Tuesday 28 December 2010

MARA catat kutipan bayaran balik pinjaman tertinggi

Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kutipan bayaran balik pinjaman yang tertinggi pada 2010 berbanding negeri-negeri lain.

Pengarahnya, Abdullah Mohammad memberitahu, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, lebih RM2 juta pungutan dikumpulkan sehingga November lepas.

''Jumlah kutipan balik pinjaman MARA daripada usahawan di Negeri Sembilan adalah yang terbaik setakat November lalu.

''Ini memperlihatkan bahawa adanya tindak balas positif daripada peminjam dan memudahkan kita untuk memberi pinjaman kepada usahawan baru," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan usahawan di negeri ini berjaya dalam perniagaan mereka selepas mendapat bimbingan MARA dan mereka tiada masalah untuk membayar hutang mengikut jadual.

''Apabila pinjaman ini dijelaskan mengikut jadual kita mempunyai dana mencukupi untuk diagihkan pula kepada usahawan bumiputera yang baru menceburi bidang perniagaan," ujarnya.

Mengikut statistik, sepanjang tahun ini MARA negeri telah mengeluarkan sebanyak RM13.94 juta pinjaman membabitkan 249 usahawan bumiputera.

Daripada jumlah berkenaan, 87 peratus telah mula membuat pembayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment