Tuesday, 8 February 2011

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menasihatkan pelajar-pelajar tajaannya di Mesir yang selamat tiba di Malaysia agar dapat melapor diri secara online di :

http://online.mara.gov.my/mesir/

atau menghubungi :

Talian/HOTLINE MARA (8.00 pagi sehingga 11.00 malam)

1. 03-2693 6666
2. 03-2694 3366
3. 03-2694 6622

Talian MUDAH ALIH/ Handphone (24 jam)

1. Dr. Syed Anwar Aly (019 2646253)
2. Pn. Rohayah Mohd Zain (019 3883121)
3. En. Kamis Mahawi (017 3219756)
4. Pn. Wan Mariam Wan Yaacob (019 2578207)

Ini bagi memudahkan pihak MARA mengetahui perkembangan terkini pelajar dan menyalurkan maklumat penting dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

MARA gagal tunai janji

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

kota@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 7 Feb. Kegagalan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan janjinya untuk menyerahkan bangunan yang kosong sepenuhnya di Anggerik Mall, di sini, untuk diuruskan Inno Elegan Sdn. Bhd sejak 2009 menjadi punca mengapa kompleks itu lengang.

Pengarah Urusannya, Huzry Fionnawatti Hussien berkata, melalui perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini, sepatutnya pihak MARA menyerahkan bangunan yang kosong sepenuhnya untuk diuruskan.

Katanya, namun apa yang mengecewakan, sehingga kini, pihak MARA masih gagal melaksanakan janji tersebut dan lebih menyakitkan, pihaknya dipaksa pula menerima para penyewa tegar MARA berniaga di situ dengan kadar sewa yang telah ditetapkan MARA sendiri.

Ujarnya, jika pihak MARA melaksanakan janjinya sejak dari dahulu serta tiada campur tangan pihak lain, pihaknya yakin mampu menguruskan kompleks tersebut dengan cara terbaik melalui pelbagai transformasi yang akan dilaksanakan.

"Bagaimana kami hendak melakukan transformasi di situ jika pihak MARA masih gagal menyempurnakan janjinya.

"Kami berada dalam keadaan dilema kerana pengurusan yang dilakukan masih mendapat campur tangan dari pihak MARA, seperti memaksa kami menyewa kepada penyewa tegarnya.

"Percayalah, jika ia diserahkan sepenuhnya kompleks tersebut dengan keadaan kosong, kami mampu membuka lembaran baru Anggerik Mall ini dengan pelbagai transformasi baru yang akan dilaksanakan dalam menarik semula pelanggan untuk berkunjung ke situ," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan rungutan dan keluhan peniaga-peniaga di Anggerik Mall yang kurang mendapat sambutan pelanggan.

Mereka juga menyalahkan pihak pengurusan kerana gagal melakukan promosi dan menyemarakkan Anggerik Mall, di samping turut meminta MARA mengambil alih semula pengurusan kompleks itu.

Tambahya, sehingga kini para peniaga juga hanya tahu menyalahkan pihaknya dengan mendakwa tidak menguruskan kompleks itu dengan baik, tanpa mengetahui punca sebenar.

Ujarnya, peniaga pun harus berfikir secara rasional dengan kadar sewa yang dikenakan murah dan ia jauh berbeza kalau hendak dibanding dengan SACC Mall dan Kompleks PKNS, jadi mereka tidak seharusnya terlalu mengharap pulangan lumayan.

Sementara itu, Fiona, turut melahirkan rasa kesal ekoran daripada laporan Utusan Malaysia semalam, sehingga menyebabkan syarikatnya kini teruk terjejas.

Katanya, dia turut kesal dengan dakwaan bahawa syarikatnya turut mempunyai sokongan kuat daripada beberapa individu yang mempunyai kepentingan politik, padahal ia sama sekali tidak benar.

Katanya, selama ini, kita tidak pernah mendapat mana-mana sokongan daripada mana-mana badan politik dan kenyataan tersebut sedikit sebanyak sangat menjejas reputasi syarikatnya kini.

"Oleh itu, hari ini, saya dengan sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan tersebut, kerana semuanya adalah tidak benar sama sekali,"tegasnya.

Tuesday, 1 February 2011

Pelajar, rakyat Malaysia di Mesir selamat - Wisma Putra

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah mengesahkan bahawa semua pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir selamat setakat 4.30 petang ini (waktu Malaysia).

Wisma Putra dalam satu kenyataan menasihati ibu bapa dan anggota keluarga agar tidak terlalu bimbang kerana kedutaan serta Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) sentiasa memantau perkembangan terkini, selain berhubung dengan pelajar dan rakyat Malaysia berkenaan.

Menurut kenyataan itu, satu pekeliling Nasihat Keselamatan juga dikeluarkan kepada semua rakyat Malaysia bagi mengelak berada di tempat berisiko tinggi tercetusnya rusuhan dan berwaspada setiap masa.

Selain itu, dua bilik operasi telah ditubuhkan iaitu di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya dan di Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah. Ia boleh dihubungi di talian 03-88892746 / 03-88874570 (Putrajaya), dan 00-202-37610013 sambungan 116, atau 00-202-37610164 (Kaherah).

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ibrahim Ahmad berkata, keselamatan pelajar tajaannya di Kaherah adalah terkawal. – Bernama

MARA bina IKM di Raub

RAUB 31 Jan. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membina Institut Kemahiran MARA (IKM) di sini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, satu kawasan seluas 60 hektar berhampiran bandar ini disediakan bagi pembinaan projek tersebut dengan peruntukan sebanyak RM148 juta.

Menurut beliau, institut kemahiran baru itu bukan sahaja melatih para pelatih tetapi ia akan memberi impak besar terhadap ekonomi dan menjadi pemangkin kepada pembangunan di daerah ini.

"Lepasan sekolah menengah di daerah ini serta daerah berhampiran akan diberi keutamaan mendapatkan pelbagai latihan kemahiran di situ.

"Apabila siap nanti ia merupakan IKM pertama dibina di kawasan Pahang barat setakat ini," katanya semasa melawat tapak yang bakal menjadi kawasan pembinaan IKM berhampiran bandar Raub di sini semalam.

Shahiruddin yang juga merupakan Pengerusi GiatMARA berkata, kerja-kerja projek akan dilaksanakan sebaik sahaja reka bentuk serta proses tender dikeluarkan.

Tambahnya, pembinaan institut itu merupakan projek terbesar dilaksanakan kerajaan di daerah ini dalam usaha memberi latihan kepada belia mengikuti pelbagai bidang kemahiran.

Jelasnya, apabila mula beroperasi nanti ia dijangka mampu menampung 3,000 pelatih.

Katanya, usaha itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir terlatih dari kalangan belia terutama lepasan sekolah bagi memenuhi pasaran pekerjaan negara.

Tuesday, 18 January 2011

MARA perlu tambah baik empat sektor

Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa menambah baik empat sektor utamanya iaitu keusahawanan, pendidikan dan latihan kemahiran, pelaburan serta pengurusan bagi memastikan usaha memperkasakan bumiputera tidak terjejas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dalam era ekonomi berasaskan inovasi, MARA tidak boleh lagi terlalu terikat dengan pendekatan lama jika mahu melonjakkan bumiputera sebagai golongan berpendapatan tinggi.

Katanya, dalam aspek keusahawan, agensi itu perlu menggubal piawaian agar MARA dijadikan satu jenama yang mempunyai nilai pasaran global selain perlu melaksanakan program peruncitan bumiputera dengan pasar raya besar seperti Giant, Tesco mahupun Mydin.

"MARA perlu melakukan transformasi menjurus ke arah status bumiputera berpendapatan tinggi dengan mengambil pengajaran bagaimana negara-negara perindustrian yang berjaya hari ini mencipta kekayaan meskipun tidak mempunyai sumber semula jadi yang mencukupi.

"Pegawai MARA juga perlu diberi pendedahan kepada ilmu terkini mengenai keusahawanan termasuk membudayakan MARA sebagai sebuah jenama yang mempunyai nilai pasaran global," katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan bulanan kementerian itu, di Bangi dekat sini hari ini.

Hadir sama kedua-dua timbalannya, Datuk Hassan Malek dan Datuk Joseph Entulu Belaun serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhammad.

Mengenai aspek pendidikan dan latihan kemahiran pula, Mohd. Shafie memberitahu, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) perlu kembali menjurus kepada bidang sains dan matematik sebagai teras pendidikan agar generasi muda bumiputera berupaya menguasai bidang teknologi pada masa depan.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan MARA supaya lebih kreatif dalam menjana pendapatan sendiri dengan menceburi sektor pelaburan bagi memastikan kebergantungan kepada kerajaan secara berlebihan dapat dikurangkan.

"Bagi mencapai semua ini perlu kepada struktur organisasi yang sumber manusianya harus mempunyai elemen kecemerlangan.

''Kita perlu melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing dan oleh sebab itu saya mahu MARA mempercepatkan program pencapaian pelapis," ujarnya.

Thursday, 30 December 2010

Malaysia wins AFF Suzuki Cup

JAKARTA: Malaysia has won the 2010 AFF Suzuki Cup on a 4-2 aggregate after losing to Indonesia 2-1 in the second leg of the final here tonight. Malaysia won the first leg 3-0.

Indonesia piled on the pressure from the start and earned a penalty in the first half when a Malaysian defender hand-balled in the penalty box, but a brilliant save from keeper Khairul Fahmi denied the Indonesians the lead.

Mohd Safee Sali put Malaysia ahead in the 52nd minute after a score-less first half, while Indonesia's Mohammad Sasufa equalised to bring the game level.

Ridwan scored in the 87th minute to put Indonesia in the lead 2-1, but as the final whistle blew, it was not enough to offset Malaysia's 3-0 advantage going into the second leg of the final.

Prime Minister Datuk Seri Najib Razak via his Twitter account congratulated the national team.

“Well done, Malaysian Tigers! You played well as a team and have made your country very proud. Congratulations!” he said.

Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin also hailed the team, saying the victory showed that nothing was impossible if one truly wanted to win.

“Every effort, sweat and sacrifice of each player, their coach and officers contribute to the triumph,” he said in a statement.

“I urge the players to continue maintaining the highest performance so that Malaysia can hold its head high in the international arena,” he said.

The relentless leadership and efforts of Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah in the development of Malaysian football should be admired, said the deputy prime minister.

Muhyiddin even praised the strong support of the people towards the Malaysian football team.

“Such an aspiration is needed to spur the player in winning more future matches,” he said.

Wednesday, 29 December 2010

MARA belanja lebih RM670 juta laksanakan projek pendidikan 2011

PUTRAJAYA 28 Dis. - MARA memperuntukkan lebih RM670 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pendidikan sepanjang tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan sebanyak itu bukan hanya untuk membiayai projek-projek baru tetapi juga bagi menaiktaraf institusi pendidikan yang sedia di bawah MARA.

"Institusi pendidikan itu membabitkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), GiatMARA dan lain-lain yang berkaitan.

"Bagi pendidikan menengah di MRSM untuk tempoh dua tahun mulai tahun depan, MARA menerima RM457 juta bagi membiayai kos pembinaan serta penyediaan peralatan di beberapa buah MRSM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk tempoh 2011 hingga 2012, MARA memperoleh peruntukan RM2.069 billion bagi membiayai 126 projek atau program.

Daripada jumlah ini, RM1.747 bilion adalah untuk sektor pendidikan.

Mohd. Shafie berkata, bagi tahun yang sama, MARA juga memperuntukkan kira-kira RM400 juta bagi membiayai pelajar-pelajar tempatan yang berjaya melanjutkan pengajian mereka di universiti dalam dan juga luar negara.

"Peruntukan tersebut untuk membiayai 25,500 pelajar membabitkan program pengajian luar negara manakala 24,500 yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti tempatan," katanya.

Selain itu, Mohd. Shafie berkata, MARA turut mewujudkan program khusus bagi membantu pelajar atau belia di bandar yang tercicir dari arus pendidikan atas pelbagai sebab.

Menurutnya, program yang dikenali sebagai Program Perantisan Khas itu dikendalikan oleh GiatMARA sejak 2009.

"Mereka yang terpilih akan ditempatkan di entiti perniagaan atau perusahaan untuk mengikuti latihan kemahiran dalam tempoh enam bulan dalam bidang kemahiran yang ditetapkan," katanya.

Tuesday, 28 December 2010

MARA peruntuk RM150 juta pinjaman usahawan Bumiputera

Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sejumlah RM150 juta pinjaman kepada usahawan Bumiputera di seluruh negara untuk tahun depan.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pinjaman yang akan diberikan itu meliputi pelbagai bidang keusahawanan kecuali pertanian, tetapi keutamaan akan diberikan kepada bidang runcit.

"Secara purata, setiap peminjam akan memperoleh kira-kira RM50,000. Jumlah peruntukan ini (RM150 juta) sebenarnya masih kecil tapi ia berdasarkan kutipan semula pinjaman yang kita telah perolehi. Kalau lebih, maka kita akan tambah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula Medan Selera Rakyat, di Medan MARA di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, setiap pemohon pinjaman perlu memenuhi kriteria tertentu termasuk lulus ujian psikometrik bagi menilai tahap keusahawanan mereka.

Ujian itu yang mula diperkenalkan November lepas antara lain mengukur nilai keusahawanan setiap individu daripada segi daya tahan, kemampuan bersaing, keberanian menanggung risiko dan sebagainya.

"Walaupun kertas kerja yang mereka sediakan bagus, pembentangan mereka juga bagus tapi mereka perlu lulus ujian ini untuk kita nilai sejauh mana mereka mampu bertahan dalam perniagaan,” katanya.

Mengenai penjenamaan semula Medan Selera Rakyat, Idris berkata, ia bertujuan menjadikan kawasan itu menjadi lebih menarik, selesa, bersih dan santai.

Bertemakan ”Green Peace”, projek membaik pulih medan selera itu telah dimulakan 1 November lepas dan siap sepenuhnya pada 17 Disember dengan kos kira-kira RM190,000. - Bernama

MARA catat kutipan bayaran balik pinjaman tertinggi

Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kutipan bayaran balik pinjaman yang tertinggi pada 2010 berbanding negeri-negeri lain.

Pengarahnya, Abdullah Mohammad memberitahu, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, lebih RM2 juta pungutan dikumpulkan sehingga November lepas.

''Jumlah kutipan balik pinjaman MARA daripada usahawan di Negeri Sembilan adalah yang terbaik setakat November lalu.

''Ini memperlihatkan bahawa adanya tindak balas positif daripada peminjam dan memudahkan kita untuk memberi pinjaman kepada usahawan baru," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan usahawan di negeri ini berjaya dalam perniagaan mereka selepas mendapat bimbingan MARA dan mereka tiada masalah untuk membayar hutang mengikut jadual.

''Apabila pinjaman ini dijelaskan mengikut jadual kita mempunyai dana mencukupi untuk diagihkan pula kepada usahawan bumiputera yang baru menceburi bidang perniagaan," ujarnya.

Mengikut statistik, sepanjang tahun ini MARA negeri telah mengeluarkan sebanyak RM13.94 juta pinjaman membabitkan 249 usahawan bumiputera.

Daripada jumlah berkenaan, 87 peratus telah mula membuat pembayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan.

Lagi pasangan kembar peroleh 8A

SEREMBAN 24 Dis. - Sikap saling bersaing dan memperbanyakkan doa menjadi rahsia kejayaan pasangan kembar Nur Dalila serta Nur Dahlia Zulkifli, 15, dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam.

Dua beradik yang belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh, Tampin, masing-masing memperoleh 8A dalam peperiksaan berkenaan.

Nur Dalila berkata, mereka suka bersaing sesama sendiri untuk mencapai kecemerlangan selain mengamalkan pembelajaran secara berkumpulan bersama rakan-rakan.

"Saya lebih gemar belajar bersama rakan-rakan berbanding belajar bersama adik. Mungkin kerana kami mempunyai pandangan berbeza dengan matapelajaran yang diajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nur Dahlia pula berkata, dia mengamalkan cara pembelajaran secara sistematik selain tidak mengulangkaji pelajaran pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan.

"Apa yang penting adalah menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas selain membuat soalan-soalan peperiksaan. Cara itu lebih baik berbanding mengulangkaji pelajaran pada saat akhir.

"Kejayaan yang saya perolehi ini adalah hasil daripada dorongan semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta rakan-rakan," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.