Monday 21 February 2011

MARA sedia RM44 juta untuk pinjaman kontraktor

TAWAU 18 Feb. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sabah menerima peruntukan RM44 juta tahun ini bagi menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman rakyat negeri ini.

Pengarah MARA Negeri, Kamaruzdzaman Md. Ali berkata, daripada jumlah itu pula RM26 juta diperuntukkan untuk kemudahan pinjaman kontraktor.

"Sebanyak RM18 juta lagi adalah untuk kemudahan pinjaman perniagaan kepada peminjam yang layak.

"Jadi saya berharap peruntukan ini akan dapat memberi manfaat kepada golongan sasaran untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Kelab Usahawan Kompleks Tawau (Kukta) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Kukta, Ramli Hassan dan Pegawai MARA Tawau, Mohd. Yassin Ajum.

Menurut Kamaruzdzaman, pihak MARA akan memberi fokus kepada penyewa dan pelatih Institut Teknikal Mara untuk diberikan kemudahan pinjaman.

Justeru, beliau meminta semua peminjam dan penyewa premis MARA supaya sentiasa berusaha keras memajukan perniagaan masing-masing.

"Mereka perlu mencari inovasi baru serta bergerak keluar untuk mencari pelanggan dalam usaha memajukan daya saing perniagaan mereka.

"Selain itu mereka juga perlu bijak mencari peluang dan memberanikan diri dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan masa kini," katanya.

No comments:

Post a Comment