Wednesday, 11 August 2010

Sehari Bersama UniKL beri pendedahan

KOTA TINGGI 10 Ogos - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerusi bahagian pemasarannya telah mengadakan program Sehari Bersama UniKL dengan kerjasama penuh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik (SMKT), seramai 100 pelajar asrama tingkatan lima sekolah tersebut mengikuti program yang memberi pendedahan mengenai program pengajian di peringkat tinggi yang ditawarkan UniKL serta mengenai pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Eksekutif Bahagian Pemasaran UniKL, Mohd. Norhaida Abd. Rahman berkata, program berkonsepkan pendidikan dan ilmiah membabitkan tiga subjek iaitu pengenalan teknologi maklumat (IT), sudut bahasa Inggeris dan bengkel Matematik.

Selain itu, ia turut memfokuskan pendaftaran terbuka kepada golongan pelajar bumiputera.

Katanya, program itu bukan sahaja mempromosikan kursus yang ditawarkan malah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai bidang pengajian yang menjadi pilihan mereka.

"Kami merasakan ramai di kalangan pelajar kurang mendapat pendedahan dan mungkin tidak menyedari tentang kewujudan UniKL dan kemudahan seperti mendapatkan pinjaman pendidikan MARA," katanya yang ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi UniKL, Datuk Dr. Adham Baba berkata, UniKl merupakan universiti teknikal pertama di negara ini yang didaftarkan di bawah Institusi Pengajian Tinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu IPMa.

Katanya, IPMa merupakan salah satu institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka yang mengeluarkan graduan berkemahiran dalam bidang tertentu khususnya kejuruteraan.

Ditubuhkan pada tahun 2002, ia berhasrat membentuk para graduannya dengan pengetahuan teknologi dan kemahiran keusahawanan yang mantap dalam memenuhi keperluan industri semasa dan terkini, katanya.

"UniKL sangat unik kerana walaupun ia bukannya universiti akademik, namun ia menggabungkan 60 peratus latihan kemahiran bersama-sama 40 peratus akademik," katanya.

"Ketika ini UniKL mempunyai 10 kampus cawangan yang menawarkan pelbagai jenis program persediaan, diploma, sarjana muda dan pasca ijazah bagi melahirkan sumber manusia mahir dalam bidang teknologi kejuruteraan.

"UniKL bukan sahaja menyumbang kepada bidang pendidikan malah penyelidikan dan pembangunan bagi tujuan pengkomersialan,'' katanya ketika memberi taklimat dan menutup program tersebut.

Menurut beliau, UniKL telah melahirkan lebih 10,000 siswazah yang berjaya membina kerjaya bukan sahaja di pasaran tempatan malah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, seorang peserta, Siti Nafisyah Taza, 17, dari Kampung Cahaya Baru, Masai menyatakan kesyukuran kerana berpeluang mengikuti program berkenaan dan menyifatkannya sebagai amat bermanfaat.

"Konsep pembelajaran dan peluang yang ditawarkan memberikan semangat dan keyakinan untuk belajar lebih bersungguh-sungguh lagi," kata Siti Nafisyah.

Rakannya, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 17, berkata, tenaga pengajar dari UniKL banyak membantu dalam menyuntik semangat merealisasikan impiannya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

"Mara melalui institusi pendidikannya menyediakan pelbagai program kursus yang bersesuaian dengan kelulusan dan minat pelajar bermula dari kelayakan rendah hinggalah yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran tinggi," katanya.

Pelajar dari Ulu Tiram, Johor Bahru, Nur Ainina Hanis Muharam, 17, berkata, program ini banyak membantu dari segi memberi maklumat oleh tenaga pengajar yang begitu profesional.

No comments:

Post a Comment