KUALA LUMPUR 9 Feb. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertindak menamatkan kontrak Inno Elegan Sdn. Bhd. (IESB) selaku penyewa utama Anggerik Mall di Shah Alam berkuat kuasa 15 April ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, MARA memberitahu, penamatan itu dilakukan atas alasan prestasi yang kurang berkesan oleh IESB selaku pengurus kompleks berkenaan.
Kata kenyataan itu, notis penamatan penyewaan telah dikeluarkan pada 6 Januari lalu.
"Dengan penamatan tersebut, pengurusan Anggerik Mall akan diletakkan kembali di bawah pengurusan MARA.
"Pihak MARA Negeri Selangor turut akan dilibatkan bagi melaksanakan program promosi secara agresif dan berjadual di premis tersebut," kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas lima hari Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai rasa tidak puas hati sebahagian peniaga di kompleks itu terhadap IESB.
Aktiviti promosi pertama oleh MARA dijadual diadakan pada 19 Februari ini iaitu persembahan kebudayaan yang mendapat kerjasama daripada pelajar jurusan seni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
"Ini akan diikuti dengan aktiviti menarik yang lain termasuk menganjurkan semula bazar uptown di kawasan meletak kenderaan kompleks itu," kata kenyataan berkenaan.
Dari segi penyewaan, MARA memberitahu, pemantauan ke atas pematuhan waktu perniagaan, larangan penyewaan kecil dan ketepatan bayaran sewa akan dilaksanakan.
Tindakan akan diambil terhadap peniaga yang melanggar syarat tersebut bagi memastikan hanya peniaga yang benar-benar serius untuk memajukan diri dan mengamalkan etika perniagaan yang baik sahaja berada di Anggerik Mall.
"Di samping itu, penyewa juga diminta untuk turut sama berusaha mempromosikan perniagaan masing-masing dengan menganjurkan acara-acara tertentu sama ada menerusi Persatuan Usahawan Anggerik Mall (PUAM) atau secara sendirian.
Anggerik Mall adalah premis MARA di bawah konsep Komersial Penuh kerana berada di lokasi strategik atau bandar besar yang penduduknya mempunyai kuasa beli yang sederhana dan tinggi.
Pengendali premis di bawah konsep itu melibatkan usahawan sebagai penyewa utama supaya premis itu mempunyai pasukan pengurusan yang fokus ke arah kemajuan premis berkenaan.
IESB dilantik sebagai penyewa utama pada 1 Ogos 2009.
No comments:
Post a Comment