Tuesday 1 February 2011

MARA bina IKM di Raub

RAUB 31 Jan. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membina Institut Kemahiran MARA (IKM) di sini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, satu kawasan seluas 60 hektar berhampiran bandar ini disediakan bagi pembinaan projek tersebut dengan peruntukan sebanyak RM148 juta.

Menurut beliau, institut kemahiran baru itu bukan sahaja melatih para pelatih tetapi ia akan memberi impak besar terhadap ekonomi dan menjadi pemangkin kepada pembangunan di daerah ini.

"Lepasan sekolah menengah di daerah ini serta daerah berhampiran akan diberi keutamaan mendapatkan pelbagai latihan kemahiran di situ.

"Apabila siap nanti ia merupakan IKM pertama dibina di kawasan Pahang barat setakat ini," katanya semasa melawat tapak yang bakal menjadi kawasan pembinaan IKM berhampiran bandar Raub di sini semalam.

Shahiruddin yang juga merupakan Pengerusi GiatMARA berkata, kerja-kerja projek akan dilaksanakan sebaik sahaja reka bentuk serta proses tender dikeluarkan.

Tambahnya, pembinaan institut itu merupakan projek terbesar dilaksanakan kerajaan di daerah ini dalam usaha memberi latihan kepada belia mengikuti pelbagai bidang kemahiran.

Jelasnya, apabila mula beroperasi nanti ia dijangka mampu menampung 3,000 pelatih.

Katanya, usaha itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir terlatih dari kalangan belia terutama lepasan sekolah bagi memenuhi pasaran pekerjaan negara.

No comments:

Post a Comment