Tuesday 30 July 2013

BANTU TUJU NEGARA MAJU

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kunjungan rasmi Perdana Menteri Perancis, Jean-Marc Ayrault ke negara ini semalam membuka banyak peluang perniagaan baru apabila kedua-dua negara dijangka bakal menjalinkan kerjasama dalam beberapa sektor termasuk tenaga diperbaharui, pengangkutan dan bioteknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara berkenaan dibincangkan dengan Ayrault dalam pertemuan berkenaan selain memperkukuhkan hubungan ekonomi dua hala terutama dalam perdagangan, pelaburan, pertahanan dan pendidikan.

Beliau berkata, antara pelaburan awal dibuat Perancis termasuk membangunkan pengkalan pembuatan brek pesawat untuk pasaran Asia membabitkan pelaburan berjumlah kira-kira RM400 juta di Sendayan TechValley, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

“Ada dua pelaburan awal yang dikenal pasti, termasuk projek pembuatan brek pesawat berkenaan serta pelaburan dalam bidang bioteknologi di antara Terengganu dan Arkema, sebuah syarikat dari Perancis bersama sebuah syarikat dari Korea Selatan iaitu CJ CheilJedang (CJ),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, pertemuan itu turut membincangkan kerjasama dalam bidang pertahanan malah, menteri pertahanan kedua-dua negara dijangka mengadakan pertemuan pada Disember depan untuk perbincangan lebih menyeluruh.

Najib berkata, Ayrault juga memberi jaminan mengenai persefahaman yang dibuat antara kedua-dua negara terutama dalam bidang pertahanan.

Menurutnya, syarikat di negara ini mengharapkan lebih banyak peluang pelaburan dari Perancis dalam masa terdekat.

“Secara asasnya, perbincangan berkenaan sangat produktif dimana pelbagai isu disentuh termasuklah isu serantau dan antarabangsa selain peranan Malaysia dalam ekonomi dunia.
“Saya percaya lawatan ini akan menambah lembaran baru terhadap hubungan dua hala yang lebih akrab,” katanya.
Sementara itu, Ayrault berkata, Malaysia adalah rakan kongsi ekonomi kedua terbesar Perancis di kalangan negara ASEAN dimana lebih 260 syarikat Perancis beroperasi di Malaysia buat masa ini.

 “Syarikat berkenaan memberi jaminan untuk memberi sokongan terhadap semua projek pembangunan di negara ini bagi membolehkan Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020.

“Lawatan saya pada hari ini juga adalah untuk meninjau peluang baru yang boleh diteroka usahawan kecil dan sederhana Perancis di negara ini terutama dalam bidang infrastruktur, maklumat dan komunikasi,” katanya.

Pada pertemuan sama, Najib dan Ayrault turut menyaksikan majlis memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Perancis iaitu antara Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Thales membabitkan kerjasama dalam industri rel.

Selain itu, MoU turut berlangsung antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Eurosae SAS bagi kerjasama dalam bidang kejuruteraan, penerbangan dan aeroangkasa, maritim dan pengangkutan yang berhubung kait dengan pertahanan dan keselamatan selain kerjasama strategik antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Eurosae Advanced Training dalam bidang penerbangan dan teknologi aeroangkasa.

Terdahulu, ketibaan Ayrault disambut Najib di Dataran Perdana di sini kira-kira jam 9.30 pagi semalam. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri-menteri Kabinet, duta-duta serta pegawai kanan kerajaan.

Sejurus tiba, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Ayrault kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja.


Lawatan rasmi Ayrault ke negara ini mengulangi lawatan bekas Perdana Menteri Perancis, Pierre Mauroy ke Malaysia pada 1982.

No comments:

Post a Comment