12/02/2010
KUANTAN:“Kami terpaksa mengangkat sebuah kereta beramai-ramai bagi menyelamatkannya daripada terbakar,” kata Mokhtar Abu Bakar, 37, saksi kebakaran di blok pelbagai bilik di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini, semalam.
Dia yang bekerja sebagai pemandu kolej berkenaan berkata, ketika kebakaran, kakitangan termasuk pensyarah di kolej berkenaan bergegas menyelamatkan kereta masing-masing selepas bilik stor yang bercantum dengan tempat letak kereta terbakar kira-kira jam 12 tengah hari.
“Bagaimanapun kami terpaksa mengangkat kereta berkenaan memandangkan tuannya tiada di tempat kejadian dan ia ditinggalkan berkunci,” katanya.
Dalam kejadian itu, sebuah bilik stor yang menempatkan dokumen penting pentadbiran dan kewangan bersama bilik pemandu hangus terbakar manakala empat bilik lain hanya mengalami kemusnahan kecil.
Mokhtar berkata, sebelum kejadian dia sedang berehat sambil berbual bersama tiga lagi rakannya yang juga kakitangan di kolej berkenaan di bilik pemandu bersebelahan bilik stor.
“Tiba-tiba kami terdengar bunyi dari kotak fius di bilik sebelah diikuti sumber elektrik terpadam sebelum menghidu bau seperti benda terbakar.
“Kami bergegas keluar dan memeriksa bilik berkenaan dan terkejut melihat api sedang marak dan cuba memadamkannya, namun tidak terdaya kerana api merebak dengan cepat walaupun kami menggunakan kira-kira 15 alat pemadam api,” katanya.
Pengarah kolej berkenaan, Ismail Junuh berkata, kejadian itu kali kedua berlaku di kolej berkenaan selepas kejadian sama pada 1987 membabitkan bangunan berhampiran blok berkenaan.
“Bilik yang terbakar itu bilik stor menyimpan dokumen penting pentadbiran dan fail kewangan yang sudah ditutup manakala sebuah lagi bilik untuk pemandu.
“Sepatutnya bilik stor berkenaan dijaga seorang kerani lelaki, namun dia bernasib baik kerana baru saja keluar dari bilik berkenaan sebelum kejadian berlaku,” katanya. Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Farid Pisri, berkata pihaknya menerima laporan jam 12.17 tengah hari dan dua jentera serta dua van bersama 14 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihak kolej memaklumkan anggaran kerugian akibat kejadian itu kira-kira RM150,000 dan pihak bomba masih membuat siasatan punca kejadian.
No comments:
Post a Comment