Thursday, 25 February 2010

Kursus Pengurusan Kontraktor IBS dan Installer IBS Bumiputera

MARA mempelawa kontraktor & juga guna tenaga Bumiputera yang bergiat di dalam industri pembinaan untuk mengikuti kursus IBS jangka pendek secara intensif menjadi installer IBS atau Kontraktor IBS dalam memenuhi keperluan industri pembinaan dengan mengaplikasi teknologi dan sistem IBS di dalam projek-projek pembinaan negara. Program ini adalah sebagai persediaan menyediakan penggiat industri IBS sempena penguatkuasaan IBS oleh kerajaan di dalam industri pembinaan.

Peserta yang menamatkan kursus latihan kemahiran installer IBS dengan jayanya akan ditauliahkan sebagai installer (tenaga mahir) IBS yang kompeten manakala syarikat yang menamatkan kursus pengurusan kontraktor IBS dengan jayanya akan ditauliahkan sijil perakuan kontraktor IBS dan berpeluang mengembangkan perniagaan untuk menjalankan projek-projek IBS sebagai vendor/kontraktor installer IBS.

Untuk yang demikian, MARA Selangor akan menganjurkan kursus tersebut pada 7 - 11 Mac 2010 dengan bayaran adalah sebanyak RM300.

Sila hubungi Pejabat MARA Daerah Hulu Selangor untuk keterangan lanjut.

Tuesday, 23 February 2010

MAJLIS PENYERAHAN KIOSK PERNIAGAAN PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN MIKRO MARA-PBT DAERAH HULU SELANGOR

Pada 23hb Februari 2010 telah diadakan satu majlis Penyerahan Kiosk Perniagaan BPU Mikro MARA-PBT Daerah Hulu Selangor bertempat di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Hulu Selangor.

MARA diwakili oleh YM Raja Izaham b. Raja Iskandar- TP 2 BPU, En Khairul Anuar b. Subari-PUSMA Selangor dan juga En. Mohd Fadzlee b. Ab Rahim-PMD Hulu Selangor.

Manakala MDHS diwakili oleh En. Azman Bin Dahlan-S/U Majlis dan En. Che Azmi bin Hassan-Pegawai Penilai MDHS.

Peniaga-peniaga yang layak ditawarkan berniaga di kiosk ini adalah terdiri daripada peserta yang telah menghadiri Kursus Pembentukan Usahawan yang telah dilaksanakan oleh MARA bersama-sama perundingnya.

Adalah diharapkan peserta-peserta dapat memanafaatkan peluang ini dan berusaha untuk meningkatkan perniagaan mereka.

Iklan Permohonan Ke Institut Pendidikan MARA (IPMa)

Permohonan dibuka kepada calon-calon warganegara Malaysia untuk mengikuti kursus-kursus berkaitan secara online bagi pengambilan sesi Julai 2010.
Sila layari  ONLINE UPIM

Tarikh Permohonan UPIM Secara Online adalah 23 Feb 2010 sehingga 15 Apr 2010.

Thursday, 18 February 2010

MARA perketat syarat pinjaman

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperketatkan syarat untuk semua pinjaman perniagaan dengan mewajibkan peminjam menamakan sekurang-kurangnya seorang penjamin atau cagaran, termasuk untuk pinjaman serendah RM1,000.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhammad, berkata langkah itu bagi memastikan setiap peminjam lebih bertanggungjawab dan menjelaskan ansuran bulanan pinjaman secara sistematik bagi mengelak sebarang gangguan kepada pusingan modal.

Beliau berkata, saranan ini adalah antara strategi yang digariskan Mara untuk memastikan sasaran kutipan sebanyak RM400 juta mencapai matlamatnya sepanjang tahun ini.

"Mulai tahun ini, Mara akan menggunakan sepenuhnya wang hasil kutipan pinjaman di kalangan peminjam untuk menyediakan pinjaman kepada usahawan Bumiputera yang mengemukakan permohonan.

"Jika semuanya berjalan lancar, cadangan yang sudah dipersetujui di peringkat pengurusan Mara ini akan dikuatkuasakan serta merta dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini.

Antara syarat baru pinjaman adalah menamakan penjamin sama ada pegawai kerajaan, swasta atau ahli perniagaan yang berpendapatan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Sebelum ini, penjamin tidak diperlukan untuk pinjaman perniagaan antara RM1,000 dan maksimum sebanyak RM500,000.

Ibrahim berkata, sebagai organisasi pembangunan, langkah berkesan perlu dirangka dan dilaksanakan untuk memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat secara menyeluruh, bukan hanya menyalurkan bantuan untuk sebahagian saja.

"Wujudnya kira-kira 30 peratus daripada 38,000 peminjam di kalangan usahawan yang disenaraikan sebagai usahawan yang mempunyai tunggakan hutang tidak berbayar (NPL) untuk tempoh lebih enam bulan mendorong Mara merangka syarat memperketatkan syarat pinjaman,' katanya.

Beliau berkata, syarat yang lebih ketat ini diharap menimbulkan kesedaran di kalangan peminjam yang memperoleh RM1.74 juta pinjaman sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan membuat bayaran ansuran mengikut jadual.

Ibrahim berkata, antara masalah kutipan pinjaman yang dihadapi Mara, termasuk kurangnya sambutan di kalangan peminjam untuk membuat pembayaran menggunakan urus niaga perbankan, SMS dan internet.

"Tidak semua hasil kutipan pinjaman digunakan sebagai pusingan modal, sebaliknya sebahagian perlu disediakan untuk menjelaskan pinjaman wang kerajaan Persekutuan kepada Mara," katanya.

- BERITA HARIAN

Wednesday, 17 February 2010

Robert Kuok Kekal Orang Terkaya Di Malaysia


KUALA LUMPUR: Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion semalam atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.

Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan hari ini, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada tahun 2008.

Penanda aras FBM KLCI telah meningkat 44.3 peratus sejak kaji selidik terakhir ketika masyarakat dunia berusaha bangkit semula berikutan krisis kewangan global.

Senarai penuh 40 orang terkaya dan maklumat mengenai kekayaan mereka telah diterbitkan dalam majalah itu dalam keluaran 16 Februari. Seperti tahun lepas, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham mereka di dalam syarikat yang tersenarai semalam.

Kaji selidik itu juga menunjukkan hampir separuh daripada senarai yang tercatat tahun ini melonjak 50 peratus atau lebih.

Ada lebih jutawan tahun ini iaitu 22 orang - lebih lapan orang berbanding tahun lepas.

Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya "Raja Gula" tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86 bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary dengan kekayaan bernilai RM6.01 bilion, menduduki tempat ketujuh.

Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun. - BERNAMA

Friday, 12 February 2010

Kakitangan kolej bergegas angkat kereta beramai-ramai

12/02/2010
KUANTAN:“Kami terpaksa mengangkat sebuah kereta beramai-ramai bagi menyelamatkannya daripada terbakar,” kata Mokhtar Abu Bakar, 37, saksi kebakaran di blok pelbagai bilik di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini, semalam.

Dia yang bekerja sebagai pemandu kolej berkenaan berkata, ketika kebakaran, kakitangan termasuk pensyarah di kolej berkenaan bergegas menyelamatkan kereta masing-masing selepas bilik stor yang bercantum dengan tempat letak kereta terbakar kira-kira jam 12 tengah hari.

“Bagaimanapun kami terpaksa mengangkat kereta berkenaan memandangkan tuannya tiada di tempat kejadian dan ia ditinggalkan berkunci,” katanya.

Dalam kejadian itu, sebuah bilik stor yang menempatkan dokumen penting pentadbiran dan kewangan bersama bilik pemandu hangus terbakar manakala empat bilik lain hanya mengalami kemusnahan kecil.

Mokhtar berkata, sebelum kejadian dia sedang berehat sambil berbual bersama tiga lagi rakannya yang juga kakitangan di kolej berkenaan di bilik pemandu bersebelahan bilik stor.

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi dari kotak fius di bilik sebelah diikuti sumber elektrik terpadam sebelum menghidu bau seperti benda terbakar.
“Kami bergegas keluar dan memeriksa bilik berkenaan dan terkejut melihat api sedang marak dan cuba memadamkannya, namun tidak terdaya kerana api merebak dengan cepat walaupun kami menggunakan kira-kira 15 alat pemadam api,” katanya.

Pengarah kolej berkenaan, Ismail Junuh berkata, kejadian itu kali kedua berlaku di kolej berkenaan selepas kejadian sama pada 1987 membabitkan bangunan berhampiran blok berkenaan.

“Bilik yang terbakar itu bilik stor menyimpan dokumen penting pentadbiran dan fail kewangan yang sudah ditutup manakala sebuah lagi bilik untuk pemandu.

“Sepatutnya bilik stor berkenaan dijaga seorang kerani lelaki, namun dia bernasib baik kerana baru saja keluar dari bilik berkenaan sebelum kejadian berlaku,” katanya. Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Farid Pisri, berkata pihaknya menerima laporan jam 12.17 tengah hari dan dua jentera serta dua van bersama 14 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihak kolej memaklumkan anggaran kerugian akibat kejadian itu kira-kira RM150,000 dan pihak bomba masih membuat siasatan punca kejadian.

Friday, 5 February 2010

Ikan air tawar menu MRSM, Kolej Mara

Hidangan lauk sokong dasar galak pengambilan sumber akuakultur di institusi milik kerajaan

HULU SELANGOR 4 Feb: Menu ikan air tawar akan dijadikan sebahagian daripada hidangan di semua 41 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta empat Kolej Mara sebagai sokongan terhadap Dasar Bekalan Ikan Air Tawar Ke Organisasi Kerajaan.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhamad, berkata dasar itu mensyaratkan ikan air tawar dijadikan sebagai menu di institusi milik kerajaan seperti sekolah berasrama penuh, kolej, pusat latihan, penjara, dan hospital sekurang-kurangnya seminggu sekali. “Kami menyambut baik malah akan menjadikannya sebagai salah satu dasar dalam penawaran tender perkhidmatan membekal, menyedia dan menghidang makanan untuk pelajar di seluruh institusi pengajian di bawah kelolaan kami.

“Kontraktor pembekal juga akan diminta mengutamakan sumber bekalan daripada projek Program Pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) dikendalikan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya sumber ikan yang diperoleh oleh kontraktor adalah berkualiti serta selamat untuk dimakan,” katanya selepas majlis Pelancaran Menu Ikan Air Tawar di MRSM Kuala Kubu Bharu, semalam.

Ibrahim berkata, projek perintis bermula dengan MRSM Kuala Kubu Bharu dipilih sebagai institusi pertama akan memperkenalkan menu ikan air tawar seperti ikan keli, tilapia serta patin untuk dijadikan hidangan dan ia akan diperluaskan secara berperingkat. Katanya, banyak manfaat akan diperoleh pengusaha ikan air tawar.

Thursday, 4 February 2010

RUANGNIAGA MARA UNTUK DISEWA



Permohonan adalah dipelawa daripada Bumiputera Warganegara Malaysia dan para usahawan yang berminat untuk mengisi beberapa kekosongan ruangniaga MARA di:


43 B KEDAI SERI PAGI, SG. CHOH - RM700.00
45 A KEDAI SERI PAGI, SG. CHOH - RM280.00
12 A BENGKEL SERI PAGI, SG. CHOH - RM550.00
18 BENGKEL SERI PAGI, SG. CHOH - RM550.00

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:

PEJABAT MARA DAERAH HULU SELANGOR
TEL: 03-60651001 FAX: 03-60641082

Borang Permohonan Sewa Premis click here

TAWARAN KEMASUKAN MRSM TKT. 1 & 4




Pejabat MARA Daerah Hulu Selangor mengucapkan tahniah atas kejayaan pelajar-pelajar yang dipilih masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2010.

Semoga kemasukan ke MRSM ini dapat menjadi pemangkin dan semangat untuk pelajar-pelajar menjadi lebih cemerlang dan memacu kejayaan.

Bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam permohonan memasuki MRSM dinasihatkan agar jangan kecewa, sebaliknya teruskan usaha gigih kerana masih ada harapan untuk mereka buktikan dalam peperiksaan PMR dan SPM. Ibu bapa mereka perlu terus berikan mereka suntikan semangat agar mereka terus berusaha untuk mendapat keputusan cemerlang pada masa akan datang.

Semakan Status Permohonan Tingkatan 1 Pengambilan 2010 click here
Semakan Status Permohonan Tingkatan 4 Pengambilan 2010 click here

Wednesday, 3 February 2010

Pelancaran Blog Rasmi PMD Hulu Selangor

Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin wassalatu wassalamu 'ala Sayidina Muhammaddin wa-'ala alihi wa-sahbihi ajma'in.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhaanahu wa- Ta'ala yang dengan limpah rahmat dan izin-Nya dapat kami bersama-sama menyiapkan blog ini.

Terlebih dahulu kami ingin menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Pegawai MARA Daerah Hulu Selangor diatas pelancaran blog ini.

Semoga dengan adanya blog ini dapatlah kiranya kita berkongsi maklumat serta informasi tentang MARA khususnya dan MALAYSIA amnya.InsyaAllah.


Wabillahit Taufiq wal-hidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarkatuh.
Salam 1 Malaysia