Monday, 17 May 2010

Piala Thomas: China Rangkul Piala Thomas Buat Kali Kelapan

KUALA LUMPUR,16 Mei (Bernama) -- Juara bertahan China mengekalkan kejuaraan Piala Thomas buat kali keempat berturut-turut sejak 2004 apabila menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Putra di sini Ahad.

China berjaya merangkul kejuaraan kejohanan berprestij itu sebanyak lapan kali dengan kali pertama pada 1982 dengan mengatasi Indonesia 5-4 di London, England.

China, selaku pilihan utama pada edisi 2010 itu, mencapai mata kemenangan menerusi pemain perseorangan ketiga Chen Jin yang menewaskan Simon Santoso 19-21, 21-17, 21-7 dalam masa 73 minit.

Terdahulu itu, juara Sukan Olimpik Beijing 2008, Lin Dan, mengambil masa sejam untuk meraih mata pembukaan dengan menewaskan juara Olimpik Athens 2004, Taufik Hidayat, 21-7, 21-14.

Perlawanan antara Lin Dan, pemain nombor dua dunia, dan Taufik, yang ditunggu-tunggu oleh peminat menjadi hambar apabila pemain Indonesia itu gagal menandingi kepantasan dan permainan jaring yang cekap oleh lawannya.

"Kami berdua cuba sedaya upaya untuk memenangi perlawanan bagi membuka laluan kepada pemain pasukan," kata Lin Dan.

Dalam pada itu, Taufik berkata beliau cuba untuk membuka rentak perlawanan tetapi lawannya amat mantap.

"Saya tidak tertekan dan cuba untuk mengubah hantaran bulu tangkis tetapi dia sentiasa membalas setiap pukulan...Ini bukan hari saya," katanya.

Kejayaan Lin Dan itu menyuntik semangat kepada beregu utama China, Cai Yun/Fu Haifeng yang mengukuhkan kedudukan dengan mengatasi Markis Kido/Hendra Setiawan 25-23, 16-21, 21-12 dalam masa 59 minit.

Markis berkata mereka hilang daya khususnya pada set penentuan.

Manakala Cai Yun berkata beregu Indonesia itu sukar untuk diberi tentangan kerana masing-masing memiliki taktik permainan yang sama.

"Sebab itu kami perlu menggandakan usaha untuk mengatasi mereka," katanya.

Sementara itu, Simon berkata lawannya Chen Jin, lebih tenang dan beliau melakukan banyak kesilapan.

Pada edisi 2006 di Jakarta, China menewaskan Korea Selatan 3-1 pada perlawanan akhir.

Pada Sabtu, China gagal mempertahankan kejuaraan Piala Uber apabila tewas 3-1 kepada Korea Selatan.

Tuan rumah Piala Thomas dan Uber pada 2012 akan diumumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada awal tahun depan selepas bida dibuka September ini.-- BERNAMA

Wednesday, 12 May 2010

52 pelajar MRSM keracunan makanan

KOTA BHARU 11 Mei - Seramai 52 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa kelmarin, akibat keracunan makanan dipercayai selepas menikmati hidangan yang disediakan di asrama sehari sebelum itu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, seramai 102 pelajar lain turut mengadu sakit perut bagaimanapun mereka tidak menerima rawatan kerana kesakitan tersebut hanya sementara.

"Kejadian tersebut disedari oleh beberapa guru sekolah itu selepas ramai pelajar mengadu sakit perut, mengalami muntah-muntah malah segelintir menghidap cirit-birit.

"Mereka kemudiannya segera dikumpulkan untuk dihantar mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sembilan Pelajar Malaysia Pamer Inovasi Pada Pameran Sains Di California

KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Sembilan pelajar Malaysia adalah antara 1,611 pelajar dari 59 negara yang mempamerkan inovasi hasil daripada projek penyelidikan mereka pada Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel 2010 di San Jose, California bermula Isnin.

Pengurus Negara Intel Malaysia Ryaz Patel berkata pada pameran selama seminggu itu, pelajar berkenaan akan berkongsi idea, mempamerkan inovasi dan bersaing bagi mendapatkan pengiktirfan antarabangsa dan hadiah wang tunai lebih US$4 juta ditawarkan pada pertandingan sains prakolej terbesar di dunia itu.

"Kami komited untuk memacu dan menambahbaik pendidikan di Malaysia melalui penyertaan aktif dalam program pendidikan dan akses teknologi untuk memberi inspirasi kepada bakal pencipta dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan modal insan di Malaysia," kata Patel dalam kenyataan di sini hari Selasa.

Beliau berkata projek dari pelajar Malaysia termasuk kaedah baru untuk rawatan ketidaksuburan oleh Muhammad Adib Abas dari Sekolah Menengah Sains Sultan Muhammad Jiwa dan kipas yang berpotensi mengurangkan jumlah penggunaan elektrik oleh Muhammad Farid Khosim, Amirul Mustaqim Roslee dan Raja Muhammad Saifullah Raja Omar dari Maktab Rendah Sains MARA Taiping.

Patel berkata projek penyelidikan lain daripada peserta dari seluruh dunia itu termasuk topik mengenai perubahan iklim, tenaga bersih, autisme, kanser, pembaharuan pendidikan, angkasa lepas dan robotik.
-- BERNAMA

Monday, 10 May 2010

MARA funds for Johor businessmen

JOHOR BARU - Sunday May 9, 2010: MARA gave out almost RM1mil in loans to entrepreneurs in the state to help them compete in the international market.

Deputy Rural and Regional Development Minister Datuk Hasan Malek said although most of the loan recipients knew how to run a successful business, they still needed assistance in order to be competitive internationally.

“It is promising to see how far some of these entrepreneurs have come.

“Most of the products which were previously only available at the village areas are now becoming available worldwide,” he said during an official visit to Plaza Larkin here yesterday.

He added that many local products were already available and in demand in places such as Saudi Arabia, Dubai and Hong Kong.

“Although we have progressed, there is still room for improvement for our local products,” he said, adding that enhancements could be made to the packaging and marketing of these products.

“Entrepreneurs should also work closely with MIDA, the Malaysian External Trade Deve­lopment Corporation and the Tourism Ministry in order to break into the world market,” he said.

He added that although local entrepreneurs had good quality products, many did not have international contacts.

“So far, our food products and local handicraft are getting good response from international buyers. We are also getting demand for our locally-produced furniture.”

Albakri Alias Pekerja Cemerlang 2010

KUALA LUMPUR, 8 Mei -- Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Institut Kemahiran MARA Lumut, Albakri Alias pada Sabtu dipilih sebagai penerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2010 sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2010 di sini.

Anugerah itu adalah antara sembilan kategori anugerah yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan kira-kira 8,000 warga pekerja awam dan sektor swasta sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam perkhidmatan.

Albakri, yang memperoleh pendidikan di Britain, merupakan pakar dalam bidang bangunan dan pembinaan dan aktif dalam persatuan.

Sementara itu, guru Komputer di Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang Teh Kar Wei pula menerima Anugerah Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) Cemerlang (Penerima Pertama), Eksekutif Bank Rakyat Norlita Hanim Md Taha (penerima kedua Anugerah Pekerja OKU Cemerlang) manakala Pembantu Penguatkuasaan di Majlis Bandaraya Johor Baharu, Subhi Saad (penerima ketiga Anugerah Pekerja OKU Cemerlang).

Anugerah Majikan Prihatin (syarikat besar) dimenangi Telekom Malaysia Berhad dan Anugerah Majikan Prihatin (Enterpris Kecil dan Sederhana) kepada MM Vitaoils Sdn Bhd yang beroperasi di Shah Alam.

Selain itu, Anugerah Majikan Berdaya Saing (syarikat besar) kepada Proton Holdings Bhd, Anugerah Majikan Berdaya Saing (Enterpris Kecil dan Sederhana) kepada Polydamic Holdings Sdn Bhd, Ipoh.

Anugerah Ladang Bahagia yang pertama kali diperkenalkan dimenangi Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (sektor awam) kepada Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Kementerian Pendidikan Semenanjung Malaysia, manakala Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (sektor swasta) kepada Kesatuan Pekerja-pekerja Penang Port Sdn Bhd.

Perhimpunan Hari Pekerja bertema "Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi" diserikan dengan persembahan Badan Kesenian Tentera Darat dan artis residen, koir Kementerian Sumber Manusia serta lafaz ikrar Hari Pekerja.

Dalam ucapannya, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata kerajaan amat prihatin dengan gaji rendah di beberapa sektor tertentu dimana terdapat antara 30 peratus hingga 40 peratus kelas pekerja yang masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Kerajaan mahu gaji di dalam sektor-sektor ini ditingkatkan dan untuk itu memperkenalkan Model Ekonomi Baru untuk memberi faedah kepada pekerja dan memastikan negara terus berdaya saing, katanya.

Dr Subramaniam berkata kerajaan juga mengkaji kemungkinan mewujudkan skim-skim baru berkaitan perlindungan keselamatan sosial bagi memastikan kesejahteraan pekerja dan tanggungannya lebih terjamin.
-- BERNAMA

Friday, 7 May 2010

Keupayaan Daya Saing Orang Melayu Perlu Diperkukuhkan, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 6 Mei -- Keupayaan daya saing orang Melayu perlu diperkukuhkan lagi melalui perubahan minda dan sikap supaya mereka dapat bersaing dengan bangsa lain di persada antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dengan cara ini, maka orang Melayu akan lebih yakin untuk bersaing di persada antarabangsa.

"Sebab itulah walaupun apa yang disebutkan sebagai tindakan afirmatif masih kita kekalkan tapi pendekatan kita...kita akan ubah supaya kita membantu orang Melayu yang ada potensi untuk mara ke hadapan.

"Dalam ertikata mereka telah diuji terlebih dahulu...mereka sudahpun terbukti kemampuannya dan kerajaan membantu mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih besar," katanya dalam rakaman video You Tube melalui laman web www.1Malaysia.com.my beliau dalam menjawab satu soalan mengenai memperkasa minda Melayu.

Dalam konteks ini Najib berkata, umpamanya kalau syarikat orang Melayu sudah berjaya, maka kerajaan hendak menjadikan syarikat berkenaan itu berjaya di peringkat rantau ini sebagai "juara serantau" dan kemudiannya sebagai "juara global" dan sebagainya.

Najib berkata pendekatan ini juga bererti bahawa dalam persaingan sesama Bumiputera, kerajaan akan memilih mereka berdasarkan pada merit.

"Jadi kalau kita guna kriteria tersebut (yang) lebih kepada kriteria berdasar kemampuan dan merit, saya percaya kita akan dapat ketengahkan Bumiputera yang lebih berjaya kerana kita telah memilih mereka yang sudahpun terbukti memperlihatkan kemampuan bersaing di peringkat dunia sekalipun.

"Jadi sebab itulah kita akan teruskan tindakan afirmatif tapi kita akan buat pendekatan yang lebih mesra pasaran...lebih berdasarkan merit dan juga lebih kepada mereka yang benar-benar perlu diberi bantuan," kata Najib.-- BERNAMA

Thursday, 6 May 2010

Usahawan Penting Kepada MEB, Kata Mukhriz

KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Usahawan tempatan perlu memanfaat sepenuhnya peluang daripada usaha kerajaan dalam memastikan persekitaran perniagan yang kondusif bagi mereka, kerana Model Ekonomi Baru (MEB) bergantung kepada pembukaan pasaran-pasaran baharu oleh sektor swasta.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir hari ini berkata model itu berisiko berdepan kegagalan tanpa penyertaan usahawan.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai sejauh mana relevannya peranan usahawan di bawah MEB.

"Usahawan sangat relevan kepada MEB yakni model itu akan gagal tanpa mereka," katanya pada perbincangan panel yang bertajuk Usahawan Dan Wawasan 20/20 Mereka, bersempena dengan Anugerah Usahawan Terbaik Ernst&Young Tahun ini.

"Usaha memacu ekonomi perlu dilakukan dengan sektor swasta kerana kami memerlukan mereka untuk membuka pasaran-pasaran baharu manakala kerajaan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi mereka," katanya.

Bagi bahagiannya, kerajaan sedang meneliti pusingan kedua liberalisasi, penswastaan seterusnya serta melibatkan diri dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA).

"Kami sedang meneliti gelombang kedua liberalisasi bagi lebih banyak sektor impak tinggi. Kami sedang berbincang dengan persatuan dan dewan perniagaan mengenai sektor mana yang lebih penting yang perlu diliberalisasikan untuk membukakan pasaran tempatan," katanya.

Mukhriz berkata Malaysia mendapat faedah daripada FTA dengan hasilnya negara sentiasa memperoleh lebihan perdagangan daripada perjanjian dua hala atau pelbagai hala tertentu.

"Anda boleh lihat jumlah perdagangan, di mana kita mempunyai FTA, telah berkembang dengan pesat," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga giat meneruskan Perkongsian Trans-Pasifik dengan AS, Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura dan juga berharap dapat memuktamadkan FTA dengan India menjelang akhir tahun ini.

Mengenai perkembangan lain, Mukhriz berkata kerajaan sedang berusaha untuk menyamaratakan nisbah antara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) masing-masing kepada 50-50 peratus, daripada 70-30 peratus sekarang.

Beliau berkata ini kerana peserta utama tempatan merasakan mereka tidak menerima insentif yang sama seperti peserta asing dan telah membuat pelaburan mereka di tempat lain.

Meskipun, peserta tempatan digalakkan untuk meneroka ke luar negara dengan sasaran membawa pulang pendapatan dalam Pelan Induk Perindustrian 3, kerajaan kini berusaha untuk menyediakan insentif yang lebih baik untuk menggalakkan DDI.

Negara tidak mahu terlalu bergantung kepada industri berintensifkan buruh untuk menjadi sebuah negara pendapatan tinggi, katanya.-- BERNAMA

Wednesday, 5 May 2010

MEB: Peluang ubah Melayu

Oleh DR. MOHD RAPIK SAAT

MEB harus dilihat sebagai satu peluang untuk bangsa Melayu beranjak paradigma atau pemikiran daripada satu bangsa yang mengharapkan bantuan kerajaan dalam pelbagai bidang kepada Melayu yang berdikari, berilmu dan berkeyakinan tinggi untuk menempah kejayaan dalam segala bidang kerjaya atau keusahawanan di peringkat antarabangsa tanpa berharap kepada insentif kerajaan.

Beberapa tahun lalu Datuk Seri Najib Tun Razak buat pertama kali mengutarakan istilah Melayu Glokal, merujuk kepada Melayu yang bersikap dan berdaya saing global tetapi bertunjangkan budaya Melayu dan Islam.

MEB yang diumumkan baru-baru ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai ekonomi maju dan berdaya saing, dengan rakyatnya menikmati kualiti hidup dan berpendapatan tinggi hasil pertumbuhan yang terangkum dan mampan. Ketiga-tiga konsep ini sebenarnya amat berhubung-kait. Untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan MEB, Melayu perlu terlebih dahulu menjadi Melayu Glokal.

Berkaitan pelaksanaan MEB yang masih dalam perancangan, terdapat suara-suara yang melahirkan rasa kerisauan mengenai status ketuanan Melayu berikutan perkongsian ekonomi dengan bangsa lain. Beberapa pihak berasa terancam jika jaminan 30 peratus ekuiti Melayu diluputkan.

Mentaliti Melayu sebegini adalah berkaitan dengan kekeliruan konsep "zero-sum game" di mana kita percaya saiz ekonomi adalah mutlak, maka kekayaan dan kemewahan bangsa lain adalah atas kehilangan dan keciciran bangsa Melayu. Sebaliknya, kita harus menyokong agenda-agenda di bawah MEB yang berpotensi untuk memperluaskan saiz ekonomi negara.

Dengan status sekarang, tindakan affirmatif tidak telus mungkin menghadkan saiz ekonomi kita pada kadar, sebagai contoh RM100. 30 peratus daripada RM100 ialah RM30. Tetapi dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) di samping tindakan affirmatif yang lebih telus melalui MEB, saiz ekonomi negara perpotensi untuk berkembang dengan lebih maju.

Jika saiz ekonomi meningkat sehingga, sebagai contoh, RM200, 20 peratus ekuiti Melayu sudah berjumlah RM40 - melebihi jumlah kekayaan asal walaupun pada kadar ekuiti yang lebih rendah.

Kesimpulannya, adalah lebih baik untuk kita menghargai usaha dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk meningkatkan saiz ekonomi dan kekayaan negara daripada begitu taksub untuk mempertahankan jaminan ekuiti, insentif atau subsidi daripada kerajaan.

Masyarakat Melayu harus bersedia dan menerima dengan hati yang terbuka apabila MEB dibentangkan dengan lebih terperinci pada hujung tahun nanti. Meminjam bicara Datuk Dr. Norraesah Mohamad, kita perlu menilai kemungkinan tanpa jaminan kuota dan ekuiti, Melayu akan menjadi lebih berdaya saing.

Kita akan menjadi lebih bersedia menyahut cabaran untuk menjadi "pemain" yang aktif dalam persekitaran ekonomi pasaran yang baru di Malaysia. Lebih-lebih lagi, kerajaan juga sudah beberapa kali menyatakan nasib golongan yang terpinggir akan terus terbela di bawah MEB.

Kita harus berusaha untuk mengubah nasib kita sendiri dan menerima hakikat bahawa budaya mengharapkan subsidi tidak akan berpanjangan. Sebagai perumpamaan, ubat yang diambil pada kadar minimum yang disarankan dapat membantu memulihkan kesakitan. Tetapi, ubat yang diambil secara berlebihan akan memudaratkan diri dan berkemungkinan menjadikan kita penagih tegar.

Jika kita gagal untuk berubah ketika ekonomi negara masih dalam keadaan baik pada hari ini, esok atau lusa kita mungkin dipaksa oleh arus ekonomi pasaran untuk menerima perubahan dalam keadaan tidak bersedia, ekonomi yang tidak berdaya saing dan terancam untuk terus relevan dalam sistem perdagangan antarabangsa.

Dengan usaha yang terancang, bangsa Melayu akan dapat bersedia untuk menghadapi perubahan dasar ekonomi negara. Tentunya ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Yang pasti, perjuangan kita masih belum selesai!

"Demi sesungguhnya selepas kesulitan pasti ada kemudahan. Selepas kesulitan pasti ada kemudahan" (Al-Insyirah).

Pendekatan progresif untuk persediaan Melayu.

Bagaimanakah bangsa Melayu dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi arus perubahan yang dibawa MEB?

Salah satu cabang Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) adalah untuk mengukuhkan penyampaian pendidikan berkualiti tinggi yang mendorong inovasi dan teknologi. Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menitikberatkan pendidikan awal adalah satu usaha yang sangat baik. Antara lain, khusus untuk melahirkan pelajar Melayu berprestasi tinggi,

1) Program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) harus digiatkan di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempunyai peratusan pelajar Melayu yang tinggi. Pengetua dan guru-guru di SBP dan MRSM boleh diberi kuasa autonomi untuk memilih pelajar dan menggunakan kurikurum inovatif.

Tanggungjawab dan objektif mereka adalah untuk menjana pelajar Melayu yang berprestasi tinggi dalam bidang akademik, keusahawanan, kepimpinan dan sahsiah diri yang dapat memonopoli tawaran biasiswa ke luar negara atau mengikuti pengajian dalam bidang-bidang strategik di dalam negara dari segi merit tanpa memerlukan kuota istimewa.

2) Sistem pendidikan tinggi perlu meningkatkan kebolehpasaran graduan Melayu. Siswazah harus diberi peluang untuk menimba pengalaman bekerja (praktikal training) di syarikat multinasional berkaitan kerajaan (GLC). Siswazah cemerlang dalam program ijazah di institusi dalam negara juga dibolehkan untuk memohon dana pinjaman pendidikan sebanyak RM60-RM70 ribu untuk mengikuti pengajian musim panas selama tiga bulan di universiti terkemuka luar negara untuk memperluaskan perspektif dan menimba pengalaman belajar di persekitaran yang terbaik.

3) Semangat anak Melayu untuk menuntut ilmu juga perlu dibakar di pelbagai peringkat. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk belajar, tetapi jika anak muda Melayu masih belum dapat memahami kepentingan berilmu, Melayu akan terus berada pada takuk yang sama. Apa yang diperlukan adalah satu gerakan akar-umbi yang radikal untuk membakar semangat generasi muda Melayu untuk keluar daripada kepompong kemalasan dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ia memerlukan satu program yang sistematik dalam mengenal pasti bakat-bakat muda yang perlu "dikejutkan", pengenalan modul pembelajaran berkesan, dan perkongsian pengalaman dan titian hidup oleh individu Melayu yang telah berjaya.

Pihak media juga dapat memainkan peranan. Ketika berusia belasan tahun, saya pernah terbaca dalam Pancaindera dalam Mingguan Malaysia kisah seorang warga Malaysia di luar negara yang berjaya mendapat Ph.D sebelum berusia 30 tahun. Ini telah sedikit-sebanyak mendorong saya menjejaki langkah beliau. Hari ini, paparan-paparan picisan membuatkan anak muda lebih mengagungkan ikon hiburan dan sukan dari Barat daripada usahawan dan cendekiawan.

4) Insentif berserampang dua mata untuk menggalakkan keluarga Melayu menitikberatkan faktor pendidikan dan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dapat diadakan dengan menawarkan skim bantuan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) kepada yang berkelayakan berdasarkan nisbah perbelanjaan pendidikan tahunan per pendapatan bersih. Kerajaan akan meminjamkan dana setinggi RM150,000 pada kadar faedah sifar. Individu terpilih perlu membuat bayaran bulanan sebanyak RM50 misalnya untuk menyemai disiplin menabung dan penerima pinjaman akan mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM1,000 sebulan.

Apabila kesemua anak peminjam telah menamatkan pengajian, pendapatan tambahan dan pinjaman akan dihentikan, dan modal asal pinjaman berjumlah RM150,000 akan dipinjamkan kepada individu berkelayakan lain.

PENULIS ialah Pengerusi Kelab UMNO Chicago, Amerika Syarikat

Monday, 3 May 2010

MARA Teruskan Projek MRSM Kuala Kangsar Tahun Depan

IPOH, 30 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneruskan pembinaan projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kangsar, yang terbengkalai sejak 2008, pada tahun depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim Muhamad berkata MARA akan meneruskan pelaksanaan pembinaan projek itu di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang akan bermula pada tahun hadapan.

Beliau berkata demikan dalam satu kenyataan bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Khamis yang meminta MARA supaya meneruskan segera pembinaan MRSM Kuala Kangsar bagi mengelakkan mana-mana projek pembangunan di Perak menjadi 'projek sakit' atau 'gajah putih'.

Ibrahim menjelaskan projek berkenaan tidak dapat ditender semula dalam tempoh RMK-9 kerana kekurangan bajet.

Beliau berkata projek itu telah juga mendapat kelulusan bajet di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (PRE 2) tetapi ia tidak dapat menampung kos untuk projek itu ditender semula.

Menurutnya projek berkenaan telah ditamatkan kontrak pembinaannya pada 23 Okt 2008 disebabkan kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Prestasi fizikal semasa kontrak ditamatkan adalah 41 peratus berbanding jadual asal kontrak 66 peratus dengan kelewatan 206 hari," tambahnya.-- BERNAMA

GiatMARA perluas program Sale 2 U

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pusat GiatMARA Malaysia bercadang memperluaskan program keusahawan Giat MARA Sale 2 U ke peringkat kebangsaan sekiranya program itu mendapat sambutan menggalakkan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd. Halim Mansor berkata, pihaknya perlu terlebih dahulu perlu menyediakan satu kertas kerja berhubung kebaikan dan keberkesanan program tersebut.

''Ini cadangan yang baik kerana ia mampu menjadi landasan untuk mengetengahkan lepasan Pusat GiatMARA ke dalam realiti perniagaan.

''Oleh itu, kami sedang mengkaji dan menilai keberkesanan program ini, selain perlu mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah sekiranya ia mahu dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan GiatMARA Sale 2 U, di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Intan Baiduri, Kepong di sini hari ini.

Abd. Halim ditanya mengenai kemungkinan Pusat GiatMARA memperluaskan program itu ke luar Kuala Lumpur memandangkan sambutan hangat sewaktu ia diadakan di Titiwangsa sebelum ini.

Program di Kepong itu merupakan yang kedua dianjurkan dan akan diadakan secara bergilir-gilir di kesemua Pusat GiatMARA di Kuala Lumpur.

''Kita mempunyai 10 Pusat GiatMARA di Kuala Lumpur dan melalui program ini kita akan dapat melahirkan usahawan yang mampu menghasilkan produk-produk komersial," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM6,000 sepanjang program sehari itu berlangsung.

''Angka ini bukan sesuatu yang mustahil," ujarnya.