Wednesday, 16 February 2011

KPTMKB rai kecemerlangan

KOTA BHARU 15 Feb. - Seramai 101 orang pelajar Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu (KPTM KB) yang cemerlang dalam bidang akademik dengan mendapat Purata Nilai Gred 3.5 ke atas pada peperiksaan sesi Julai - November 2010 diraikan dalam satu Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik di Hotel New Pasific dekat sini baru-baru ini.

Presiden KTPM, Datuk Yusoff Harun berkata, anugerah itu melibatkan pelbagai jurusan iaitu Diploma Kejururawatan, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Teknologi Maklumat, Perlancongan dan Diploma Sains Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berkata, majlis itu diadakan pada setiap semester untuk menghargai dan meraikan kejayaan para pelajar yang cemerlang bagi menyuntik semangat serta dorongan kepada para pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik.

Selain itu, katanya ia juga diharap dapat menjadi pemangkin serta perangsang kepada pelajar-pelajar lain yang kurang cemerlang dalam pembelajaran.

"Penghargaan sebegini diharap mampu memberi ruang kepada pelajar merealisasikan visi dan misi KPTM dalam melahirkan pelajar yang holistik, berilmu pengetahuan dan peka kepada perubahan persekitaran.

"Saya berharap agar KPTM dapat terus melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia serta dapat menyumbang bakti kepada kemajuan KPTM dan masyarakat setempat selaras dengan falsafah pendidikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang kepada pelajar KPTM KB di hotel tersebut baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah MARA Negeri Kelantan, Mat Noor Abdul Razak; Pengarah KPTM KB Mohamed Saifudin Hussin dan Timbalan Pengarah Akademik KPTM KB, Mohd. Asri Muhammad.

Yusoff Harun memberitahu, keupayaan untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang merupakan agen promosi secara tidak langsung kerana ia akan menjadi pendorong kepada masyarakat di luar sana menjadikan KPTM sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang berjaya, para pensyarah serta kakitangan KPTM KB yang telah bertungkus lumus menaikkan nama KPTM.

"Selain itu, saya ingin menyarankan kepada semua kakitangan KPTM untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar selaras dengan pengiktirafan SIRIM melalui pensijilan ISO 9002 yang diperoleh baru-baru ini," ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima anugerah Muhammad Ashrol Abdullah, 22, ketika ditemui berkata, dia gembira dengan anugerah tersebut dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik.

"Alhamdulillah saya gembira dengan anugerah ini, ia merupakan anugerah yang tertinggi pernah saya terima setakat ini. Jika sebelum ini saya hanya menerima anugerah dekan, hari ini saya berjaya mendapat anugerah Naib Canselor.

"Saya mahu beri kejayaan ini kepada kedua orang tua saya yang banyak memberikan sokongan dan dorongan sebelum ini," katanya yang mendapat gred nilai purata 3.5 keatas bagi setiap semester.

Anak jati kelahiran Jitra Kedah itu memberitahu, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pergigian atau farmasi.

Seorang lagi penerima, Norasikin Mohammad, 21, berkata, anugerah tersebut akan dijadikan motivasi kepadanya untuk terus berjaya dalam pelajarannya.

Tambahnya, kejayaan tersebut membuktikan KPTM mampu melahirkan pelajar yang berkualiti selaras dengan misi dan visi yang telah ditetapkan oleh pihak kolej.

No comments:

Post a Comment