanyak RM23.5 juta sudah diberikan kepada kontraktor kecil untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini melalui Skim Pembiayaan Kontraktor Ekspres bagi membantu mereka menjalankan projek. 

Selain itu, kita turut menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman lain bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, beliau berkata, seramai 70 pegawai dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan berdasarkan penilaian berterusan yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, aspek yang dinilai termasuk tanggungjawab, etika semasa bekerja, disiplin dan kebolehan melaksanakan tugas mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Penerima anugerah tersebut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, sijil dan surat penghargaan.

No comments:

Post a Comment