Wednesday, 2 March 2011

200,000 dijangka kunjungi Karnival Pendidikan MARA 2011

ALOR SETAR 1 Mac - Lebih 200,000 orang dijangka mengunjungi Karnival Pendidikan MARA (KPM) 2011 yang bakal berlangsung di seluruh negara bermula hari ini di bandar ini dan akan berakhir di Ipoh, Perak pada 10 April ini.

Pengarah Kanan MARA, Mansor Puteh berkata, sasaran tersebut mampu dicapai memandangkan terdapat dua lagi lokasi baru karnival diperkenalkan tahun ini iaitu di Kota Bharu dan Ipoh, berbanding hanya enam lokasi pada tahun sebelumnya.

Katanya, KPM 2011 itu juga sangat bermanfaat kepada lepasan sekolah khususnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran.

"Ia juga berdasarkan kepada kesedaran ramai untuk mendapatkan maklumat tentang apakah produk yang disediakan melalui karnival ini.

"Melalui KPM 2011, para pelajar khususnya dapat bertemu secara langsung dengan wakil institusi yang mengambil bahagian untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kursus yang diminati," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

KPM 2011 bagi zon utara berlangsung di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini selama dua hari dengan penyertaan lebih 73 institusi pengajian tinggi dan swasta termasuk institusi pendidikan Mara serta agensi berkaitan pinjaman pelajaran.

Ia akan turut diadakan di Johor Bahru, Johor pada 5 dan 6 Mac; Kuala Lumpur, (11,12, 13 Mac), Kuala Terengganu, Terengganu (15, 16 Mac), Kota Bharu, Kelantan (19, 20 Mac), Kuching, Sarawak (25, 26 Mac), Kota Kinabalu, Sabah (29, 30 Mac) dan Ipoh, Perak (9, 10 Mac).

Mansor menambah, selain pameran pendidikan pengisian karnival juga membabitkan khidmat runding cara, informasi program pengajian, temuduga terbuka, ceramah kerjaya serta seminar.

"Dengan konsep road show KPM 2011 diharapkan dapat menjadi pusat sehenti kepada para pelajar dan ibu bapa untuk mengambil peluang meninjau maklumat tentang pendidikan dan latihan disediakan oleh MARA serta IPT lain," katanya lagi.

Katanya, karnival tahun ini juga lebih meriah dengan penyertaan IPT dari luar negara seperti United Kingdom, Australia, Perancis, Indonesia dan Mesir.

"Penyertaan IPT dari negara tersebut adalah yang pertama tahun ini bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat tentang kursus yang ditawarkan di situ," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, kata Mansor, pihak MARA akan menyediakan lebih 13,347 tempat bagi pengambilan pelajar sesi Julai ini membabitkan semua institusi pengajian MARA di seluruh negara.

"Kemasukan ini melibatkan Kolej Profesional MARA dengan 1,803 pengambilan, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (1,004), Institusi Kemahiran MARA (3,800), Kolej Poly-Tech MARA (1,655), German Malaysia Institute (576) dan Universiti Kuala Lumpur (4,509).

"Lepasan sekolah yang berminat untuk mendapatkan maklumat tentang kemasukan ini boleh mengunjungi karnival ini," katanya.

MARA catat kenaikan untung tahun lalu

2011/03/01

PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menunjukkan peningkatan dari segi keuntungan pelaburan melalui anak-anak syarikatnya pada tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Ibrahim Ahmad, berkata margin keuntungan 2010 meningkat 3.31 peratus yang disumbang oleh keuntungan dari syarikat komersial dan perkhidmatan dan latihan. "Perolehan syarikat 2010 meningkat 29 peratus, iaitu daripada RM585 juta pada tahun sebelumnya, kepada RM754 juta. "Untung sebelum cukai 2010 meningkat 371 peratus, iaitu daripada RM8.9 juta pada tahun sebelumnya, kepada RM41.5 juta.

"Ini petunjuk awal bahawa MARA mampu menjadi pertubuhan berasaskan keusahawanan serta menjadikan sektor pelaburan penggerak utama aktiviti dan program MARA," katanya pada majlis penutup persidangan Pelan Transformasi MARA di sini hari ini.

Persidangan itu ditutup oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Ibrahim berkata, beliau berharap sekiranya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima cadangan penstrukturan MARA, agenda besar MARA akan dapat diteruskan demi kepentingan orang Melayu.

Katanya, beberapa pendekatan dan program juga telah dilaksanakan untuk memastikan sumber manusia dalaman MARA bersedia untuk menggerakkan pelan transformasi.

"Antaranya ialah program Kumpulan Bakat, program eksekutif Kanan, dan kerjasama dengan pelbagai agensi di dalam Program Cross-Fertilization."

"MARA juga akan berusaha untuk merekrut pekerja paling cerdas supaya dalam tempoh lima tahun lagi pelapis di bawah Pelan Penggantian Terancang (PPT) benar-benar bersedia serta berwibawa untuk menggalas transformasi ini," katanya. - BERNAMA

Thursday, 24 February 2011

MARA tanggung tiket pelajar tajaannya pulang ke Mesir

PUTRAJAYA 24 Feb. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menanggung tiket penerbangan kembali ke Mesir untuk 700 penuntut tajaannya yang pulang ke Malaysia menerusi Ops Piramid ketika berlaku pergolakan politik di negara itu, baru-baru ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Mara mempunyai 1,500 penuntut tajaannya di Mesir dan daripada jumlah itu hanya 700 yang pulang ke Malaysia, manakala selebihnya tidak pulang kerana berada di tempat lain termasuk bercuti.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama 101 ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pengurus kewangan syarikat milik agensi di bawah kementerian itu di sini hari ini, beliau berkata pengurusan Mara juga diminta memastikan keselamatan penuntut berkenaan sebelum mereka pulang ke Mesir. - Bernama

Monday, 21 February 2011

MARA decides not to buy stake in AMC

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) has decided not to acquire a 15% equity interest in Academic Medical Centre Sdn Bhd (AMC), which is majority owned by two companies controlled by Tan Sri Dr Mohan Swami.

MARA chairman Datuk Seri Idris Jusoh said in a statement that the agency had reviewed the offer to acquire the stake in AMC and ascertained that “the investment proposal is not in tandem with the current investment structure of MARA”.

StarBiz reported earlier this month that Lembaga Tabung Haji and MARA were in discussions to take up 30% and 15% stakes, respectively, in AMC.

The remaining 55% equity is to be held jointly by Turiya Bhd and Chase Perdana Bhd which are controlled by Mohan.

AMC has a tie-up with John Hopkins Medicine International and Royal College of Surgeons in Ireland to offer courses at the soon-to-be-set-up RM2bil Perdana University Graduate School.

Dividen KWSP 5.8% bagi tahun berakhir 2010

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 5.8 peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 yang meningkat 15 mata asas, berbanding kadar 5.65 peratus yang dibayar pada 2009.

Ia sekali gus merupakan bayaran dividen tertinggi yang pernah dicapai iaitu RM21.61 bilion, peningkatan 11.55 peratus berbanding dividen RM19.37 bilion pada 2009.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pencapaian itu menggambarkan tahun memberangsangkan yang mana pendapatan pelaburan kasar dana persaraan tersebut mencecah rekod tertinggi dalam sejarah sebanyak RM24.06 bilion.

"Ia merupakan peningkatan 39.76 peratus berbanding RM17.22 bilion pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan pada 2009," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pendapatan pelaburan memberangsangkan yang dicapai pada 2010 dijana terutama daripada prestasi pelaburan ekuiti.

"Suasana kewangan dan ekonomi yang bertambah baik menyediakan pasaran dengan kecairan mencukupi lalu membenarkan aktiviti pengambilan untung sepanjang tahun," jelasnya.

Samsudin memberitahu, bayaran dividen berkenaan diperoleh setelah ditolak elaun rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan caj berkanun serta bayaran dividen pengeluaran.

Tambahnya, ekuiti merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP yang mewakili 45.45 peratus bagi 2010 iaitu berjumlah RM10.94 bilion berbanding RM4.85 bilion pada 2009 dengan peningkatan sebanyak 125.69 peratus.

MARA sedia RM44 juta untuk pinjaman kontraktor

TAWAU 18 Feb. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sabah menerima peruntukan RM44 juta tahun ini bagi menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman rakyat negeri ini.

Pengarah MARA Negeri, Kamaruzdzaman Md. Ali berkata, daripada jumlah itu pula RM26 juta diperuntukkan untuk kemudahan pinjaman kontraktor.

"Sebanyak RM18 juta lagi adalah untuk kemudahan pinjaman perniagaan kepada peminjam yang layak.

"Jadi saya berharap peruntukan ini akan dapat memberi manfaat kepada golongan sasaran untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Kelab Usahawan Kompleks Tawau (Kukta) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Kukta, Ramli Hassan dan Pegawai MARA Tawau, Mohd. Yassin Ajum.

Menurut Kamaruzdzaman, pihak MARA akan memberi fokus kepada penyewa dan pelatih Institut Teknikal Mara untuk diberikan kemudahan pinjaman.

Justeru, beliau meminta semua peminjam dan penyewa premis MARA supaya sentiasa berusaha keras memajukan perniagaan masing-masing.

"Mereka perlu mencari inovasi baru serta bergerak keluar untuk mencari pelanggan dalam usaha memajukan daya saing perniagaan mereka.

"Selain itu mereka juga perlu bijak mencari peluang dan memberanikan diri dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan masa kini," katanya.

Wednesday, 16 February 2011

KPTMKB rai kecemerlangan

KOTA BHARU 15 Feb. - Seramai 101 orang pelajar Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu (KPTM KB) yang cemerlang dalam bidang akademik dengan mendapat Purata Nilai Gred 3.5 ke atas pada peperiksaan sesi Julai - November 2010 diraikan dalam satu Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik di Hotel New Pasific dekat sini baru-baru ini.

Presiden KTPM, Datuk Yusoff Harun berkata, anugerah itu melibatkan pelbagai jurusan iaitu Diploma Kejururawatan, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Teknologi Maklumat, Perlancongan dan Diploma Sains Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berkata, majlis itu diadakan pada setiap semester untuk menghargai dan meraikan kejayaan para pelajar yang cemerlang bagi menyuntik semangat serta dorongan kepada para pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik.

Selain itu, katanya ia juga diharap dapat menjadi pemangkin serta perangsang kepada pelajar-pelajar lain yang kurang cemerlang dalam pembelajaran.

"Penghargaan sebegini diharap mampu memberi ruang kepada pelajar merealisasikan visi dan misi KPTM dalam melahirkan pelajar yang holistik, berilmu pengetahuan dan peka kepada perubahan persekitaran.

"Saya berharap agar KPTM dapat terus melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia serta dapat menyumbang bakti kepada kemajuan KPTM dan masyarakat setempat selaras dengan falsafah pendidikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang kepada pelajar KPTM KB di hotel tersebut baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah MARA Negeri Kelantan, Mat Noor Abdul Razak; Pengarah KPTM KB Mohamed Saifudin Hussin dan Timbalan Pengarah Akademik KPTM KB, Mohd. Asri Muhammad.

Yusoff Harun memberitahu, keupayaan untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang merupakan agen promosi secara tidak langsung kerana ia akan menjadi pendorong kepada masyarakat di luar sana menjadikan KPTM sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang berjaya, para pensyarah serta kakitangan KPTM KB yang telah bertungkus lumus menaikkan nama KPTM.

"Selain itu, saya ingin menyarankan kepada semua kakitangan KPTM untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar selaras dengan pengiktirafan SIRIM melalui pensijilan ISO 9002 yang diperoleh baru-baru ini," ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima anugerah Muhammad Ashrol Abdullah, 22, ketika ditemui berkata, dia gembira dengan anugerah tersebut dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik.

"Alhamdulillah saya gembira dengan anugerah ini, ia merupakan anugerah yang tertinggi pernah saya terima setakat ini. Jika sebelum ini saya hanya menerima anugerah dekan, hari ini saya berjaya mendapat anugerah Naib Canselor.

"Saya mahu beri kejayaan ini kepada kedua orang tua saya yang banyak memberikan sokongan dan dorongan sebelum ini," katanya yang mendapat gred nilai purata 3.5 keatas bagi setiap semester.

Anak jati kelahiran Jitra Kedah itu memberitahu, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pergigian atau farmasi.

Seorang lagi penerima, Norasikin Mohammad, 21, berkata, anugerah tersebut akan dijadikan motivasi kepadanya untuk terus berjaya dalam pelajarannya.

Tambahnya, kejayaan tersebut membuktikan KPTM mampu melahirkan pelajar yang berkualiti selaras dengan misi dan visi yang telah ditetapkan oleh pihak kolej.

Friday, 11 February 2011

MARA tamat kontrak IESB

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertindak menamatkan kontrak Inno Elegan Sdn. Bhd. (IESB) selaku penyewa utama Anggerik Mall di Shah Alam berkuat kuasa 15 April ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, MARA memberitahu, penamatan itu dilakukan atas alasan prestasi yang kurang berkesan oleh IESB selaku pengurus kompleks berkenaan.

Kata kenyataan itu, notis penamatan penyewaan telah dikeluarkan pada 6 Januari lalu.

"Dengan penamatan tersebut, pengurusan Anggerik Mall akan diletakkan kembali di bawah pengurusan MARA.

"Pihak MARA Negeri Selangor turut akan dilibatkan bagi melaksanakan program promosi secara agresif dan berjadual di premis tersebut," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas lima hari Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai rasa tidak puas hati sebahagian peniaga di kompleks itu terhadap IESB.

Aktiviti promosi pertama oleh MARA dijadual diadakan pada 19 Februari ini iaitu persembahan kebudayaan yang mendapat kerjasama daripada pelajar jurusan seni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

"Ini akan diikuti dengan aktiviti menarik yang lain termasuk menganjurkan semula bazar uptown di kawasan meletak kenderaan kompleks itu," kata kenyataan berkenaan.

Dari segi penyewaan, MARA memberitahu, pemantauan ke atas pematuhan waktu perniagaan, larangan penyewaan kecil dan ketepatan bayaran sewa akan dilaksanakan.

Tindakan akan diambil terhadap peniaga yang melanggar syarat tersebut bagi memastikan hanya peniaga yang benar-benar serius untuk memajukan diri dan mengamalkan etika perniagaan yang baik sahaja berada di Anggerik Mall.

"Di samping itu, penyewa juga diminta untuk turut sama berusaha mempromosikan perniagaan masing-masing dengan menganjurkan acara-acara tertentu sama ada menerusi Persatuan Usahawan Anggerik Mall (PUAM) atau secara sendirian.

Anggerik Mall adalah premis MARA di bawah konsep Komersial Penuh kerana berada di lokasi strategik atau bandar besar yang penduduknya mempunyai kuasa beli yang sederhana dan tinggi.

Pengendali premis di bawah konsep itu melibatkan usahawan sebagai penyewa utama supaya premis itu mempunyai pasukan pengurusan yang fokus ke arah kemajuan premis berkenaan.

IESB dilantik sebagai penyewa utama pada 1 Ogos 2009.

Wednesday, 9 February 2011

Semua penuntut MARA di Mesir selamat

JEDDAH 8 Feb. - Kesemua 1,149 penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Mesir berada dalam keadaan selamat dan 608 orang daripada mereka telah kembali ke tanah air.

Timbalan Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajar MARA, Kamis Mahawi berkata, MARA bekerjasama rapat dengan pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah dan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah bagi menguruskan kepulangan penuntut tajaannya ke Malaysia.

"Kebanyakan pelajar ini mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian. Hampir keseluruhan mereka menuntut di Iskandariah,” katanya ketika ditemui di pusat transit Haji, Madinatul Hujjaj, di sini, hari ini.

Kamis berkata, dalam masa yang sama MARA berusaha mendapatkan maklum balas daripada sejumlah penuntut tajaannya yang mengambil keputusan untuk terus berada di Mesir.

"Kami belum dapat menentukan jumlah sebenar pelajar yang ingin terus kekal di Mesir. Majoriti yang tidak mahu pulang adalah mereka yang sudah di tahun akhir,” katanya.

Kamis berkata MARA akan terus berusaha memastikan penuntut tajaannya di Iskandariah berada dalam keadaan selamat.

"Pelajar ini tinggal di Bangunan MARA dan keselamatan mereka terjamin di situ. Kekacauan akibat rusuhan politik kini dilaporkan tertumpu di Kaherah,” katanya. - Bernama