Monday, 18 February 2013

Permohonan pelajar di Mesir dilulus


PEKAN, 16 Februari, 2013: Kerajaan meluluskan elaun sara hidup kepada kira-kira 700 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Mesir yang sebelum ini hanya menerima tajaan untuk yuran pengajian.

Khabar gembira itu diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Felcra Sri Makmur, dekat sini hari ini sebagai membuktikan satu lagi "Janji Ditepati".

Menurut Najib, pemberian elaun itu susulan permohonan yang dikemukakan kumpulan pelajar berkenaan sewaktu lawatan beliau ke Kaherah, Mesir bulan lalu.

Katanya, permohonan itu dibuat berikutan peningkatan kos sara hidup di negara tersebut selepas Arab Springs yang menyaksikan harga barang melambung dengan mendadak.

"Masa saya melawat Kaherah tempoh hari, ada seorang pelajar minta Mara beri elaun sara hidup kerana ada yang tidak terima. Saya bertanya kenapa bangkit permintaan itu, dia kata sejak Arab Springs kos sara hidup telah melambung naik.

"Dia bagi contoh sekilo daging RM40, beza dengan kita di Malaysia, dan inflasi juga naik mendadak hingga banyak belia di Mesir menganggur.

"Mara telah pun diberi arahan supaya luluskan perkara ini. Maka tengok kita (Barisan Nasional), balik saja kita ambil tindakan, inilah bukti apa yang dikatakan Janji Ditepati," katanya.

Yang hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya mengajak rakyat melihat bagaimana perubahan yang berjaya adalah yang dilakukan secara sistematik, bermula dari atas ke bawah dengan didasarkan aspirasi rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, di mana-mana negara yang berlaku perubahan mendadak dari bawah disebabkan ledakan seperti revolusi, sejarah membuktikan apa yang diimpikan tidak semanis realiti.

"Seperti kisah di Mesir yang menyaksikan selepas Arab Spring harga barang melambung, inflasi naik dan belia ramai tiada pekerjaan, ini berbeza dengan di Malaysia," jelas Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment