Thursday, 15 March 2012

Eksport halal Malaysia dijangka sederhana

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kadar pertumbuhan eksport halal negara dijangka tumbuh sederhana kepada enam peratus atau RM37.5 bilion pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan tahun ini adalah tahun mencabar dengan pelbagai krisis.

''Kita tidak bercita-cita tinggi dalam menetapkan sasaran dan enam peratus adalah angka yang boleh dicapai,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan nilai eksport produk halal Malaysia pada tahun lalu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

Mustapa berkata, pada tahun lalu nilai eksport produk halal negara berada pada paras RM35.4 bilion dengan 5.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia.

Wednesday, 14 March 2012

PM perjelas proses rangka SBPA

Oleh Meor Hisham Zulkifli, Zanariah Abdul Mutalib dan Sophia Ahmad
2012/03/14

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan kerajaan tidak pernah memanggil CUEPACS untuk berbincang dalam merangka Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perdana Menteri berkata, dalam proses merangka skim itu, kerajaan sudah mengadakan forum perbincangan bersama kongres berkenaan dan wakil persatuan melalui tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

Selain itu, katanya, mesyuarat tidak berkala lain juga diadakan antara pegawai tinggi kerajaan dengan ahli Majlis Tertinggi CUEPACS dan kerajaan turut menerima memorandum CUEPACS berhubung tuntutan tertentu, yang kesemuanya sudah dikaji dan diambil kira dalam penggubalan SBPA.

“Sepanjang 2011, 13 mesyuarat utama bersama CUEPACS diadakan merangkumi mesyuarat MBK, taklimat kepada ahli Majlis Tertinggi CUEPACS dan siri perjumpaan bersama CUEPACS yang membawa kepada termeterainya memorandum persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan SBPA antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan CUEPACS yang ditandatangani pada 28 Disember lalu.

“CUEPACS menyenaraikan tujuh perkara di bawah SBPA untuk diteliti semula oleh kerajaan iaitu pemindahan mata gaji kurang adil, kekananan tidak diberi pengiktirafan, gaji maksimum, gred yang kekal dan tiada pergerakan, kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus, penukaran gelaran jawatan dan jurang gaji antara kumpulan pengurusan tertinggi dan kumpulan pelaksana, " katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang bertanya mengapa kerajaan daripada awal tidak memanggil CUEPACS untuk berbincang berhubung pelaksanaan skim SBPA dan pendirian kerajaan terhadap tuntutan CUEPACS.

Perdana Menteri berkata, dengan pembatalan SBPA dan pengenalan semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, sebahagian besar permasalahan yang dibangkitkan CUEPACS sudah dapat ditangani.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mahukan kepastian terhadap 36 golongan premier yang sebelum ini dikatakan sudah menerima gaji di bawah SBPA, Perdana Menteri berkata: “Nampaknya ahli Yang Berhormat berkenaan (Mahfuz) nak jadi juara kepada 36 orang dan kita (kerajaan) nak jadi juara kepada 1.4 juta penjawat awam”.

Bagaimanapun, jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Mahfuz yang mula membuat kecoh dan menuntut jawapan lanjut daripada Perdana Menteri, yang kemudian dileraikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Tuesday, 13 March 2012

Kerajaan berbincang dengan Cuepacs sebelum rangka SBPA

KUALA LUMPUR 13 Mac — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Cuepacs dalam merangka Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perdana Menteri memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan telah mengadakan forum perbincangan bersama Cuepacs dan wakil persatuan itu melalui tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

"Mesyuarat tidak berkala lain juga diadakan antara pegawai tertinggi kerajaan dengan ahli Majlis Tertinggi Cuepacs. Kerajaan juga menerima memorandum daripada Cuepacs dengan tuntutan tertentu yang telah dikaji dan diambil kira dalam penggubalan SBPA.

"Sepanjang 2011, sebanyak 13 mesyuarat utama bersama Cuepacs diadakan merangkumi mesyuarat dengan MBK, taklimat pada Ahli Majlis Tertinggi Cuepacs dan siri perjumpaan bersama Cuepacs yang membawa kepada termeterainya memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan SBPA antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs yang ditandatangani pada 28 Dis 2011,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak memanggil Cuepacs untuk berbincang mengenai pelaksanaan SBPA dan pendirian kerajaan terhadap tuntutan-tuntutan Cuepacs.— BERNAMA

Jelajah Karnival Pendidikan MARA 2012 dapat sambutan

MELAKA 12 Mac – Jelajah Karnival Pendidikan MARA 2012 yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu lalu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini berjaya mencatat kehadiran lebih daripada 5,000 pengunjung.

Menurut jurucakapnya, sambutan yang menggalakkan itu membuktikan usaha MARA menganjurkan karnival tersebut berjaya memberi kefahaman kepada pelajar khususnya lepasan menengah serta ibubapa untuk menentukan hala tuju pendidikan serta penentuan karier pada masa depan.

“Kita amat berbangga kerana siri jelajah itu terus unggul dengan pembaharuan yang kita lakukan pada karnival kali ini berbanding penganjuran sebelum ini.

‘‘Tahun ini merupakan penganjuran kali ke-13 dan peningkatan jumlah pameran peluang pendidikan telah berjaya memenuhi permintaan tinggi masyarakat khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya di sini hari ini.

Monday, 12 March 2012

UniKL, LBS, LSE jalin kerjasama ekonomi

Oleh Norhidayah Che Din

norhidayah@bharian.com.my

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) yakin penyediaan program pengajian perniagaan yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan London Business College (LBS) dan London School of Economics (LSE), menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan serantau.

Pro Canselornya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Program pengajian yang dijadual bermula pada sesi pengajian Julai ini, kata yang bermula pada sesi pengajian Julai ini.

Beliau berkata, kerjasama pintar itu bertujuan memperkasakan bidang ekonomi di universiti terbabit menerusi perkongsian kepakaran dengan penyedia program pengajian berprestij.

Inisiatif itu katanya, mencerminkan UniKL yang dimiliki Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus mengorak langkah menyediakan program pengajian berkualiti bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sebagai permulaan, Idris berkata, UniKL memperkenalkan beberapa kursus jangka pendek seperti kepimpinan, pengurusan kewangan dan perbankan selama dua minggu.

“Program terbuka kepada golongan profesional dalam sektor perkhidmatan swasta mahupun kerajaan untuk mendapatkan bimbingan.

“Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mendapat latihan tenaga pengajar dari LBS dan LSE selain diajar mengikut kurikulum disediakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sambutan Ulangtahun ke-10 UniKL, di UniKL-British Malaysian Institute (UniKL BMI), di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi UniKL, Datuk Dr Adham Baba dan Dekan Fakulti Perniagaan UniKL, Profesor Madya Dr Sulaiman Sajilan.

Pada masa sama, Idris yang juga Pengerusi MARA berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan LBS bagi mewujudkan satu lagi program iaitu Global Master Business Administration (GMBA) yang dijangka akan mula dilaksanakan mulai tahun depan.

Katanya, hasil perbincangan itu pihaknya bercadang menyediakan tiga kursus berkaitan di peringkat sarjana iaitu perakaunan, perbankan Islam dan pengurusan kewangan.

'Bersyukur suspek bersalah'

Oleh Wan Faizal Ismayatim

wfaizal@bharian.com.my
2012/03/05

Keluarga tunggu bentuk hukuman bakal dijatuhkan mahkamah

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang cedera diserang dan disamun sekumpulan lelaki dalam rusuhan di London, Ogos tahun lalu, Asyraf Haziq Rosli, 20, bersyukur kerana semua suspek dalam insiden itu sudah disabitkan kesalahan dan hanya menunggu hukuman.

Pada masa sama, Asyraf Haziq berharap beliau dapat menjalani kehidupan lebih tenang selepas ini, termasuk bebas bergerak ke mana-mana di London tanpa perasaan bimbang atau menjadi perhatian orang ramai.

“Syukur Alhamdulillah sebab yang bersalah sudah disabitkan kesalahannya. Harapan saya agar dapat menjalani kehidupan seperti dulu (sebelum rusuhan) dan bebas bergerak ke mana saja,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dalam kejadian 8 Ogos tahun lalu, Asyraf Haziq, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kolej Kaplan, London, diserang ketika berbasikal dengan temannya untuk berbuka puasa di rumah rakan mereka.

Selepas diserang, beberapa lelaki yang berpura-pura membantunya, mencuri barangan dalam beg sandangnya sebelum melarikan diri.

Dalam kejadian itu, Asyraf Haziq turut patah gigi dan bengkak pipi. Kejadian itu dirakam orang awam dan klip video rakaman berkenaan disiarkan melalui laman You Tube serta saluran berita Sky TV hingga mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Jumaat lalu, Mahkamah Diraja Wood Green memutuskan John Kafunda, 22, dari Ilford dan Reece Do novan, 24, dari Ramford, bersalah kerana melakukan rompakan dan berkelakuan ganas. Nasib kedua-duanya akan ditentukan pada 13 Mac ini.

Suspek ketiga, Beau Isagba, 17, turut didapati bersalah menyerang dan mencuri basikal Asyraf Haziq dalam kejadian sama. Nasibnya akan ditentukan 9 Mac ini.

Sementara itu, ibunya, Maznah Abu Mansor, 48, berkata beliau sekeluarga menganggap anak mereka sudah mendapat pembelaan sewajarnya berikutan keputusan mahkamah mensabitkan dua suspek kes berkenaan.

Katanya, walaupun Asyraf Haziq rakyat Malaysia, namun keputusan Mahkamah Diraja Wood Green di London, kelmarin membuktikan sistem kehakiman negara itu memberi pembelaan sewajarnya kepada anaknya yang menjadi mangsa rompakan selain cedera diserang dalam kejadian berkenaan.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana dua suspek itu didapati bersalah dan anak saya sudah mendapat pembelaan. Cuma, kami menunggu bentuk hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

10,000 jobs at MARA education fair

MELAKA: Some 10,000 job opportunities especially for school leavers will be on offer at the MARA 2012 Education Carnival Tour this year.

Deputy director-general of MARA, Abd Rahim Abd Ghani said the carnival focussed on the specialisation of students in selecting the suitable field of interest as a career.

"The difference this year is that we are organising a career exhibition in the carnival following the strong demand by the people as we only held our career carnival at the Putra World Trade Centre (PWTC) prior to this and most

visitors were from the surrounding areas of Kuala Lumpur," he told reporters after launching the carnival at the Melaka International Trade Centre (MITC) here today.

Apart from Melaka, the carnival will also be held at four locations namely Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu and Perak.

At the two-day Melaka MARA Education Carnival, some 2,500 jobs opportunities were offered to visitors with 500 of them involving engineering and the balance in management and technical fields. -- BERNAMA

Friday, 2 March 2012

Semakan SBPA siap awal April

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin
2012/03/02

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka disiapkan awal April, tempoh ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan jawatankuasa semakan semula yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam sudah mencapai banyak kemajuan untuk memastikan proses semakan semula itu disiapkan pada tarikh ditetapkan.

“Saya dimaklumkan Perdana Menteri sudah menetapkan tempoh hingga awal April. Apa pun tunggulah kerana saya percaya apabila tiba masa sesuai, Perdana Menteri akan mengumumkan bentuk dan format bagaimana skim itu hendak dilaksanakan,” katanya selepas perjumpaan khas dengan penjawat awam negeri dan Persekutuan sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, semalam.

Terdahulu ketika berdialog dengan penjawat awam, Muhyiddin berkata, semakan semula SBPA diharap memuaskan hati semua penjawat awam kerana membabitkan arahan serta campur tangan terus daripada Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin keluhan penjawat awam dengan menangguhkan skim itu dan melantik panel kajian semula dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk CUEPACS.

Muhyiddin berkata, kerajaan BN yang mentadbir negara ini sentiasa membela penjawat awam kerana peranan mereka penting untuk menterjemahkan dasar dan aspirasi yang dirumus kerajaan bagi membela rakyat.

“Kerajaan BN akan pertahankan kakitangan awam. Jika kerajaan beralih tangan, Nauzubillah. Justeru, saya harap penjawat awam dan keluarga mereka termasuk di Terengganu untuk terus bersama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang penjawat awam mengenai nasib kakitangan kerajaan jika pentadbiran negara beralih kepada parti lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan BN membela kakitangan awam dan menyemarak pembangunan negara jelas menerusi pelbagai dasar sedia ada, sedangkan pembangkang tampil dengan Buku Jingga dengan pakar ekonomi berpendapat akan menyebabkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan.

Buku Jingga turut menggariskan usaha pembangkang untuk mengurangkan penjawat awam dengan mengatakan Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah tenaga kerja, antara tertinggi di dunia.

Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu lebih responsif melaksanakan agenda dan aspirasi kerajaan dengan turut sama berdamping atau turun padang bertemu rakyat bagi mendapatkan maklum balas rakyat berhubung sesuatu dasar yang mahu dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerajaan menamatkan pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Kursus Perguruan Lepasan SPM, Muhyiddin berkata, belum ada keputusan dibuat setakat ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sudah membuat lantikan Pengarah Pelajaran Terengganu yang kosong sejak tiga bulan lalu dan pengumuman dibuat dalam tempoh terdekat.

Kekayaan 40 individu cecah RM192 bilion

NILAI gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak AS$2.3 (RM7 bilion) kepada AS$64.4 bilion (RM192 bilion) daripada tahun sebelumnya, demikian mengikut senarai terbaru majalah kewangan dan perniagaan Forbes.

Bilangan rakyat negara ini yang berada dalam kelompok individu dunia yang mempunyai kekayaan lebih AS$1 bilion (RM3 bilion) juga bertambah kepada 11 daripada 10 tahun sebelumnya.

Jutawan Robert Kuok masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya Malaysia dengan nilai kekayaan bersih AS$12.4 bilion (RM37 bilion) meskipun jumlah itu menurun sedikit daripada AS$12.5 bilion (RM37.5 bilion) setahun sebelumnya.

Kuok, 88, yang mempunyai empayar perniagaan meliputi gula, sawit, perkapalan dan hartanah menguasai kedudukan itu sejak 2006 ketika Forbes Asia memulakan senarai 40 rakyat Malaysia paling kaya itu.

Di tempat kedua ialah Ananda Krishnan, 73, yang menyaksikan nilai kekayaan bersihnya meningkat AS$400 juta (RM1.2 bilion) kepada AS$9.9 bilion (RM29.7 bilion).

Beliau kini sedang meluaskan portfolio perniagaan berkaitan tenaga di Malaysia, Asia Selatan dan Asia Barat dalam satu urus niaga yang boleh menjana sehingga AS$2 bilion (RM6 bilion), manakala Maxis Communications yang dikuasainya baru-baru ini memeterai perjanjian 10 tahun untuk berkongsi rangkaian 3G bersama syarikat pesaingnya, UMobile.

Di tempat ketiga ialah Puan Sri Lee Kim Hua, iaitu isteri kepada pengasas kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong serta keluarga yang nilai kekayaan bersihnya susut 1.5 peratus kepada AS$6.5 bilion (RM19.5 bilion).

Keluarga yang menjadi tulang belakang empayar Genting itu sedang menjadi bahan berita berikutan beberapa cubaan berprofil tingginya untuk mengembangkan operasi ke Amerika Syarikat (AS).

Tan Sri Lee Chin Seng, individu yang membina IOI Group menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia pula mengekalkan kedudukannya di tempat keempat dengan nilai bersih AS$5.2 bilion (RM15.6 bilion), meningkat AS$200 juta (RM600 juta) daripada tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang berada di tempat ketujuh, mengekalkan kedudukannya sebagai orang Melayu paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan bersihnya berjumlah AS$3.3 bilion (RM9.9 bilion).

Tiga pendatang baru membuat kemunculan sulung dalam senarai itu, dengan paling menyerlah ialah Tan Sri Dr Ninian Mogan Lourdenadin, seorang doktor bertauliah yang menjadi hartawan peruncitan yang menduduki tempat ke-22 dengan nilai kekayaan bersih AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Beliau adalah Ketua Eksekutif MBF Holdings dan mempunyai perniagaan dalam hartanah, peruncitan, pelancongan dan perkhidmatan perubatan di Malaysia, Fiji, Papua New Guinea dan Australia.

Seorang lagi pendatang baru ialah Gooi Seong Lim, di tempat ke-34 dengan kekayaan bersih AS$220 juta (RM660 juta). Beliau menerajui Crescendo, sebuah syarikat pembinaan dan pemaju hartanah.

Ng Joo Siang, usahawan berusia 52 tahun yang mengambil alih perniagaan keluarga, Pacific Andes International Holdings daripada bapanya juga membuat kemunculan sulung dalam senarai itu dengan berada di tempat ke-37 dengan nilai bersih AS$185 juta (RM555 juta).

Dua individu pula membuat kemunculan semula iaitu Pengerusi Eksekutif Kurnia Asia Bhd, Tan Sri Kua Sian Kooi dan Pengerusi Malayan United Industries Bhd, Tan Sri Dr Khoo Kay Peng.

Rakyat Malaysia terbaru yang memasuki kelompok individu dunia yang memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion pula ialah adik beradik Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian yang menguasai syarikat sawit dan kimia, Batu Kawan.

Secara keseluruhannya, 21 daripada jutawan Malaysia dalam senarai itu menyaksikan kekayaan mereka meningkat, 12 menyusut, manakala dua orang tidak berubah.

Tahun ini, nilai bersih minimum yang diperlukan untuk layak dalam senarai itu ialah AS$155 juta (RM465 juta), meningkat daripada AS$125 juta (RM375 juta) tahun lalu.

Thursday, 1 March 2012

MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA) DITUBUHKAN

Pada hari ini dalam tahun 1966, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta MARA 1966. Objektif utama penubuhan MARA adalah untuk menambah dan meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial Bumiputera sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru. Ini dilakukan dengan menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah pembentukan masyarakat peniaga Bumiputera yang berjaya. Penubuhan MARA adalah berasaskan cetusan idea dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama yang telah diadakan pada tahun 1965 di Kuala Lumpur. Melalui Kongres tersebut, resolusi yang mahukan agar RIDA disusun semula telah diluluskan. RIDA atau Rural and Industrial Development Authority ditubuhkan pada tahun 1953 bagi membangun dan memajukan masyarakat di kawasan luar bandar. Sejak penubuhannya banyak pembangunan dan kemajuan telah dicapai oleh MARA. Kekuasaan ekonomi Bumiputera menjadi cabaran masa kini dan agenda utama MARA dalam usaha untuk memastikan Bumiputera mempunyai kedudukan yang sewajarnya.


SELAMAT MENYAMBUT HARI MARA 2012...