Wednesday 29 December 2010

MARA belanja lebih RM670 juta laksanakan projek pendidikan 2011

PUTRAJAYA 28 Dis. - MARA memperuntukkan lebih RM670 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pendidikan sepanjang tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan sebanyak itu bukan hanya untuk membiayai projek-projek baru tetapi juga bagi menaiktaraf institusi pendidikan yang sedia di bawah MARA.

"Institusi pendidikan itu membabitkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), GiatMARA dan lain-lain yang berkaitan.

"Bagi pendidikan menengah di MRSM untuk tempoh dua tahun mulai tahun depan, MARA menerima RM457 juta bagi membiayai kos pembinaan serta penyediaan peralatan di beberapa buah MRSM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk tempoh 2011 hingga 2012, MARA memperoleh peruntukan RM2.069 billion bagi membiayai 126 projek atau program.

Daripada jumlah ini, RM1.747 bilion adalah untuk sektor pendidikan.

Mohd. Shafie berkata, bagi tahun yang sama, MARA juga memperuntukkan kira-kira RM400 juta bagi membiayai pelajar-pelajar tempatan yang berjaya melanjutkan pengajian mereka di universiti dalam dan juga luar negara.

"Peruntukan tersebut untuk membiayai 25,500 pelajar membabitkan program pengajian luar negara manakala 24,500 yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti tempatan," katanya.

Selain itu, Mohd. Shafie berkata, MARA turut mewujudkan program khusus bagi membantu pelajar atau belia di bandar yang tercicir dari arus pendidikan atas pelbagai sebab.

Menurutnya, program yang dikenali sebagai Program Perantisan Khas itu dikendalikan oleh GiatMARA sejak 2009.

"Mereka yang terpilih akan ditempatkan di entiti perniagaan atau perusahaan untuk mengikuti latihan kemahiran dalam tempoh enam bulan dalam bidang kemahiran yang ditetapkan," katanya.

No comments:

Post a Comment