Monday, 31 May 2010

Cadangan penambahbaikan MARA, MRSM

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang merangka proses penambahbaikan bagi meningkatkan tahap profesionalisme Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berbekalkan 50 tahun pengalaman, MARA perlu diperkasakan untuk kembali menjadi sebuah organisasi yang berdikari, merdeka dan profesional.

Menurutnya, untuk tujuan itu, salah satu bidang yang akan dipandang serius dalam proses penambahbaikan tersebut ialah pendidikan terutamanya membabitkan MRSM.

"Pihak kementerian berpandangan, kita perlu menilai kembali bagaimana pendidikan MARA mampu menyumbang secara langsung dan efektif kepada misi, visi serta pelan strategik agensi itu.

"Justeru itu, sistem persekolahan MRSM sedia ada yang masih berorientasikan peperiksaan (exam oriented) harus dinilai semula,'' katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 di Institut Kemajuan Desa (Infra), Bangi, dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Seramai 389 kakitangan kementerian itu yang menunjukkan pretasi cemerlang sepanjang tahun lalu menerima anugerah berkenaan.

Daripada jumlah itu, 36 orang merupakan kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional manakala selebihnya kakitangan kumpulan sokongan serta kontrak.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, sistem persekolahan MRSM ketika ini agak kurang menekankan aspek keusahawanan serta pembentukan kemahiran.

"Ini adalah antara cadangan sebaik sahaja saya mempengerusikan Mesyuarat Kajian Penambahbaikan dan Hala Tuju MARA Ke Arah Kecemerlangan, awal minggu ini.

"Kita telah membincangkannya dengan terperinci. Pelbagai idea diterima dan ada sebahagian daripada cadangan itu memerlukan kajian lanjut serta perancangan teliti sebelum ia dilaksana,'' jelasnya.

Ujar beliau, selain pendidikan, dua bidang lain yang turut diberikan perhatian adalah khidmat pengurusan dan keusahawanan dalam MARA.

Sementara itu jelas Shafie, kementerian baru-baru ini menubuhkan sebuah unit khas yang memberi perhatian khusus kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Unit tersebut, katanya, akan merangka model ekonomi baru luar bandar bagi melonjakkan pendapatan per kapita rakyat daripada AS$7,000 (RM22,050) kepada AS$15,000 (RM47,250) menjelang 2020.

"Sebuah makmal khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi membincangkan strategi serta kaedah bagaimana membawa rakyat luar bandar mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi,'' jelasnya.

Menurut Mohd. Shafie, dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat luar bandar, infrastruktur luar bandar perlu dipertingkatkan.

"Atas dasar itu, sehingga semalam, pembinaan 407.79 kilometer jalan raya di luar bandar di seluruh negara telah siap dilaksanakan.

"Dalam isu kemudahan rumah pula, sejumlah 6,576 buah lagi telah disambungkan dengan kemudahan bekalan air manakala sebanyak 599 buah rumah mendapat faedah bekalan elektrik,'' tambahnya.

Thursday, 27 May 2010

Syarat lebih ketat beri pinjaman MARA

SUNGAI PETANI 26 Mei - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengambil pendekatan lebih selektif termasuk memperketatkan syarat untuk meluluskan pinjaman kepada usahawan bumiputera bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberi kemudahan berkenaan. 
Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu juga boleh mengurangkan masalah kegagalan melunaskan hutang di kalangan peminjam MARA pada masa akan datang.

"MARA sekarang mempraktikkan konsep mudah jaya iaitu kita akan kenal pasti usahawan yang mempunyai ciri-ciri jati diri, inovatif, kreatif, disiplin dan sanggup kerja kuat untuk dibantu.

"Kita tidak lagi bantu semua orang. Hanya mereka yang mudah jaya akan diberikan pinjaman. Usahawan yang akan diberi pinjaman juga perlu menjalani ujian-ujian tertentu seperti dari aspek kepimpinan dan ciri-ciri bersesuaian yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Sains Sosial dan Polisi Awam anjuran Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UiTM Kedah di sini hari ini.

Menurut Idris, dasar pemberian pinjaman MARA kini perlu berubah sejajar dengan perkembangan semasa.

"Sekarang, senario sudah berubah. Usahawan ada di sana sini. Memang semua hendak dapatkan pinjaman, tapi apabila kita beri, tak semua yang mampu bayar balik. Bila tak bayar, dia diisytiharkan muflis dan MARA pun rugi kerana tak dapat balik wang," jelasnya.

MARA teliti semula


Pelajar cemerlang keturunan Siam. (Dari kiri) Syalit Keowmani, Vicsofee Sukahut, Maleewan, Sukeht, Elicesa Lalitta dan Phisnukh Uttraphan.

KULIM 26 Mei - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan bekerjasama dengan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk meneliti semula permohonan pelajar berketurunan Siam yang gagal mendapat tempat di universiti meskipun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, MARA sedia berbuat demikian bagi mengelakkan pelajar cemerlang itu terus tercicir daripada meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Kita akan teliti semula kes ini bagi memastikan mereka yang cemerlang tidak tercicir. Kita kena tengok dahulu sama ada terdapat unsur kesilapan teknikal atau sebagainya.

"Jika tiada masalah, pelajar terbabit akan ditempatkan di pusat pengajian yang bersesuaian," katanya selepas melancarkan sistem pengurusan Perpustakaan Al-Hambra, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di sini hari ini.

Beliau mengulas tulisan Zaini Hassan dalam kolum Cuit hari ini yang memaparkan keluhan pelajar keturunan Siam yang tidak mendapat tempat di IPTA walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2009.

Pelajar berkenaan ialah Vicsofee Sukahut a/p Som yang memperoleh 8A 1B dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Darul Aman; Sukeht a/p Thavil (10A-Maktab Rendah Sains MARA Kubang Pasu) dan Maneewan a/p Perashot (9A 1B dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mohd. Jiwa, Sungai Petani).

Turut lulus cemerlang ialah Elicesa Lalitta a/p Ea Chuan (6A 2B 3C dari SMK Tumpat, Kelantan) dan Syalit Keowmani a/l Eh Sau (7A 2B- SM Sains Pokok Sena, Kedah).

Selain itu, turut tercicir dan gagal mendapat sebarang tempat di IPTA ialah antara pelajar paling cemerlang Maktab Sultan Ismail Kota Bharu yang memperoleh 11A dalam SPM 2007 iaitu Phisnukh Uttraphan a/l Pim.

Menurut Idris, kejadian pelajar cemerlang gagal mendapat tempat ke IPTA merupakan satu perkara yang amat merugikan dan memberi kesan kepada pembangunan pendidikan di negara ini pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, mereka yang benar-benar layak untuk meneruskan pengajian gagal mendapat tempat, sebaliknya ia diperuntukkan kepada pelajar kurang cemerlang yang mungkin kurang berupaya untuk mencipta kecemerlangan dalam pengajian mereka.

Wednesday, 26 May 2010

Tuesday, 25 May 2010

84 Aduan Mengenai SPRM Diterima Sepanjang Tahun Lepas

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima sejumlah 84 aduan mengenai suruhanjaya itu sepanjang tahun lepas membabitkan pelbagai kesalahan termasuk salah laku, penyalahgunaan kuasa dan kecuaian dalam tugas.

Pengerusi Jawatankuasa itu Datuk Mohd Noor Abdullah berkata daripada jumlah itu aduan mengenai penyalahgunaan kuasa paling banyak diterima iaitu 27, diikuti perbuatan salah laku dan kecuaian dalam tugas, masing-masing 14 dan dua aduan mengenai ketidakpatuhan prosedur.

Baki 27 aduan lagi adalah mengenai perkara lain termasuk aduan bersifat jenayah dan permohonan status siasatan, katanya pada majlis penyerahan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM, di sini Isnin.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Noor, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berkata sebanyak 66 kertas siasatan telah dibuka berhubung dan 55 daripadanya telah selesai manakala 11 lagi masih dalam siasatan.

Hasil siasatan mendapati 41 kes tidak melanggar kesalahan tatatertib, lima kes adalah aduan tidak benar, lima kes diberi amaran dan empat kes lagi dirujuk kepada Lembaga Tatatertib SPRM, kata beliau

"Sepanjang 2009, Lembaga Tatatertib SPRM telah menerima sebanyak tujuh kes tatatertib yang turut melibatkan dua pegawai menerima hukuman buang kerja kerana tidak hadir bertugas melebihi tujuh hari," katanya.

Mohd Noor berkata jawatankuasa itu turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi prosedur kerja SPRM termasuk menyarankan suruhanjaya itu meneliti semula prosedur menyimpan dan menggunakan senjata api.

"Kami mencadangkan supaya prosedur kerja di SPRM diperbetulkan iaitu bila menyiasat kes perempuan maka hendaklah ada seorang perempuan bersama pegawai penyiasat supaya tidak timbul fitnah.

"Kita juga mencadangkan supaya rakaman pernyataan hendaklah diadakan dalam bilik khas yang selesa dan disediakan kamera litar tertutup (CCTV) supaya rakaman pernyataan boleh diambil dalam suasana yang selesa dan dikesan oleh CCTV," katanya.

Cadangan lain ialah pegawai penyiasat memaklumkan kepada tertuduh agar membawa pasport antarabangsanya ke mahkamah dalam kes memerlukan pasport itu dikehendakki Timbalan Pendakwaraya, bagi mengelakkan tertuduh ditahan di lokap sementara menunggu pasportnya dihantar ke mahkamah.

Pada sidang berita selepas itu Abu Kassim berkata SPRM akan meneliti setiap cadangan tersebut dan mengambil tindakan selanjutnya.

Ada daripada cadangan tersebut telahpun dilaksanakan, katanya.-- BERNAMA

Tiga Peratus Penjawat Awam Palsukan Sijil Cuti Sakit

PUTRAJAYA, 24 Mei -- Tiga peratus dari kira-kira 1.2 juta penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit mereka, kata Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya Omar Osman berkata kes berkenaan walaupun boleh dianggap terpencil tetapi perlu dipandang serius kerana ia boleh mencemarkan nama semua penjawat awam di negara ini.

Menurut beliau, pemalsuan sijil cuti sakit bertentangan dengan etika kerja perkhidmatan awam yang tertakluk kepada kecemerlangan dan integriti dalam menjalankan tugas.

"Mereka sepatutnya memberikan sijil cuti sakit yang sah yang diperakukan oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta yang membolehkan atau melayakkan mereka menikmati kemudahan cuti sakit oleh majikan.

"Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dibuang kerja jika didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) di sini pada Isnin.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan.

Omar diminta mengulas mengenai pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikan amaran terhadap kegiatan pemalsuan sijil cuti sakit oleh segelintir penjawat awam.

Menurut beliau, kegiatan seumpama itu boleh menyebabkan mana-mana penjawat awam yang terlibat kehilangan segala kelebihan dan faedah yang diperolehi hasil berkhidmat dengan kerajaan.

"Mereka yang dibuang kerja kerana perkara ini akan kehilangan peluang untuk menikmati wang persaraan, pinjaman perumahan dan beberapa kemudahan lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar memberitahu bahawa beliau percaya ada pihak terlibat dalam membekalkan sijil cuti sakit palsu yang menyamai sijil cuti sakit tulen dari pegawai perubatan kerajaan atau swasta.

"Gejala seperti ini perlu segera dibanteras agar tidak terus menular dan menjadi budaya yang tidak sihat di kalangan penjawat awam," katanya.-- BERNAMA

Friday, 21 May 2010

Meja makan sasaran iklan


JOHOR BAHRU 19 Mei - Sedar atau tidak bahawa meja makan yang anda gunakan di sesetengah restoran atau gerai makan bukan lagi untuk tujuan menikmati juadah semata-mata.

Ini kerana dengan daya kreativiti dan inovasi, meja makan kini turut dijadikan bahan pengiklanan berkesan untuk memasarkan produk.

Pengiklanan meja adalah trend serta kaedah terbaru yang popular di negara maju dan kini kian berkembang di negara ini untuk mempromosikan sesuatu produk dan perkhidmatan secara lebih tersusun, kemas dan menarik.

Kaedahnya ialah melekatkan iklan dengan grafik dan warna menarik di atas permukaan meja makan di restoran dan gerai yang menjadi tumpuan orang ramai.

Ia juga memberi keselesaan kepada pelanggan untuk membaca dan mendapatkan maklumat tanpa sebarang paksaan atau tekanan sambil menunggu pesanan atau sambil menikmati juadah.

"Sebenarnya, kaedah pengiklanan meja adalah jauh lebih murah dan amat berkesan," kata Mohd. Nazarul Hazim Naem (gambar) yang merupakan Pengurus Wilayah Selatan Endless Ads Marketing Sdn. Bhd. (EAM) di Taman Molek, di sini baru-baru ini.

Sebab itu syarikat pemasaran bumiputera itu memberi fokus untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan barangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) milik bumiputera.

Katanya, perniagaannya itu bukan semata-mata mencari keuntungan tetapi mempunyai objektif murni untuk membantu golongan bumiputera memasarkan produk mereka.

Lebih-lebih lagi menurutnya, kebanyakan agensi pengiklan biasanya mengenakan kos yang mahal sedangkan peniaga IKS bumiputera mempunyai modal kecil.

Usaha syarikat itu diiktiraf kerajaan apabila AEM memeterai kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengiklankan produk-produk IKS di meja-meja beberapa medan selera MARA di negeri ini baru-baru ini.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek.

Mengulas lanjut Mohd. Nazarul berkata, syarikatnya menyasarkan untuk mempromosikan sebanyak mungkin produk IKS bumiputera sebagai salah satu cara membantu golongan itu memasarkan produk dengan cara lebih murah.

Contohnya kata beliau, kos iklan hanya 0.02 sen untuk seorang pemerhati iklan bagi satu ruangan meja berukuran 16 X 12 sentimeter atau 32 X 24 sentimeter di atas permukaan meja berukuran 5 X 10 sentimeter.

Menurutnya, iklan-iklan tersebut diletakkan di meja-meja restoran atau kedai makan yang mempunyai ramai pengunjung bagi membolehkan antara 28,000 orang pelanggan dapat membaca iklan itu dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, sejak bekerjasama dengan MARA, sambutan terhadap EAM semakin menggalakkan daripada usahawan bumiputera dalam mengiklankan produk mereka.

Walaupun baru enam bulan beroperasi jelasnya, sebanyak 12 syarikat telah menjadi pelanggan iaitu sebagai pengiklan utama dengan lebih 70 iklan meja ditempatkan di sesebuah lokasi strategik.

Menurutnya, pihaknya akan menjalinkan lebih banyak hubungan dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu mengiklankan produk bumiputera.

"Iklan ini semakin diminati kerana orang ramai boleh membaca iklan di atas meja mereka dengan selesa sambil menunggu pesanan makanan atau sambil menikmati juadah," katanya.

Justeru, beliau yakin syarikatnya dapat mencapai sasaran pendapatan RM1 juta dalam tempoh setahun menerusi iklan tersebut ekoran sambutan menggalakkan daripada para pelanggan.

"Sasaran itu sekali gus membolehkan kami menguasai 70 peratus pasaran iklan permukaan meja di daerah ini yang dijangka membabitkan lebih 100 restoran dan kedai makan," katanya.

Setakat ini jelasnya, iklan meja oleh syarikatnya banyak mempromosikan barangan seperti produk herba, minuman dan makanan serta produk dan perkhidmatan pengusaha IKS.

Katanya, antara lokasi iklan itu ialah Medan Selesa MARA di Plaza Larkin, Medan Selera Tepian Tebrau, Medan Selera Stulang Laut dan Medan Selera Jalan Datin Halimah di sini.

Menurutnya, terdapat permintaan untuk mengembangkan kaedah pengiklanan itu ke daerah lain, namun buat masa ini syarikatnya hanya mahu memberi tumpuan di bandar raya ini sahaja.

"Kaedah pengiklanan ini setakat ini tiada saingan di sini kerana yang ada hanya kaedah pengiklanan syarikat-syarikat gergasi dengan harga yang mahal.

"Sebaliknya kami menyediakan iklan murah kerana satu meja terdapat empat iklan berlainan untuk syarikat IKS berbeza, maka bayaran untuk iklan adalah murah dan mampu dilanggan oleh syarikat bumiputera," katanya sambil menambah kaedah iklan di meja makan seperti itu sudah tidak asing lagi di sekitar Lembah Klang.

Mara peruntuk RM6.6 juta bantu rakyat miskin Kelantan

GUA MUSANG: Dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan sehingga hujung tahun ini di Kelantan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta untuk pembangunan rakyat miskin di negeri ini.

Pengarah MARA Kelantan, Abdul Rahim Taha, berkata MARA menyalurkan peruntukan itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi merealisasikan hasrat kerajaan Pusat untuk menghapuskan kemiskinan menjelang penghujung 2010. Beliau berkata, sejak 2009 menerusi peruntukan program Giat Dekat Rakyat, seramai 1,596 penduduk telah menerima manfaatnya melalui program latihan kemahiran vokasional dan bantuan lain. "Seramai 1,500 daripada mereka mendapat latihan kemahiran sementara 96 pula menerima peruntukan untuk membaiki rumah," katanya kepada pemberita selepas majlis menyampaikan bantuan peralatan mesin jahit dan ketuhar kepada peserta yang tamat menjalani latihan kemahiran di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, untuk peruntukan membaiki rumah, penduduk miskin yang terpilih akan menerima sekitar RM5,000 hingga RM8,000 dan tahun ini sebanyak RM616,000 peruntukan disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenalpasti dua rumah untuk diperbaiki di setiap Parlimen membabitkan kos sehingga RM11,000 dan sehingga kini 28 rumah telah dikenal pasti.

Katanya, bagi latihan kemahiran pula, peserta yang selesai menjalani kursus dalam bidang kemahiran masing-masing akan menerima bantuan peralatan untuk membolehkan mereka menjadikan kemahiran diperolehi sebagai mata pencarian.

"Bagi peserta yang mengikuti latihan jahitan, akan diberikan mesin jahit, peserta jahitan manik pula akan menerima manik serta peserta kursus membuat kek dan pastri pula akan menerima oven dan juga mesin pengadun kek sebagai modal memulakan perniagaan," katanya. - Bernama

Tuesday, 18 May 2010

MARA to help boost Sarawak bumis

MARA (Majlis Amanah Rakyat) will expand its outreach programmes in rural Sarawak to help develop small and medium-scale entrepreneurs in the state.

Rural and Regional Development Minister Datuk Seri Mohd Shafie Apdal said the involvement of Sarawak bumiputra in business was still very low.

“MARA is trying very hard to help rural folks to get out of poverty. We believe that one of the most effective ways is to develop entrepreneurial skills in small and medium-scale industries like the manufacture of food products. We want to balance the economic scale between the bumiputra and non-bumiputra.

“In Sarawak, the rural areas have a lot of raw materials and resources. However, without knowledge and skills, the natives will not be able to capitalise on the resources. This is why we want to get more natives to participate in MARA's business development programmes,'' he said after launching a trade expo organised by MARA in Sibu.

MARA director-general Datuk Ibrahim Mohamed said his agency was targeting more young recruits.

He said that surveys carried out by MARA in remote towns and villages showed that many school-leavers there did not know what to do because their public examination results were not good enough for them to qualify for university.

“We want to give hope to these school-leavers who cannot find a place in any public or private higher education institute. MARA has many business development programmes suited for this group of school-leavers,'' he said.

Kerajaan Disaran Transformasi MARA Untuk Kembali Hak Usahawan Melayu

KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Kerajaan disaran supaya memperkasa peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan membentuk badan itu menjadi sebuah agensi kerajaan yang unggul dalam usaha meningkatkan kedudukan serta hak usahawan Melayu.

Fellow Kanan Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Salleh Majid berkata MARA perlu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan diberikan peranan, kuasa serta peruntukan kewangan yang besar dalam mengembalikan hak usahawan Melayu serta meningkatkan peranan mereka dalam gagasan 1Malaysia.

"Badan ini harus diperkasa dengan kuasa dan tanggungjawab meneliti masalah yang dihadapi usahawan Melayu dan mampu bertindak menyelesaikannya," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Hak dan Peranan Usahawan Melayu Dalam Gagasan 1Malaysia pada Konvensyen Usahawan Melayu 2010 di sini.

Salleh berkata selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dimansuhkan dan jabatan-jabatan di bawahnya dibahagikan kepada lapan kementerian, usahawan Melayu berasa kehilangan tempat bergantung.

Beliau berkata malah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, usaha mewujudkan Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera dilihat tidak disusuli.

Salleh turut menyentuh mengenai kesukaran usahawan Melayu untuk mendapatkan bantuan kewangan tanpa sebarang 'kabel' atau hubungan yang rapat dengan pegawai atasan bank.

"Kepada yang mempunyai hubungan, memadai dengan satu panggilan telefon kepada CEO bank, tetapi kepada yang baru hendak merangkak, mereka perlu menyediakan kertas kajian kesesuaian dan cagaran," katanya.

"Kalau hanya bermodalkan pengetahuan, maaf tiada tempat bagi si pemohon. Jadi terdapat perbezaan di antara apa yang diseru kerajaan dengan institusi pelaksana," tambahnya.

Salleh berkata usahawan Melayu perlu mengikis sikap jatuh menjatuhkan sesama mereka, dan sebaliknya menyemai sikap saling membantu, manakala yang sudah berjaya perlu memainkan peranan membantu mereka yang lain.

Katanya memandangkan sebahagian besar usahawan Melayu peniaga kecil, adalah penting bagi mereka untuk mewujudkan rangkaian kerja di kalangan mereka supaya mendapat manfaat dalam pelbagai aspek perniagaan seperti mengenal pasti peluang perniagaan, mempertingkatkan ilmu pengetahuan, membantu menyelesaikan masalah sesama usahawan dan bergerak dalam suatu kelompok yang jitu.

Saranan serupa turut diutarakan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang berpendapat bahawa campurtangan langsung kerajaan khususnya melalui Mara dalam industri perdagangan sangat relevan dalam usaha mengatasi masalah jurang perbezaan antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk "Tanggungjawab dan Peranan Kerajaan dalam Pembangunan Usahawan Melayu dan Cadangan Penubuhan National Employment Institute" berkata, Akta MARA 1966 wajar dilihat semula sebagai landasan untuk orang Melayu menebus cabaran yang mereka hadapi dalam dunia perniagaan dan perindustrian.

Katanya tanpa campur tangan kerajaan, adalah sukar untuk membangunkan tanah-tanah tersebut bagi tujuan komersial, perindustrian mahupun perumahan.-- BERNAMA