Tuesday 8 February 2011

MARA gagal tunai janji

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

kota@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 7 Feb. Kegagalan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan janjinya untuk menyerahkan bangunan yang kosong sepenuhnya di Anggerik Mall, di sini, untuk diuruskan Inno Elegan Sdn. Bhd sejak 2009 menjadi punca mengapa kompleks itu lengang.

Pengarah Urusannya, Huzry Fionnawatti Hussien berkata, melalui perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini, sepatutnya pihak MARA menyerahkan bangunan yang kosong sepenuhnya untuk diuruskan.

Katanya, namun apa yang mengecewakan, sehingga kini, pihak MARA masih gagal melaksanakan janji tersebut dan lebih menyakitkan, pihaknya dipaksa pula menerima para penyewa tegar MARA berniaga di situ dengan kadar sewa yang telah ditetapkan MARA sendiri.

Ujarnya, jika pihak MARA melaksanakan janjinya sejak dari dahulu serta tiada campur tangan pihak lain, pihaknya yakin mampu menguruskan kompleks tersebut dengan cara terbaik melalui pelbagai transformasi yang akan dilaksanakan.

"Bagaimana kami hendak melakukan transformasi di situ jika pihak MARA masih gagal menyempurnakan janjinya.

"Kami berada dalam keadaan dilema kerana pengurusan yang dilakukan masih mendapat campur tangan dari pihak MARA, seperti memaksa kami menyewa kepada penyewa tegarnya.

"Percayalah, jika ia diserahkan sepenuhnya kompleks tersebut dengan keadaan kosong, kami mampu membuka lembaran baru Anggerik Mall ini dengan pelbagai transformasi baru yang akan dilaksanakan dalam menarik semula pelanggan untuk berkunjung ke situ," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan rungutan dan keluhan peniaga-peniaga di Anggerik Mall yang kurang mendapat sambutan pelanggan.

Mereka juga menyalahkan pihak pengurusan kerana gagal melakukan promosi dan menyemarakkan Anggerik Mall, di samping turut meminta MARA mengambil alih semula pengurusan kompleks itu.

Tambahya, sehingga kini para peniaga juga hanya tahu menyalahkan pihaknya dengan mendakwa tidak menguruskan kompleks itu dengan baik, tanpa mengetahui punca sebenar.

Ujarnya, peniaga pun harus berfikir secara rasional dengan kadar sewa yang dikenakan murah dan ia jauh berbeza kalau hendak dibanding dengan SACC Mall dan Kompleks PKNS, jadi mereka tidak seharusnya terlalu mengharap pulangan lumayan.

Sementara itu, Fiona, turut melahirkan rasa kesal ekoran daripada laporan Utusan Malaysia semalam, sehingga menyebabkan syarikatnya kini teruk terjejas.

Katanya, dia turut kesal dengan dakwaan bahawa syarikatnya turut mempunyai sokongan kuat daripada beberapa individu yang mempunyai kepentingan politik, padahal ia sama sekali tidak benar.

Katanya, selama ini, kita tidak pernah mendapat mana-mana sokongan daripada mana-mana badan politik dan kenyataan tersebut sedikit sebanyak sangat menjejas reputasi syarikatnya kini.

"Oleh itu, hari ini, saya dengan sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan tersebut, kerana semuanya adalah tidak benar sama sekali,"tegasnya.

1 comment:

  1. hang memnag tak pandai wat promosi. Patut belajar le macam ner PKNS boleh berjaya. Usaha tuan tu yang tidka diberkati kerana sombong sangat, takabur dan Allah tidak membantu perkerjaan tuan. Macam kompleks Gurney. Sama kepala dengan tuan. Ditambah, mungkinnya usaha-usaha pembangunan kompleks ini dicemari dengan rasuah, penipuan orang-orang politik. dan ini azab yang patut kamu tanggung dan ALlah timpakan azab kemiskinan dan kegagalan dalam urusan anda.
    Sendiri pikir le...

    ReplyDelete