Oleh PROF. MADYA DR. ZA'FARAN HASSAN
"SEBUAH nama keramat lahir dari percikan amarah suatu bangsa yang mundur sosio-ekonominya, masih menadah tangan menjadi peminta di tanah airnya yang hampir sepuluh tahun merdeka..." Demikianlah bait-bait puisi yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang mengenai Majlis Amanah Rakyat atau lebih dikenali secara ringkasnya MARA.
Peranan MARA sejak pertengahan tahun 1960-an tidak boleh dinafikan. Tidak ada orang Melayu khususnya yang berada di luar bandar yang tidak kenal MARA. Sehingga wujud kenyataan Melayu adalah MARA dan MARA adalah Melayu.
Dari satu segi kenyataan ini, ada benarnya. Nama MARA wujud di hati orang Melayu. Dari sekecil-kecilnya seperti rumah MARA, bas MARA, arkib MARA, pinjaman MARA sehinggalah maktab, institut dan universiti. Sekalung tahniah kepada MARA yang telah mengambil inisiatif ini.
Pengalaman MARA dalam mempertingkatkan sosio-ekonomi bangsa Melayu tidak boleh dinafikan. Oleh itu, sebarang agenda berkaitan transformasi Melayu memerlukan penglibatan aktif MARA yang telah banyak membantu mengeluarkan profesional dan golongan menengah Melayu.
Kenapa dan mengapa? Negara kita sekarang sibuk memperkatakan tentang Pelan Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baru. Di samping itu, pada Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan unit Teraju sebagai peneraju perubahan penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara.
Dari segi struktur, kedua-duanya iaitu Teraju dan Pemandu melapor terus kepada Perdana Menteri, manakala MARA pula hanya merupakan agensi penghantar (Delivery Agency) yang terletak di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Persoalan yang timbul ialah bolehkah 'MARA terus mara' demi memperjuangkan agenda bangsa Melayu, jika ia tidak diberikan status (yang sama seperti Teraju dan Pemandu) sebagai badan yang wujud secara terus di bawah Perdana Menteri seperti zaman Allahyarham Tun Abdul Razak. Dengan demikian barulah agenda transformasi bangsa Melayu boleh diperjuangkan secara efektif dan efisien.
Birokrasi yang ada di MARA perlu dipermudahkan. Dengan cara ini, MARA lebih mudah membawa suara hati masyarakat Melayu desa ke pengetahuan pemimpin teratas. Dalam masa yang sama, MARA turut membawa dan mempermudahkan wawasan pemimpin kepada masyarakat Melayu.
Di samping itu, MARA perlu juga memperkasakan diri mereka sendiri. Ibarat kata pepatah Melayu, 'kalau sayangkan padi, buanglah rumput'.
Sumber-sumber yang menghalang kelicinan pentadbiran perlulah diganti dengan sumber-sumber baru. Bangsa Melayu sekarang ini menghadapi begitu banyak cabaran. Kita hanya mempunyai sembilan tahun lagi untuk mencapai Wawasan 2020 dan saya yakin transformasi bangsa Melayu boleh berjaya jika MARA memainkan peranan penting dalam proses ini.
Pergerakan 'Transformasi Bangsa Melayu'golongan profesional dan menengah Melayu (yang kebanyakannya lahir daripada bakti pendidikan MARA sendiri) sedang hebat mengatur satu pergerakan 'Agenda Transformasi Melayu Muslim'.
Pergerakan ini terdiri daripada orang-orang Melayu yang hebat-hebat belaka iaitu golongan pensyarah, profesor, profesional, jurutera, peguam, ahli korporat, ustaz dan sebagainya.
Difahamkan pergerakan ini telahpun mengadakan wacana intelek untuk memupuk kesedaran tentang transformasi bangsa Melayu yang boleh membangunkan bangsa sendiri dengan semangat berganding bahu dan kesemuanya secara sukarela.
Pergerakan ini juga akan mengadakan wacana bertajuk Agenda Transformasi Melayu Muslim yang akan berlangsung di Hotel Pullman, Putrajaya pada 12 Mac ini. Wacana ini akan dihadiri oleh golongan profesional dan menengah Melayu Muslim.
Pergerakan ini telah mengambil inisiatif yang sangat baik dengan mengadakan perhimpunan ini. Penglibatan golongan profesional dan menengah Melayu Muslim diharap berupaya membantu merancakkan lagi agenda transformasi bangsa khususnya dalam menggerakkan program-program kesedaran kepada orang Melayu.
Perhimpunan ini akan membincangkan beberapa perkara penting. Antara lain mereka telah bersedia untuk mewujudkan sistem wakaf korporat. Dalam sistem ini, setiap orang Melayu yang cintakan bangsa dan agama mereka berpeluang menyumbang ke arah pembangunan negara. Dana yang terkumpul akan digunakan ke arah mewujudkan satu masyarakat yang aman, makmur dan sentosa. Setiap lapisan bangsa Melayu boleh membuat sumbangan/infak melalui iqra.com.my yang telah ditubuhkan.
Mudah-mudahan perhimpunan ini berupaya membantu kerajaan dalam menggerakkan agenda transformasi bangsa Melayu ke arah mewujudkan bangsa Melayu global yang maju seiring dengan bangsa lain di dunia tanpa mengharapkan bantuan kerajaan tetapi berlandaskan prinsip-prinsip Islam.
Sudah bertahun negara kita yang tercinta ini bebas dan merdeka daripada belenggu penjajah, namun sudahkah bangsa ini bebas daripada terpuruk ekonomi, politik, perundangan dan banyak lagi.
Keterpurukan bangsa Melayu kita ini bukan semata-mata disebabkan faktor 'luaran' atau luaran, contohnya pengaruh ekonomi global, politik, perundangan dan lain-lain. Tetapi tak kalah penting pengaruhnya adalah faktor 'dalaman'. Faktor manusia bangsa Melayu itu sendiri. Apakah yang salah daripada manusia Melayu?
Jika benar, maka sikap tidak kisah ataupun 'complacency' inilah yang amat membimbangkan daripada perspektif survival dan kemajuan pembangunan bangsa Melayu kita!
Apabila sebuah bangsa sudah lupa akan kekuatannya, maka kelemahannya adalah sasaran empuk bagi bangsa-bangsa yang menginginkan kita ini hancur.
Penulis ialah Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi Mara.