Tuesday 24 August 2010

Sultan Selangor Berbuka Bersama Rakyat Di Kuala Kubu Bharu

HULU SELANGOR, 23 Ogos -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anak yatim, fakir miskin dan saudara baru sebelum berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baharu di sini.

Seramai 98 anak yatim, 200 fakir miskin dan 92 saudara baru menerima sumbangan tersebut.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha kerajaan negeri Datuk Ramli Mahmud, anggota exco Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohd Azib Isa dan Mufti Selangor Datuk Mohamad Tamyes Abd Wahid.

Baginda yang diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih.-- BERNAMA

Wednesday 11 August 2010

Sehari Bersama UniKL beri pendedahan

KOTA TINGGI 10 Ogos - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerusi bahagian pemasarannya telah mengadakan program Sehari Bersama UniKL dengan kerjasama penuh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik (SMKT), seramai 100 pelajar asrama tingkatan lima sekolah tersebut mengikuti program yang memberi pendedahan mengenai program pengajian di peringkat tinggi yang ditawarkan UniKL serta mengenai pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Eksekutif Bahagian Pemasaran UniKL, Mohd. Norhaida Abd. Rahman berkata, program berkonsepkan pendidikan dan ilmiah membabitkan tiga subjek iaitu pengenalan teknologi maklumat (IT), sudut bahasa Inggeris dan bengkel Matematik.

Selain itu, ia turut memfokuskan pendaftaran terbuka kepada golongan pelajar bumiputera.

Katanya, program itu bukan sahaja mempromosikan kursus yang ditawarkan malah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai bidang pengajian yang menjadi pilihan mereka.

"Kami merasakan ramai di kalangan pelajar kurang mendapat pendedahan dan mungkin tidak menyedari tentang kewujudan UniKL dan kemudahan seperti mendapatkan pinjaman pendidikan MARA," katanya yang ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi UniKL, Datuk Dr. Adham Baba berkata, UniKl merupakan universiti teknikal pertama di negara ini yang didaftarkan di bawah Institusi Pengajian Tinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu IPMa.

Katanya, IPMa merupakan salah satu institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka yang mengeluarkan graduan berkemahiran dalam bidang tertentu khususnya kejuruteraan.

Ditubuhkan pada tahun 2002, ia berhasrat membentuk para graduannya dengan pengetahuan teknologi dan kemahiran keusahawanan yang mantap dalam memenuhi keperluan industri semasa dan terkini, katanya.

"UniKL sangat unik kerana walaupun ia bukannya universiti akademik, namun ia menggabungkan 60 peratus latihan kemahiran bersama-sama 40 peratus akademik," katanya.

"Ketika ini UniKL mempunyai 10 kampus cawangan yang menawarkan pelbagai jenis program persediaan, diploma, sarjana muda dan pasca ijazah bagi melahirkan sumber manusia mahir dalam bidang teknologi kejuruteraan.

"UniKL bukan sahaja menyumbang kepada bidang pendidikan malah penyelidikan dan pembangunan bagi tujuan pengkomersialan,'' katanya ketika memberi taklimat dan menutup program tersebut.

Menurut beliau, UniKL telah melahirkan lebih 10,000 siswazah yang berjaya membina kerjaya bukan sahaja di pasaran tempatan malah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, seorang peserta, Siti Nafisyah Taza, 17, dari Kampung Cahaya Baru, Masai menyatakan kesyukuran kerana berpeluang mengikuti program berkenaan dan menyifatkannya sebagai amat bermanfaat.

"Konsep pembelajaran dan peluang yang ditawarkan memberikan semangat dan keyakinan untuk belajar lebih bersungguh-sungguh lagi," kata Siti Nafisyah.

Rakannya, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 17, berkata, tenaga pengajar dari UniKL banyak membantu dalam menyuntik semangat merealisasikan impiannya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

"Mara melalui institusi pendidikannya menyediakan pelbagai program kursus yang bersesuaian dengan kelulusan dan minat pelajar bermula dari kelayakan rendah hinggalah yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran tinggi," katanya.

Pelajar dari Ulu Tiram, Johor Bahru, Nur Ainina Hanis Muharam, 17, berkata, program ini banyak membantu dari segi memberi maklumat oleh tenaga pengajar yang begitu profesional.

Monday 9 August 2010

Penganggur disaran sertai latihan kemahiran

PONTIAN 8 Ogos - Masyarakat belia yang masih menganggur disaran agar menyertai latihan kemahiran di institusi latihan bagi membina masa depan yang lebih baik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, ini kerana penubuhan institusi latihan merupakan langkah kerajaan bagi membantu golongan tersebut selepas mereka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, selain agensi dan jabatan kerajaan, terdapat juga institusi latihan yang ditubuhkan oleh pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka sertai.

Menurut beliau, bidang kemahiran tidak boleh dianggap sebagai 'kelas kedua' kerana ia boleh memberikan pendapatan yang lumayan seperti mana kerjaya doktor, jurutera, peguam, arkitek dan sebagainya.

"Kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai masa depan golongan muda supaya mereka juga mempunyai kehidupan yang baik seperti orang lain," katanya pada majlis GiatMARA Dekat Rakyat dan Program Bantuan Rumah (PBR) 2009/2010 di Pusat GiatMARA Pontian di sini, semalam.

Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan pakaian seragam kepada 50 orang kanak-anak miskin bagi Parlimen Pontian dan Tanjung Piai.

Program PBR melibatkan kerja-kerja pendawaian elektrik, membuat tandas, mengecat rumah, memasang saluran paip yang dijalankan di rumah penduduk miskin oleh para peserta GiatMARA.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, GiatMara yang merupakan institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan bagi memberikan kemahiran kepada belia di kawasan luar bandar.

"Di GiatMARA, mereka menerima pelatih berusia antara 18 hingga 19 tahun termasuk yang tidak mempunyai kelulusan khusus serta menyediakan elaun sebanyak RM200 sebulan," katanya.

Katanya, peluang sedemikian perlu direbut khususnya belia-belia Melayu bagi mendapatkan kemahiran seperti di bidang pembinaan, jahitan, pendawaian elektrik, kerja paip, automotif dan sebagainya.

Jelas beliau lagi, pelajar-pelajar lepasan GiatMARA juga boleh mengikuti latihan di peringkat diploma dan lebih tinggi di mana-mana institusi latihan yang sentiasa terbuka menerima mereka.

Oleh demikian, beliau berharap, ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak mereka mengikuti latihan bukan sahaja di GiatMARA tetapi di mana-mana sahaja institusi latihan di negara ini.

"Walaupun mereka boleh mendapat pekerjaan di mana-mana sahaja, namun sekiranya dibekalkan dengan kemahiran dan sijil-sijil tertentu, mereka boleh mendapat upah atau gaji yang lebih baik," jelas beliau.

Friday 6 August 2010

Kemenangan Kamalanathan sah

KUALA LUMPUR 5 Ogos - ''Saya P. Kamalanathan. Saya adalah MP (Ahli Parlimen) Hulu Selangor.'' Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Kamalanathan, 45, sejurus selepas Mahkamah Pilihan Raya di sini mengisytiharkan beliau telah dipilih secara sah dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berlangsung pada 25 April lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azahar Mohamed hari ini selepas menolak dengan kos, petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, 59.

Dalam petisyen itu, Zaid menuntut perisytiharan bahawa keputusan pilihan raya kecil kawasan itu sebagai batal dan tidak berkesan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (EOA) atas dakwaan berlaku perbuatan rasuah dan sogokan yang begitu berleluasa.

Hakim Azahar memutuskan demikian semasa membenarkan bantahan awal Kamalanathan untuk membatalkan petisyen Zaid dengan alasan ia remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah selain gagal mengenal pasti kepada siapa sogokan itu diberi.

Menurut hakim tersebut, petisyen itu ditolak kerana Zaid selaku pempetisyen gagal menyediakan butiran penting yang mencukupi untuk menamakan individu-individu yang kononnya telah dipengaruhi ataupun yang telah mendorong amalan sogokan seperti yang didakwa beliau.

Fitec bekal perabot sekolah ke Bangladesh

GOMBAK 3 Ogos - Pusat Sumber Teknologi Perabot (Fitec), anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA), bakal membekalkan perabot ke sekolah-sekolah di seluruh Bangladesh dengan nilai pasaran AS$1 bilion (RM3.15 bilion) tidak lama lagi.

Pengerusi Fitec, Datuk Kamarudin Ambok berkata, rundingan sedang berjalan antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Bangladesh untuk membekalkan perabot-perabot itu ke sekolah di Bangladesh.

Sebagai permulaan kata beliau, Fitec telah melantik wakil yang berpusat di Bangladesh bagi bagi membuka pusat pameran perabot keluaran Fitec di sana.

"Kami mendapati prospek pasaran perabot di Bangladesh amat besar dengan bilangan penduduk berjumlah 160 juta orang,'' kata beliau selepas majlis memeterai memorandum persefahaman antara Fitec dan Boustead Nava; Shipyard Sdn. Bhd., Sirim Bhd. dan My Kitchen Venture Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Nilai pasaran industri perabot dunia adalah lebih AS$100 (RM315 bilion) dan Malaysia merupakan negara ke-sembilan pengeksport perabot terbesar di dunia.

Jumlah eksport perabot Malaysia pada tahun 2009 adalah RM6.7 bilion dengan eksportnya meliputi ke 160 negara.

Bagaimanapun penglibatan usahawan bumiputera masih lagi kecil iaitu di bawah lima peratus.

Menurut Kamarudin, selain Bangladesh, syarikat itu kini giat mencari pasaran baharu di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Eropah, Negara-negara di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memajukan industri perabot yang dianggotai usahawan-usahawan bumiputera.

Ketika ini, sebanyak 167 syarikat perabot bumiputera di seluruh Malaysia telah berdaftar dengan syarikat selaku vendor Fitec.

Malah Fitec yang turut menyertai pameran perabot antarabangsa di Milan, Itali baru-baru ini telah mendapat tempahan dari Eropah bagi memasarkan produk perabot di sana.