Tuesday 9 July 2013

MAJLIS PERASMIAN MRSM PARIT PERAK


Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Parit merupakan satu lagi usaha kerajaan dalam merealisasikan hasrat negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam aspek sains dan teknologi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kekurangan pelajar aliran sains bakal membawa kepada suatu kesan yang kurang baik dari segi penghasilan golongan profesional khususnya dari kalangan bumiputra.

Menurut beliau, saranan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan idea untuk mewujudkan sistem pendidikan yang menjurus kepada bidang sains dan teknologi.

“MRSM sengaja diletakkan di bawah MARA dan bukannya di bawah Kementerian Pendidikan kerana ia memfokuskan kepada pengambilan pelajar di kalangan bumiputra dan pengkhususan pada pelajar-pelajar luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian MRSM Parit, Perak hari ini (30 Jun 2013).

Perasmian disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
 Turut berangkat, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Dr Zambry berharap dengan terbinanya MRSM ketujuh di Perak, akan merancakkan lagi pembangunan pendidikan, khususnya dari segi peningkatan pencapaian akademik pelajar.

“Penerusan kepada kecemerlangan pelajar di peringkat Penilaian Menengah Rendah atau Sijil Pelajaran Malaysia dapat direalisasikan di institusi ini kerana tenaga pengajar yang terdapat di MRSM merupakan antara yang cemerlang dan terbilang,” 

Sementara itu, Shafie Apdal berkata, MARA akan membuka satu landasan kepada para pelajar untuk membolehkan mereka belajar mengenai sains dan matematik yang akhirnya akan menjadikan mereka sebagai antara insan yang berjaya.

“Kita mahu supaya pelajar jangan hanya tumpu di bidang akademik, tetapi juga mendedahkan mereka dengan pertandingan-pertandingan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa.

“Kita juga dedahkan kepada mereka ilmu kepimpinan untuk membolehkan mereka menonjolkan diri sebagai pemimpin dan ini juga merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARA berharap dengan adanya MRSM di Parit, akan dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan dalam bidang sains dan teknologi.

“Dengan sokongan daripada semua pihak, kita akan dapat membentuk generasi MRSM yang dapat membantu dan menyumbang kepada kemajuan negara terutamanya dalam bidang korporat,” katanya. 

Peraknews

No comments:

Post a Comment