PUTRAJAYA 15 Okt. - Kolej Polytech Mara (KPTM) akan menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi berprestij dalam dan luar negara untuk mempertingkatkan lagi kualiti pendidikannya.
Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, setakat ini pihaknya telah bekerjasama dengan dua universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia serta sebuah universiti luar iaitu Coventry University, England.
"Kita dalam proses untuk mencari universiti-universiti berprestij seluruh dunia sebagai rakan kongsi. Dalam masa sama kita juga sedang merancang menghantar lebih ramai penuntut cemerlang kolej ini ke luar negara dengan sokongan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melanjutkan pengajian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis konvokesyen KPTM ke-28 di sini hari ini.
Seramai 4,050 graduan dari tujuh kampus cawangan KPTM menerima ijazah, diploma dan sijil profesional masing-masing.
Dalam pada itu Sohaimi berkata, KPTM juga akan memperkukuhkan beberapa bidang pengajian kolej tersebut dengan menawarkan program-program pengajian terkini dan kontemporari.
No comments:
Post a Comment