Lawatan Jabatan Audit Negara ke rumah peserta Program Latihan Untuk Menjana Pendapatan (LMP) yang diuruskan oleh GIATMARA, mendapati ada peserta yang dipilih, bukan daripada golongan miskin atau miskin tegar.
Ia berdasarkan keadaan rumah kediaman peserta serta kemampuan peserta memiliki kenderaan, mempunyai perusahaan burung walit dan mempunyai set perabot.
"Sehubungan itu, status kemiskinan peserta dan kesahihan peserta kursus ini adalah kurang tepat," demikian menurut laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010.
Dalam jawapannya, GIATMARA menjelaskan bahawa semasa kelulusan kursus, senarai peserta adalah berdasarkan senarai e-kasih.
Namun, katanya, semasa tarikh kursus dilaksanakan, terdapat peserta yang tidak hadir atau menarik diri atas faktor/sebab di luar kawalan GIATMARA.
"Oleh kerana kelulusan peruntukan pelaksanaan kursus telah dikeluarkan dan bagi mengelak pembaziran, GIATMARA telah mengambil inisiatif mengisi kekurangan peserta dengan kerjasama pemimpin tempatan serta-merta dengan peserta di kawasan setempat," jelas GIATMARA dalam laporan tersebut.
Di samping itu, katanya, semasa tempoh pelaksanaan program, GIATMARA juga diminta mengambilkira permohonan peserta yang dinamakan sendiri oleh pemimpin-pemimpin tempatan.
"Faktor-faktor ini menyebabkan GIATMARA tidak dapat memenuhi keperluan menentukan status peserta dari segi tahap kemiskinan, tersenarai dalam e-kasih dan pengesahan pegawai bertanggungjawab," jelas GIATMARA.
Menurut laporan itu lagi, Jabatan Audit Negara juga mendapati objektif LMP yang dilaksanakan di tempat yang dilawati, tidak dapat dicapai sepenuhnya.
Katanya, seramai 61 peserta atau 47.3 peratus yang ditemubual, gagal menjana pendapatan hasil latihan dan kursus yang diterima.
"Keadaan ini disebabkan beberapa faktor seperti kursus yang ditawarkan tidak sesuai digunakan untuk memulakan perniagaan, peserta tidak tahu memasarkan produk, kekurangan modal dan tidak mempunyai keyakinan untuk memulakan perniagaan," tambahnya.
Menurut laporan itu lagi, sebelas kursus yang dilaksanakan dalam program LMP dengan perbelanjaan RM1.22 juta adalah tidak bersesuaian dengan keadaan tempat kediaman peserta kerana tiada kemudahan elektrik.
"Pada pandangan Audit, GIATMARA perlu menilai sesuatu kursus dari segi kesesuaian terhadap peserta, tempat dan potensi program untuk menjana pendapatan.
Dalam penjelasannya, GIATMARA berkata semasa kelulusan program, tiada sebarang penetapan unjuran pencapaian program yang ditetapkan.
Namun, katanya, melalui pemantauan ke atas bekas peserta kurus yang dijalankan setakat 14 Disember 2010 mendapati seramai 4,960 bekas peserta (41.3 %) telah memulakan perniagaan dengan purata penambahan pendapatan bulanan RM500 sebulan.
"GIATMARA mengambil maklum bahawa program pembasmian kemiskinan adalah program yang sukar dan GIATMARA masih meneruskan pemantauan dan kesinambungan program melalui Program Pembangunan Usahawan dan Inkubator GIATMARA," tambahnya.
GIATMARA berharap melalui kaedah tersebut, dapat membantu meningkatkan kesedaran keusahawanan yang berterusan kepada bekas peserta LMP untuk membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.