KUALA LUMPUR 26 Jun - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan pihak berkuasa tempatan dan swasta membina lebih banyak gelanggang futsal, khususnya di kawasan perumahan seluruh negara dalam usaha menggalakkan rakyat bersukan dan mengamalkan hidup sihat.
Katanya, aktiviti ini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang malah mampu membendung masalah sosial seperti lepak, merempit dan membuang masa dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.
"Saya sedari sukan futsal amat digemari oleh golongan belia dan beliawanis. Walaupun bilangan gelanggang futsal semakin bertambah, namun ia masih belum mencukupi.
"Ini berasaskan kekerapan tempahan gelanggang yang sentiasa penuh pada hari bekerja malah meningkat pada hujung minggu terutama setiap kali diadakan sebarang pertandingan futsal. Apa yang pasti, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada belia," katanya semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Futsal 1GiatMara di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd. Majid.
Kejohanan Futsal 1GiatMara 2011 merupakan program yang dianjurkan sempena sambutan Jubli Perak penubuhan GiatMara dan disertai oleh lebih 2,000 peserta termasuk anggota kerja GiatMara dan komuniti MARA di seluruh negara.
Rosmah berkata, penganjuran kejohanan futsal ini adalah usaha yang baik bagi mendukung matlamat kerajaan melahirkan modal insan yang cergas, aktif, berdisiplin dan berdaya tahan.
"Kita sedia maklum, sukan bukan sahaja dapat membina kesihatan tubuh badan dan mental seseorang malah memupuk semangat kesukanan, jati diri, daya saing serta sikap kerja berpasukan.
"Ini sekali gus dapat membantu melahirkan masyarakat Malaysia yang berupaya menghadapi cabaran pada masa dean," katanya.
Jelas beliau, sehubungan itu, adalah menjadi harapan kejohanan futsal ini dijadikan acara dwitahunan dan diperluaskan meliputi komuniti MARA dengan melibatkan pelatih dari institusi pendidikan MARA.
"Melalui temasya sukan, bakat baru dalam bidang futsal dapat dicungkil dan diketengahkan di peringkat kebangsaan," katanya.