Friday 6 August 2010

Fitec bekal perabot sekolah ke Bangladesh

GOMBAK 3 Ogos - Pusat Sumber Teknologi Perabot (Fitec), anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA), bakal membekalkan perabot ke sekolah-sekolah di seluruh Bangladesh dengan nilai pasaran AS$1 bilion (RM3.15 bilion) tidak lama lagi.

Pengerusi Fitec, Datuk Kamarudin Ambok berkata, rundingan sedang berjalan antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Bangladesh untuk membekalkan perabot-perabot itu ke sekolah di Bangladesh.

Sebagai permulaan kata beliau, Fitec telah melantik wakil yang berpusat di Bangladesh bagi bagi membuka pusat pameran perabot keluaran Fitec di sana.

"Kami mendapati prospek pasaran perabot di Bangladesh amat besar dengan bilangan penduduk berjumlah 160 juta orang,'' kata beliau selepas majlis memeterai memorandum persefahaman antara Fitec dan Boustead Nava; Shipyard Sdn. Bhd., Sirim Bhd. dan My Kitchen Venture Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Nilai pasaran industri perabot dunia adalah lebih AS$100 (RM315 bilion) dan Malaysia merupakan negara ke-sembilan pengeksport perabot terbesar di dunia.

Jumlah eksport perabot Malaysia pada tahun 2009 adalah RM6.7 bilion dengan eksportnya meliputi ke 160 negara.

Bagaimanapun penglibatan usahawan bumiputera masih lagi kecil iaitu di bawah lima peratus.

Menurut Kamarudin, selain Bangladesh, syarikat itu kini giat mencari pasaran baharu di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Eropah, Negara-negara di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memajukan industri perabot yang dianggotai usahawan-usahawan bumiputera.

Ketika ini, sebanyak 167 syarikat perabot bumiputera di seluruh Malaysia telah berdaftar dengan syarikat selaku vendor Fitec.

Malah Fitec yang turut menyertai pameran perabot antarabangsa di Milan, Itali baru-baru ini telah mendapat tempahan dari Eropah bagi memasarkan produk perabot di sana.

No comments:

Post a Comment